Foto sekadar hiasan
Cucu Derhakakah Aku?
“Tak payah ingat kat mak bapak kau, diorang bukan ingat kat kau pun”.
Meski 27 tahun telah berlalu, kata kata ini masih terngiang ngiang dalam fikiran aku. Bila ingatan itu datang, aku jadi benci melihat wajah atok dan nenek yang sudah uzur terlantar.
Mak aku anak bongsu dari 3 orang adik beradik juga anak perempuan tunggal atok dan nenek.
“Kau bongsu, kau kawen, ajak laki kau duduk dengan kami. Jangan keluar dari rumah ni”.
Atas dasar hormat dan kasihan, mak ayah aku turutkan.
Tapi ketika usiaku 6 tahun, ayah lulus temuduga dan dapat kerja di negeri pantai timur. Oh ya. Kami berasal dari negeri pantai barat.
“Kau nak ikut sangat laki kau, kau pergi. Tapi tinggal anak kau ni kat aku. Kalau tak kau jangan pergi”. Maka tinggallah aku dengan atok nenek.
Adik adik yang masih kecil ikut berhijrah bersama mak ayah. Meronta aku saat melihat mak ayah melambai tangan pergi.
Setiap hari menunggu posmen datang hantar surat dari mak ayah. Setiap hari jugak lah aku dapat ayat, “kau tunggu apa? Diorang tak ingat kat kau pun”
Alangkah girangnya hati tatkala posmen sampai, ku buka surat dari mak ayah, ada duit, ada bait bait kata mak ayah rindu kak long.
“Eleh.. dapat macam tu pun tesenyum senyum. Jom ke pekan aku belikan mainan. Pilih ja apa kau nak”
“Kak long tak nak mainan tok, nek. Kak long nak mak ayah”. Mereka mendengus meluat. Mereka sering meracun agar aku membenci mak ayah.
Dipendekkan cerita, mak ayah aku kembali semula ke rumah atok nenek ketika aku darjah 3 atas sebab kesihatan ayah.
Dengan sinis nenek menyindir, “balik jugak kau. Kenapa? Tak boleh kaya ke dok sana?”
Aku membesar dengan gembira di sisi mak ayah dan adik adikku. Aku perasan kadang kadang mak menangis sendirian ketika masak atau menjahit.
Bila aku tanyakan kenapa, mak hanya geleng dan senyum sambil menyeka air mata.
“Sekejap je anak anak mak dah besar”
Ketika aku di tingkatan 5, mak jatuh sakit sehingga lumpuh. Solat, makan, membuang semua di katil.
“Sakit sikit, mengada yang lebih. Malas kot” getus nenek sambil mencebik mulut.
Mak panggil aku, mak minta aku ambilkan kerusi yang berat untuk mak berpaut. Mak nak paksa diri berjalan dan masak. Mak jatuh! Aku dah hilang sabar!
‘Nenek memang melampau ye?!”
“Kak long, andai mak pergi dulu, tolong jaga atok nenek. Cuba bertahan dan bersabar. Kalau dah lebih tahap kesabaran, keluar”. Pesan mak dalam linangan air mata sambil menahan kesakitan.
Nenek tetap tidak mengalah. “Eloklah ajar anak macam tu! Tak sakit buat buat je tu!”
Mak admit hospital. Doktor dapat kesan ada ketumbuhan di saraf tunjang yang telah mengganggu pergerakan dan pembuangan mak.
Allah lebih menyayangi mak. Mak pergi meninggalkan kami 5 beradik ketika usiaku 18 dengan adik adik yang masih kecil dan bersekolah.
“Kak long tau tak, aruwah mak sayang sangat kat kak long. Masa kami di pantai timur dulu, setiap kali kami makan yang best best, mak mesti sebut kak long makan apa la dengan atok nenek kat sana. Mak rindu kak long. Ayah pernah jatuh moto tau masa nak pos surat kat kak long”
Sedangkan atok nenek hari hari racun aku, “mak bapak kau bukan ingat kau pun, kalau sayang, diorang tak tinggal kau lah”. Dendam aku makin menebal.
Sebelum mak aku, aruwah pakngah mendahului menghadap Illahi. Ketika negara melawan c0vid 2 tahun lepas, paklong aku pun turut sama pulang ke negeri abadi.
Melihat perangai atok nenek yang bermulut jahat dan suka memaki hamun, aku nampak betapa hebatnya Allah mengambil kesemua anak mereka terlebih dahulu.
Pada fikiranku yang kerdil ini pasti Allah nak pelihara paklong, pakngah dan mak jadi anak yang derhaka. Kerana di usia mereka yang kian lewat, kedegilan dan keegoan mereka makin menjadi jadi.
Selepas berkahwin, aku mengikut suami bertugas di utara. Pada penghujung 2020 suamiku ditukarkan ke Kuala Lumpur dan aku mengandung ketika itu.
Disebabkan kes c0vid yang semakin hari mencanak naik, aku mengambil keputusan untuk tinggal sekejap bersama atok nenek.
Aku rasa itulah kesilapan besar yang aku buat. Dah masuk. Aku susah nak keluar. Apa yang terjadi pada ibuku, berbalik padaku.
Melihatkan atok nenek yang dah tak mampu berjalan membuatkan aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka. Walaupun hampir setiap hari aku menangis dengan kata kata dan tingkah laku mereka.
Suamiku? Pun jenis lembut hati. Setiap minggu suami pulang, aku mengadu dengan esakan tangis dan suami akan membawa aku bercuti ke mana saja yang aku rasa nak pergi.
Balik, ada semangat baru, mood baru. Kena sindir, maki, moody lagi, luah lagi dengan suami. Begitulah sementara menunggu rumah kami siap.
Rumah siap, aku pindah. Pasti. Derhakakah aku walau mereka melarang?
Adik adikku juga sudah berkeluarga dan mempunyai kerjaya. Mereka mahu saja bergilir menjaga atok nenek.
Tapi si tua ini sangat suka melagakan kami adik beradik. Mereka sentiasa cuba menyemai rasa iri antara kami. Tak cukup dengan itu, anak anak kami yang masih mentah juga terpalit.
Nenek pasti menjadi batu api ketika anakku dan sepupunya berebut mainan. Walau badan dah terlantar, mulut masih jahat, hati tetap busuk.
Kata sepupu sepapat aruwah mak, juga anak saudara nenek, “Maaflah kami dah lama tak ziarah atok nenek. Kami tau mereka sakit, tapi hati kami lebih sakit mengenangkan mulut mereka yang suka mengharam jadahkan kami dulu”.
Kadang kala jiwaku tertekan. Anakku 2 tahun 4 bulan dan 7 bulan ini sedang membesar dengan suasana negative.
Aku sedang mandikan si adik, si abang dah tuang dan jatuh atas air kencing nenek. Aku susukan adik, si abang dah main puntung rkok atok.
Aku sedang tidurkan anak anak, atok ketuk pintu bilik mintak carikan pemetik api. Maka bangunlah abang dan adik yang hampir terlena tadi.
Bila lapar, atok minta hidangkan nasi segera. Aku mohon 5 minit je sebab si adik dah hampir terlelap.
Tak boleh. Nak segera jugak. Tabiat ini memang dari kecil aku nampak. Kehendak mereka perlu disegerakan. Big no untuk sekejap.
Aku tinggalkan si adik dan pergi hidang makanan. Adik menangis semahunya. Nenek pulak jerit panggil aku tengok anak. Dia runsing dengar budak menangis. Aku teruskan hidang, tak nak makan pulak.
Tak lalu. Tak boleh telan bising bising. “Pergi tidurkan anak tu, jap gi hidang balik”. Aku bukan malaikat. Memang aku menjawab “tu sebab mintak 5 minit je tadi nak tidurkan anak. Tak boleh. Nak makan segera”. Derhakakah aku?
Aku rasa cukup luahan untuk kali ini. Doakan mentalku terus kuat dalam membesarkan anak anak dan menguruskan atok nenek sementara menunggu waktu untuk berpindah.
Terima kasih kerana membaca. Salam sayang.
Reaksi Warganet
Puan Rohudah –
Kalau puan rasa kuat, teruskan tinggal di situ. Tapi rasanya lagi elok keluar sebelum puan tertekan lebih teruk.
Anak anak juga sedang membesar dibimbangi mereka terikut ikut cara yang mereka nampak di depan mata. Banyak sangat kerenah nenek tu.
Memang tidak dinafikn, orang tua memang berkerenah tapi tidaklah melampau lampau.
Puan sendiri ada anak kecil. Keperluan anak lebih utama dari nenek tu. Cuba bincang sama sama dengan keluarga, cari pembantu.
Ingat pesan aruwah mak, jangan lembut hati sangat puan. Pindah je.. doakan mereka. Tidak semudah itu puan jadi cucu derhaka. In syaa Allah, puan baik
Mas Inani –
Kaklong, semoga dipermudahkan urusan kaklong. Terus kuat. Arwah Mak pun suruh keluar kalau tak tahan kan. Tapi, tu la. Tak sampai hati kan.
Tapi, lebih baik duduk rumah sendiri kalau gini keadaannya. Jaga mereka di rumah mereka, mereka rasa berkuasa, awak akan tertekan. Gilir gilir jaga dengan adik adik di rumah masing masing lebih baik.
Dan bawa mereka rumah kita pun, hati kena kering. Tak peduli apa mereka kata, jangan jawab. Buat taktahu.
Cukup masa bagi makan, bagi.. Perlu uruskan anak dulu, uruskan anak anak dulu. Baru santuni mereka. Bila menjawab, mereka akan keluarkan perkataan lebih pedas, kaklong lagi sakit hati.
Dengar peluru keluar, kaklong lari jauh jauh, keluar rumah gi laman ke. Jangan dengar. Biar apa yang dikata, jangan jawab, jangan dengar.
It’s work for me kaklong, harapnya berkesan untuk kaklong juga..
Novaria Hj Anwar –
Kadang dengan orang mulut jahat ni, Kita kena lebih tegas. Tapi elakkan mencarut.
Kalau tak jalan, lancarkan perang dingin pun boleh. Dan kalau kuat semangat dan pada hal yang patut, sila ugut dengan apa yang mereka risaukan demi kebaikan diaorang juga..
Diaorang masih tak sedar, belum rasa nak insaf. Takut tak sempat taubat walaupun dah tua.. Na’uzubillah min zalik…
Adik kena kuatkan semangat ok. Tak ada istilah derhaka, sedangkan mereka pun tak tunjuk perangai yang elok. Jaga mental kita baik baik, lebih baik. Lagipun semua orang tau perangai mereka.
Jagalah mereka ikut kemampuan awak. Tinggal dekat rumah sendiri yang dekat dengan rumah mek pun dah ok. Abaikan kata mereka kalau awak tak mampu bertahan.
Lagipun ibu awak dah pesan apa dengn awak sebelum dia meninggal. Jangan rasa bersalah sangat, ok. Buat apa yang mampu je..
Fi hifzillah ya dik TT
Sumber – Wanita hebat (Bukan nama sebenar) via IIUMC