Tgh goreng telur, tercium bau ikan masin. Aku tegur. Tiba2 Kak Ziela membalas. Aku dh meremang

Foto sekadar hiasan

Gangguan di rumah Kak Jiela

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Aku Iris. Kisah ni berlaku kira kira dua tahun lepas ketika aku menumpang sementara di rumah kakak angkat aku.

Aku ditugaskan untuk menyertai kajian di Johor selama dua minggu dan dalam masa yang sama ada bilik kosong di rumah kakak angkat aku.

Hari pertama aku sampai di rumah Kak Jiela, aku rasa sedikit seram. Perasaan meremang tu tiba tiba hadir.

Sekali pandang rumah Kak Jiela ni biasa saja. Rumah flat tingkat tiga, ada tiga bilik dan agak cantik susunan perabot.

Kak Jiela memang peminat shopee. Semua hiasan dibelinya dari shopee. Tetapi, rasa seram itu tetap ada. Seolah olah ada yang menyambut kedatangan aku.

Selesai mandi dan solat Maghrib, aku keluar ke dapur untuk membantu Kak Jiela masak makan malam.

Sedang seronok menggoreng telur dadar sambil berborak, tiba tiba aku tercium bau ikan masin. Kuat menyengat rongga hidung. Bau itu datang dari pintu belakang iaitu dekat dengan dapur memasak.

Mula mula aku fikir bau sampah tetapi makin lama makin kuat bau itu.

“Rumah jiran ke yang goreng ikan masin ni? Kuat betul bau!” aku mengomel sendirian.

“Jangan tegur dia. Biarkan je.” tiba tiba Kak Jiela membalas.

Bulu tengkuk aku meremang. Pengalaman seram aku memang banyak tapi aku berharap tak berlaku apa apa sebab aku memang penakut. Lagi lagi di rumah ini hanya ada aku dan Kak Jiela.

Kak Jiela membuka TV ketika kami sedang makan untuk kurangkan rasa sunyi. Flat Kak Jiela memang tersorok di hujung sekali dan agak sepi. Sesekali kedengaran salakan anjing liar.

Tak dapat bayang macam mana Kak Jiela duduk seorang diri tanpa roommate. Hati kering betul.

“Kak Jiela bayar sewa satu rumah la kan? Kenapa tak cari penyewa lain untuk dua bilik tu?” soalku.

“Malas la. Bilik hujung tu akak buat office. Semua barang barang lukisan, letak situ. Bilik hujung tu je kosong. Tapi malas nak cari orang baru. Banyak songeh pulak nanti.” jawabnya bersahaja.

“Orang baru? Means pernah ada roommate eh?” banyak pulak mulut aku malam tu. Rasa nak tampar mulut sendiri.

Kak Jiela tersenyum tanpa cakap apa apa. Kami berhenti berborak di situ sahaja. Mungkin Kak Jiela pernah ada krisis dengan ex-roommate dia. Sebab tu dia nampak tak berminat nak cerita banyak.

Malam itu, sebelum tidur aku akan check semua WhatsApp yang masuk. Risau terlepas pandang sebab esok pagi dah start kerja lapangan.

Sedang ralit membaca WhatsApp group, pintu bilik aku diketuk. Aku cepat cepat bangun dari katil dan membuka pintu. Mungkin Kak Jiela.

Tiada sesiapa. Aku pandang sekeliling. Cuma ada ruang tamu yang gelap. Tapi aku tak silap dengar. Memang pintu bilik aku yang diketuk tadi.

Aku pandang lagi sekeliling dan kali ini jantung aku seperti hendak terkeluar.

Tidak jauh dari aku, dalam kegelapan ruang tamu, ada sepasang mata merah sedang merenung ke arahku.

Entah mata siapa tetapi matanya merah menyala dan mengerikan. Aku terus menutup pintu dengan kuat dan berlari ke katil.

“Hello, Kak Jiela! Iris takut. Iris nampak benda dekat ruang tamu.” aku menelefon Kak Jiela.

Kak Jiela masih buat kerja di bilik tengah, tidak jauh dari bilik aku.

“Kejap, dalam lima minit akak datang bilik Iris. Akak habiskan sikit lagi kerja. Jangan takut, tak ada apa la.”

Aku berselimut sementara menunggu Kak Jiela datang. Ayat Kursi dibiar terpasang.

“Iris…” tiba tiba pintu bilik aku diketuk diiringi suara Kak Jiela.

“Buka je kak. Iris tak kunci pintu.” jeritku. Aku tak ada kekuatan nak bangun pergi buka. Tubuh aku masih menggigil.

“Iris…” sekali lagi suara Kak Jiela menyapa.

Dengan rasa takut, aku bangun juga. Mungkin Kak Jiela tak dengar suara aku tadi. Entah kenapa aku rasa takut. Takut yang teramat seperti ada benda sedang mempermainkan aku.

Sebaik sahaja aku pulas tombol dan menarik pintu, lutut aku terasa lemah longlai. Suara aku tersekat untuk menjerit.

Satu susuk perempuan berbaju putih lusuh dengan rambut panjang mengurai berdiri betul betul di hadapan aku. Hilaian tawanya kedengaran sayup sayup sebelum aku pengsan di depan pintu.

“Iris, okay tak ni?” sebaik sahaja membuka mata, Kak Jiela ada di sebelah bersama dua orang wanita lingkungan 40-an.

“Akak jumpa Iris pengsan depan pintu bilik. Ni Kak Noor dengan Kak Midah. Mereka duduk rumah sebelah. Akak terpaksa pergi panggil orang sebab risau Iris tak bangun.”

“Tadi Iris nampak..”

“Akak tahu. Dah ramai cakap benda yang sama. Sebab tu akak malas cari penyewa. Akak pun selalu kena kacau tapi akak buat tak tahu je.”

Esoknya aku dah mula keluar untuk kerja lapangan. Dalam pukul lapan malam baru sampai di rumah.

Nak naik ke tingkat tiga, aku perlu melalui tingkat dua yang gelap sebab lampu rosak. Cuma ada cahaya samar samar dari lampu jalan di sebelah blok. Goyah juga hati aku nak melangkah.

“Miaw!!” tiba tiba seekor kucing melompat di hadapan aku sebaik sahaja kakiku menjejak anak tangga di tingkat dua. Aku beristighfar. Sudahlah aku penakut.

Aku naik cepat cepat dan ketika melintasi rumah jiran sebelah, aku perasan ada kain putih terbang melayang di sebelah kanan aku iaitu di luar koridor.

Laju dan tak sempat nak tengok jelas. Yang pasti kain putih itu terbang ke arah tempat pembuangan sampah di belakang blok.

“Kak Jiela!” aku mengetuk pintu bertalu talu kerana terlampau takut. Iyelah, dah nampak kain putih terbang.

“Baru balik… hihihi…” satu suara menyapa. Aku tersentak, jantung aku pulak berdegup tanpa had. Wajah aku sudah pucat lesi mendengar suara seram yang entah datang dari mana.

Aku pejamkan mata sambil peluk beg laptop. Ayat Kursi pun dah berterabur aku baca. Tiba tiba aku tercium bau ikan masin. Bau yang sama seperti semalam.

“Jangan baca…” suara itu mengejek lalu ketawa mengilai. Aku makin pejamkan mata.

“Kak Jiela!!” Syukur suara aku masih ada. Aku menjerit dengan mata terpejam. Tetapi hilaian tawa itu makin jelas kedengaran. Seolah olah aku berdiri sebelah lembaga itu.

“Eh, dah lama ke Iris sampai?” Kak Jiela membuka pintu. Dia bertelekung.

“Maaf, akak solat tadi.” sambungnya.

Aku buka mata dan pandang sekeliling. Tak ada sesiapa. Bau tadi pun dah hilang.

“Akak, malam ni Iris tidur dengan akak.” aku terus masuk ambil barang barang dan bawa ke bilik Kak Jiela. Tak sanggup aku kena kacau lagi.

Sejak malam itu, Kak Jiela akan tunggu di bawah kalau aku balik. Gangguan pun tak ada kalau berteman.

Tapi pernah aku nampak kelibat kain putih di kawasan flat Kak Jiela sewaktu pulang malam. Mungkin tempat makhluk tu.

Okay setakat ini sahaja cerita aku. Nanti aku cerita tentang histeria camp site pulak ya!

Sumber : Iris via Fiksyen Shasha

Leave a Reply

Your email address will not be published.