130 am, di jln lama kereta rosak. Adik bongsu tiba2 meluru masuk hutan. Ayah dah takut. Aku mulai azan

Foto sekadar hiasan

Nenek Tua Si Bongkok Tiga vs Pemuda Baik Hati Yang “Pelik”

Selamat sejahtera buat para pembaca setia Fiksyen Shasha.

Seperti anda semua, aku juga peminat tegar Fiksyen Shasha. Aku menjadi ketagih untuk membaca bila malam menjelang sekitar pukul 12 pagi ke atas dan itu adalah rutin harian aku sejak Perintah Kawalan Pergerakan 2 tahun yang lepas.

Setelah sekian lama membaca cerita sahabat sahabat Fiksyen Shasha, kini tiba giliran aku pula untuk menceritakan pengalaman seram aku sepanjang hidup.

Namun, anehnya segala pengalaman seram ini hanya terjadi ketika aku bersama aruwah ayah. Ayah aku telah meninggal dunia sewaktu aku belasan tahun lagi namun segala memori dengannya tidak mungkin dapat aku lupakan.

Kisah ini berlaku sewaktu aku berumur lingkungan 10-12 tahun dan masih bersekolah rendah. Kejadian berlaku sewaktu kami hendak pulang ke kampung di Pantai Timur. Seingat aku, sempena perayaan Tahun Baru Cina. Perjalanan memakan masa lebih kurang 2-3 jam daripada kediaman kami di kuarters Tentera.

Malam itu sepi sahaja dan hujan sekadar rintik rintik. Permulaan 1 jam pertama seperti biasa dan suasana gembira yang tidak terkata.

Ye lah, kami satu keluarga sangat rapat dengan keluarga belah aruwah abah dan atuk kami. Jadi, perasaan nak balik kampung tu seolah olah seperti perasaan nak balik raya. Kami juga memasang lagu raya untuk menghidupkan mood balik kampung kami.

Jam 1 pagi, keadaan jalanraya bertambah sunyi ditambah pula dengan jumlah kenderaan yang semakin berkurangan. Kami mulai masuk ke jalan hutan atau dikenali sebagai jalan biasa.

Untuk keluarga yang tidak berapa berkemampuan waktu itu, agak berat untuk kami melalui lebuhraya kerana kos yang sangat mahal.

Sekitar jam 1.30 pagi, kereta kami tiba tiba sahaja meragam. Mungkin bunyi agak cliche, tetapi itulah sebenar benarnya terjadi. Entah apa yang tidak kena.

Berkali kali cuba untuk start, tetapi masih gagal. Kami buntu seketika dan mengharapkan bantuan kenderaan yang lalu lalang namun malangnya kami diendahkan begitu sahaja.

Aruwah abah cuba menelefon rakannya namun gagal sebab talian perhubungan di kawasan hutan itu sangat mengecewakan.

“Kita tidur dalam kereta lah dulu. Esok pagi, kita cuba mintak tolong orang” Ujar abah cuba memberikan pendapat tetapi emak membantah kerana bimbang akan keselamatan kami 5 beranak.

Abah berfikir sejenak dan pada masa yang sama menyalakan lampu suluh sebagai tanda meminta bantuan.

Malangnya, tiada langsung kenderaan pada waktu itu! Kami jadi semakin hairan. Tiba tiba, dengan tidak semena mena, adik perempuan bongsu aku meluru masuk ke dalam hutan dengan pantas.

Kami cuba mengejar namun gagal, bertambah pula dengan keadaan yang sangat gelap menyukarkan lagi pergerakan kami. Kami menjerit meminta tolong sekuat kuatnya namun hampa. Suara kami tidak didengari.

Kami berasa seolah olah berada dalam dunia yang lain. Keadaan waktu itu sangat sunyi sepi walaupun belum mencecah pukul 2 pagi!

Abah yang mula mula nampak cool tiba tiba menjadi sangat takut ekoran adik kami yang tiba tiba menghilangkan diri begitu sahaja.

“Abah, apakata kita cuba azankan kawasan ni? Angah takut kita berada di alam lain?” ujar aku secara spontan kerana masih tiada tanda tanda kemunculan adik. Abah bersetuju dan mulai azan.

Selesai saja azan, tiba tiba ada beberapa buah kenderaan mulai lalu dikawasan tersebut dan salah sebuah daripada kenderaan itu berhenti untuk menanyakan masalah kami.

“Kenapa ni encik? Kenapa duduk di kawasan gelap waktu macam ni?” Pemuda segak tinggi lampai itu memulakan bicara dengan penuh tanda tanya di wajahnya.

Abah membalas dengan nada yang sayu, “Kereta kami rosak ni tuan, dah dekat sejam kami ada dekat sini. Anak bongsu perempuan kami tiba tiba sahaja lari masuk ke dalam hutan tanpa sebab”

Pemuda itu tiba tiba berubah air mukanya dan bertanya “Berapa umur anak encik?” Abah menjawab, 5 tahun tuan. Dia memakai baju gaun berwarna kuning dan rambutnya bertocang”.

Selepas sahaja abah menghabiskan ayat terakhirnya, pemuda itu terus berkata,

”Encik, sebelum saya sampai di sini tadi, saya ada ternampak seorang budak kecil seperti yang encik gambarkan. Tetapi dia bukan berseorangan” Abah tersentak dengan kata kata pemuda itu lalu berkata,

“Di mana encik? Tolong bawa saya kesana segera. Itu mungkin anak saya” Pemuda itu pun berlalu pergi dengan membawa abah dan beberapa lagi rakannya.

Waktu itu, kami hanya fikirkan keselamatan adik. Biarpun ada sedikit keraguan dengan pemuda itu, namun kami tawakal dan berharap mereka adalah orang yang baik baik. Persoalannya, siapakah dengan adik waktu itu?

Menurut penceritaan abah, ketika mereka melalui kawasan yang dikatakan lelaki itu, memang itu adalah ADIK. Lengkap berpakaian seperti sebelumnya dan langsung tiada cacat cela. Jarak tidak kurang daripada 500 meter dari kawasan kereta kami yang rosak.

Abah memanggil nama adik dengan kuat tetapi adik seolah olah tidak pedulikan mereka. Lebih menyeramkan, adik seperti sedang bermain ketingting dengan “seseorang”.

Wajahnya tidak jelas kelihatan tetapi fizikalnya seolah olah nenek tua yang sangat bongkok memegang kayu seperti tongkat.

Abah beranikan diri untuk turun daripada kereta pemuda itu. Naluri seorang ayah kuat mengatakan, itu memang adik dan ternyata benar. Apabila abah berada dihadapan adik, adik mendongakkan kepala.

Tetapi abah hairan kerana terdapat kesan cakaran pada muka adik. Tanpa membuang masa, abah terus merangkul adik dan masuk ke dalam kereta.

Nenek tua yang senyap tiba tiba memecahkan keheningan pagi itu. “Nak pergi mana tu? Tak nak main dah?”.

Adik yang berada dalam kereta tiba tiba ketawa dan menangis keseorangan. Abah tidak pedulikan nenek tua itu kerana dia tahu itu bukan manusia.

Lantas, pemuda tadi dan beberapa rakannya terus memecut laju kenderaan mereka dan meninggalkan nenek tua tersebut terkapai kapai.

Malah, abah berkata dia sempat menoleh ke arah nenek tua tersebut sekejap, namun senyuman nenek itu sangat mengerikan sehingga menampakkan giginya yang taring, rambut mengerbang dan matanya yang merah menyala.

Menurut abah, nenek tua itu juga sempat melambai tangan sebagai salam perpisahan. Abah yang terkedu dan juga ketakutan tidak memberi sebarang tindakbalas.

Sampainya abah dan pemuda di kawasan kereta kami yang rosak, adik sudah berhenti ketawa. Pemuda itu menghulurkan bantuan untuk “jump start” kereta kami yang tersadai.

Alhamdulillah, setelah beberapa kali cubaan, kereta kami berjaya dihidupkan. Abah menghulur wang sagu hati kepada pemuda terbabit, namun ditolak dengan baik.

Pemuda itu juga dengan baik hati berhajat untuk mengikuti kereta kami daripada belakang jika terjadi apa apa. Abah menerima pelawaan pemuda itu kerana bimbang kereta uzur kami membuat masalah sekali lagi.

Kami memulakan perjalanan kami yang tertangguh dan berharap tiada apa apa malapetaka lagi selepas ini. Sementara itu, adik beransur pulih dan sedar setelah diberikan air bacaan jampi ibu.

Setelah beberapa minit kereta kami diekori pemuda baik hati itu, kami terdengar bunyi hon yang sangat kuat dan lampu tinggi di belakang kami tiba tiba hilang sekelip mata.

Abah memandang melalui cermin sisi dan berkata kepada kami, “Jangan pandang belakang”.

Kami patuh arahan abah dan tutup mata kami untuk berpura pura tidur sehingga kami betul betul terlelap. Kami dikejutkan setelah sampai dikampung lebih kurang pukul 5 pagi.

Pagi itu, abah bercerita kepada kami bahawa pemuda itu dan rakan rakannya dalam kereta cuma berdiam diri sahaja. Abah mula mula merasa was was tetapi tidak endahkannya, yang penting padanya adalah nyawa adik.

Tambah abah, sewaktu di dalam kereta pemuda itu juga sering tersenyum dan mukanya seolah olah pucat sepanjang masa.

Semasa abah bercerita. aku baru teringat bahawa muka pemuda itu seolah olah sama seperti rakan rakanya yang lain.

“Nenek tua tu macamane pulak abah?” Betul ke dia main dengan adik?” Abang long aku bertanya dengan penuh teruja.

Abah menjawab ringkas ya dan nenek tua tu mula menghilangkan diri setelah seorang daripada rakan pemuda itu mengangkat tangan suruh pergi kepadanya.

Waktu itu, abah sedikit kehairanan mengapa pemuda itu tidak sedikit pun berasa takut. Abah berkata dengan spontan,

“Lepas ni, kita balik kampung waktu pagi dan lalu jalan besar (highway), jangan lalu jalan situ dah”. Kami berdiam diri tanda setuju dan menghabiskan nasi lemak dan kopi disediakan tok kami.

Adik bongsu kami yang masih kecil tersenyum sambil memegang biskut keringnya.

Begitulah antara salah satu kisah seram aku sepanjang aku hidup dalam dunia ini. Walaupun kisah ini dirasai oleh abah khususnya, tetapi aku tetap merasakan seram berdasarkan penceritaan abah dan suasana aku di sana.

Sumber : Abang Hafizul via Fiksyen Shasha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *