Mlm raya, tiba2 pintu diketuk. Tiada org, hanya mangkuk tingkat tembaga. Lukman berdebar, cpt2 dia bergegas kluar

Foto sekadar hiasan

TETAMU MALAM RAYA (Rendang Ayam Hutan)

Melihat si isteri terkial kial memasang langsir, Lukman tersenyum.

Dia bingkas bangun dari sofa menghampiri Mariam untuk membantu.

”Kesian isteri abang. Tak sampai, ya? Mari sini? Biar abang yang buat. Sayang, turun.” Pinta Lukman. Mariam tersipu malu. Tugas hendak menukar langsir baru pun dia tidak mampu buat.

Sebenarnya, bukan dia tidak boleh melakukannya. Kedudukan tingkap itu yang agak tinggi sedikit. Kakinya pula bukannya panjang mana. Sebab tubuhnya kecil molek saja.

Lainlah kalau tinggi lampai macam model. Cepat sahaja dia menyudahkan kerja memasang langsir kesemua tingkap rumah. Pejam Mata pun boleh siap!

Segera Mariam turun daripada kerusi. Menyerahkan tugas memasang langsir kepada encik suami. Baru tiga bulan mereka mendirikan rumah tangga. Pertama kali berpuasa dan beraya bersama.

Lukman berkahwin dengan Mariam atas pilihan keluarga. Tetapi rasa sayang dan cinta itu wujud sendiri dalam diri masing masing setelah mereka diijab kabulkan.

Mariam dan Lukman dilahirkan dan dibesarkan di kampung yang sama. Cuma mereka jarang berjumpa dan bertegur sapa.

Selepas berkahwin mereka tetap tinggal di kampung tersebut kerana Lukman menguruskan ladang kelapa sawit ayahnya. Keluarga Mariam sudah sediakan rumah untuk mereka berdua sebelum mereka berkahwin lagi.

Rumah itu sebenarnya peninggalan aruwah nenek dan datuk Mariam. Daripada terbiar, lebih baik Mariam duduk di situ bersama suaminya, Lukman.

Di dapur Mariam sudah siap memasak untuk hidangan hari raya esok. Cuma tinggal menyusun kuih raya ke dalam balang.

Usai memasang langsir, Lukman turun ke dapur mencari air kosong bagi membasahkan tekaknya yang kering.

Namun dia terhidu bau aroma rendang ayam. Dia terus menjengah ke dalam kuali. Rendang ayam yang dimasak Mariam nampak melazatkan.

Pandai Mariam memasak rendang. Puji Lukman dalam diam. Pasti isterinya itu belajar daripada ibu mentuanya.

Lukman tiba tiba teringat rendang ayam hutan yang pernah dimasak oleh seseorang. Memang sedap sangat rasanya. Lukman tidak pernah rasa rendang yang sesedap itu. Dia makan bertambah sampai menjilat jari masa tu.

Ketika itu Lukman berusia lapan tahun. Dia masuk ke dalam hutan awal pagi itu bersama ayahnya mencari buluh untuk membakar lemang di malam raya nanti.

Entah macam mana Lukman boleh tersesat. Mungkin kerana dia terleka melihat sekumpulan burung berwarna putih di atas dahan.

Lukman tidak sedar langkahnya yang mula mengekori burung burung putih itu yang hinggap dari dahan ke dahan.

Bila burung burung itu sudah berterbangan, Lukman baru menyedari ayahnya tidak berada bersama dengannya. Lukman mula ketakutan. Mula mencari dan memanggil ayahnya.

Tetapi tiada sahutan. Hanya kedengaran lantunan suaranya kembali yang bergema di dalam hutan.

Lukman semakin dihimpit rasa takut dan cemas apabila hari kian gelap. Bagaimana dia hendak mencari jalan pulang?

Akhirnya, Lukman berhenti kerana dia sudah mula kepenatan. Lagipun Lukman berpuasa. Tekaknya benar benar terasa perit. Dia duduk di bawah pokok. Menangis, sehingga dia terlelap.

Dia terjaga setelah merasakan ada tangan seseorang mengejutkannya. Lukman mendapati dirinya berada di dalam sebuah rumah kayu. Dan, ada seorang wanita cantik berpakaian serba putih sedang tersenyum memandangnya.

”Lukman, puasa ya hari ni? Mari! Kita buka puasa sama sama.”

Pelawa wanita cantik itu. Dia membawa Lukman ke tikar mengkuang yang telah terhidang makanan.

Ada bubur nasi, kuih muih yang Lukman tidak tahu namanya. Makcik cantik itu menuangkan air sirap yang diperbuat daripada bunga mawar merah ke dalam cawan Lukman. Sebiji kurma dihulurkan kepada Lukman.

Setelah mendengar suara azan, Lukman segera membaca doa berbuka puasa. Dia dan makcik cantik itu menikmati hidangan berbuka puasa bersama.

Usai berbuka, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai makcik Melati. Dia memang tinggal di dalam hutan itu.

Sebenarnya, dia pernah melihat Lukman bersama ayahnya masuk ke dalam hutan tersebut dua bulan yang lepas, untuk memancing ikan di sungai. Sebab itu makcik Melati mengenali Lukman.

Lukman lalu menceritakan bagaimana dia tersesat di dalam hutan itu. Makcik Melati berjanji akan menghantarnya pulang nanti.

Selepas solat Isyak, Lukman melihat makcik Melati sedang memasak di dapur kayunya. Bau aroma rebusan ketupat dan rendang ayam menarik perhatian Lukman. Dia segera mendekati makcik Melati.

Memandangkan malam itu adalah malam raya, makcik Melati mahu menjamu Lukman rendang ayam hutannya yang akan dimakan bersama ketupat dan juga pulut kuning.

Lukman pula kelihatan tidak sabar untuk menikmatinya.

Siap semuanya, makcik Melati menghidangkan masakannya buat Lukman. Memang Lukman berselera sungguh. Sampai bertambah tambah.

Tersenyum sahaja makcik Melati melihat gelagat Lukman makan sampai menjilat jari.

Seperti yang dijanjikan, Makcik Melati akan menghantar Lukman pulang ke rumahnya. Dia hanya menghantar Lukman hingga di hadapan jalan rumah tersebut.

Makcik Melati sempat memberi pesanan.

”Kalau Lukman masuk ke dalam hutan, Lukman nampak haiwan haiwan yang Lukman tak pernah nampak, jangan pandang terus. Sebab haiwan haiwan tu boleh buat Lukman lupa jalan balik.

Dan, kalau suatu hari nanti, Lukman teringat dekat rendang ayam hutan makcik Melati di malam raya, InsyaAllah! Lukman akan dapat merasainya lagi.

Janji, jangan ceritakan apa apa tentang makcik Melati pada sesiapa pun. Faham?”

Lukman hanya mengangguk. Usai memberi pesanan dan mengucapkan selamat hari raya kepada Lukman, makcik Melati terus ghaib.

Lukman kelihatan termangu mangu. Bagaimana makcik Melati boleh menghilangkan diri begitu cepat? Siapakah wanita cantik itu sebenarnya?

”Lukman! Ya, Allah! Anak aku dah balik!”

Ayah Lukman segera menerpa ke arah Lukman. Memeluk dan mencium pipi Lukman.

Siang tadi puas dia mencari Lukman bersama orang kampung. Namun tidak menemui anaknya itu. Dia baru sahaja ingin meminta bantuan dari pihak polis.

Tetapi terkejut ketika melihat Lukman muncul di halaman rumah.

Ibu Lukman yang turut berasa sedih dan bimbang, terharu bercampur gembira bila Lukman sudah kembali kepangkuan mereka.

Bila ditanya bagaimana Lukman boleh menemui jalan pulang? Lukman hanya beritahu yang dia sendiri tidak tahu bagaimana.

Dia sudah berjanji pada makcik Melati tidak akan menceritakan kepada sesiapa pun. Walaupun pada ibu dan ayahnya.

Kejadian tersebut memang sudah lama berlaku. Tetapi Lukman tidak pernah melupakannya. Cuma malam raya kali ini Lukman tiba tiba teringatkan rendang ayam hutan makcik Melati yang lazat itu. Lukman terasa rindu hendak menjamahnya lagi.

”Abang!”

Suara Mariam mengejutkan Lukman dari lamunan. Dia menoleh ke arah Mariam yang sedang membawa sesuatu di tangannya.

”Tadi, ada orang bagi salam dekat luar. Bila Mariam jenguk, tak ada sesiapa pun. Cuma ini? Ada orang tinggalkan mangkuk tingkat ni dekat beranda.”

Beritahu Mariam dengan riak pelik. Pertama kali dia melihat mangkuk tingkat tembaga di hadapan mata.

Barang antik begini memang susah hendak ditemui pada zaman sekarang. Kalau ada jual di kedai pun pasti mahal harganya.

Lukman rasa berdebar. Tetapi dalam masa yang sama dia juga berasa teruja. Kalau tidak silap, mangkuk tingkat tembaga itu pernah dilihatnya di rumah seseorang. Lukman tidak sabar hendak melihat isi di dalamnya.

Belum dibuka bau aroma melazatkan sudah dapat dihidu. Setelah dibuka terus bersinar mata Lukman.

Makanan di dalam mangkuk tingkat itu berisi, rendang ayam hutan, ketupat serta pulut kuning. Makanan yang pernah dia jamah di rumah makcik Melati satu ketika dulu.

”Makcik Melati….?”

Nama wanita cantik itu disebut perlahan. Namun, Mariam yang berdiri di sebelah dapat mendengarnya.

”Siapa makcik Melati tu, abang?” Soal Mariam sambil mencari wajah suaminya.

”Makcik Melati tu…?” Lukman tidak jadi hendak meneruskan kata.

Dia teringat pesanan makcik Melati. Hampir sahaja dia memberitahu pada Mariam.

”Tak ada siapalah. Abang rasa jiran kita yang bagi. Mariam tolong salin semua ni dalam mangkuk lain, ya? Abang nak pergi depan sekejap.” Lukman segera berlalu.

Dia kemudiannya tercari cari makcik Melati di hadapan jalan rumahnya. Dia yakin, wanita cantik itu masih berada di situ. Tetapi dia agak terkilan dan hampa.

”Makcik Melati. Terima kasih sebab ingat dekat Lukman lagi. Lukman belum ucapkan terima kasih lagi pada makcik Melati, sebab pernah selamatkan Lukman dulu.” Lukman harap sangat makcik Melati boleh mendengarnya.

“Terima kasih sekali lagi. Selamat menyambut hari raya, makcik Melati. Makcik adalah tetamu Istimewa Lukman di malam raya ini.” Ucap Lukman dengan sebak.

“Selamat hari raya, Lukman.”

Suara dari arah belakang menyahut. Lukman pantas berpaling. Dalam kesamaran dia dapat melihat wajah makcik Melati.

Tetapi hanya seketika. Wajah itu langsung tidak berubah. Masih muda dan jelita seperti dulu.

Syukurlah! Dia dapat berjumpa makcik Melati walaupun sekejap.

Malam raya itu, terasa syahdu. Lukman bersama isterinya Mariam, menjamu masakan makcik Melati.

Mariam tidak habis habis memuji lauk rendang ayam hutan yang dimakan bersama pulut kuning.

”Sedap kan, bang? Rendang ayam hutan ni. Jiran kita yang mana satu yang masak? Nanti bolehlah Mariam minta resepi dari dia.” Seloroh Mariam dengan sengihan.

“Entahlah. Abang pun tak tahu yang mana satu. Tapi rendang ayam sayang pun sedap juga.” Puji Lukman.

Cuba lari dari topik. Tidak mahu Mariam terus mempersoalkan tentang siapa yang memasak rendang ayam hutan itu.

“Terima kasih, abang.” Ucap Mariam. Terasa kembang juga hatinya dapat pujian daripada encik suami.

“Sama-sama, sayang.” Balas Lukman. Tersenyum.

Kalau Mariam tahu siapa yang memasak rendang ayam hutan itu? Siapa wanita cantik yang Lukman gelar makcik Melati dan menjadi tetamu pertama mereka pada malam raya itu? Mariam pasti akan terkejut.

Sebenarnya, Lukman dan Mariam sangat beruntung. Bukan semua manusia di dalam dunia ini yang bertuah seperti mereka.

Dapat merasa hidangan dari alam ghaib di malam raya. Masakan yang dimasak dari air tangan makhluk yang dipanggil, Bunian!

-TAMAT.. Thank you!

Sumber : Shazlina via Fiksyen Shasha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *