“Sudah trlambat, ibu”. Lps aku kahwin, ibu cemburu dngn mertuaku. Aku rasa janggal, ibu tiba2 berubah

Foto sekadar hiasan

Sudah Terlambat, Ibu

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Nama aku Iman, umur pertengahan 40. Sudah berkeluarga dan dikurniakan suami yang baik, anak anak yang sempurna dan keluarga mertua yang baik. Alhamdulillah.

Aku nak kongsikan tentang ibu aku. Ya ibu, yang sudah terlambat seperti tajuk di atas. Kenapa terlambat? Apa yang terlambat?

Aku membesar sebagai kambing hitam dalam keluarga. Tidaklah liar atau social, cuma paling tidak ada rupa dan tidak pandai seperti adik beradik aku yang lain.

Pencapaian aku biasa biasa sahaja. Jadi, layanan ibu sangat berbeza terhadap aku berbanding kakak kakak, abang abang dan adik adik.

Ibu selalu mencemuh aku di hadapan ahli keluarga kami termasuk saudara mara sehinggakan mereka tanpa segan silu turut mencemuh aku sehingga hari ini.

Cemuhan mereka tidaklah begitu biadap tetapi cara layanan dan percakapan sudah sebati dalam diri mereka.

Situasi situasi ini semua menjadikan aku seorang yang sering membawa diri.

Di bangku sekolah, aku sibukkan diri dengan aktiviti sukan, badan beruniform dan persatuan.

Namakan sahaja aktiviti yang menjanjikan aku tidak berada di rumah, pasti aku sertai. Malam malam pula aku pergi ke kelas tuisyen.

Apabila sudah mula belajar jauh dari rumah, aku jarang balik. Jika cuti semester, semua kawan kawan aku tidak sabar untuk balik, aku pulak sebaliknya.

Aku akan balik ke rumah paling lewat dan kembali ke tempat belajar paling awal. Aku masih lagi aktif berpersatuan untuk dijadikan alasan pulang ke tempat belajar awal.

Ibu sering bercakap seperti merendah rendahkan aku. Malu untuk bercakap tentang aku dekat dengan kawan kawannya. Tetapi aku lah yang dijadikan orang gaji di rumah. Semua perkara mesti aku selesaikan.

Jika tidak, maki hamun la makanan aku. Ibu sering marah marah. Jadi untuk mengelakkan ibu marah, aku akan selesaikan semua kerja rumah. Namun, ada sahaja benda yang dia nak marahkan.

Jika diingatkan sekarang, aku rasa lucu pula. Ada sahaja perkara yang dia nak marahkan jika aku di rumah. Seperti aku parasit yang menyakitkan mata wujud di rumah itu. Apa sahaja aku buat, tidak senang di mata ibu.

Fast forward, aku berkahwin dan mempunyai anak. Ibu mertua aku sangat menyayangi aku. Peluk cium itu biasa. Dialah figura ibu tempat aku bermanja. Aku diberikan bermacam macam benda dan sangat dihormati sebagai seorang individu.

Sejak daripada itu, ibu aku seperti cemburu. Dia mula ambil berat dan bertanya macam macam pada aku. Suamiku pula jadi menantu kesayangan dia dan semua sempurna pada dia.

Ibu mula minta aku selalu pulang ke rumah. Layanan ibu terhadap aku begitu berbeza, sangat baik dan ambil berat. Selalu masak sedap sedap bila aku balik.

Padahal sebelum ini, jika aku balik tidak pernah hiraukan makan minum aku.

Kemudian, ibu siap minta aku dan suami berpindah duduk di rumah mereka dan menawarkan untuk jaga anak anak aku.

Aku dan suami sudah bina hidup bersama beratus kilometer dari ibu aku dan memang mustahil untuk pulang ke kampung tinggal bersama ibu aku, apa lagi satu rumah.

Aku jadi rimas bila ibu begitu ambil berat tentang aku. Aku tak terbiasa.

Bertahun tahun ibu ajar aku untuk hidup tanpa bantuan dan kasih sayang selayaknya, tiba tiba ibu nak masuk campur urusan hidup aku. Tiba tiba ibu nak ‘involve’ dengan perkembangan aku.

Disebabkan aku sudah biasa dengan cara aku, cubaan ibu untuk tunjuk kasih sayang terhadap aku jadi janggal.

Aku tahu dia mengadu pada salah satu abang aku dan abang aku sentiasa menasihati aku untuk membuka hati aku untuk terima ibu dan berbuat baik pada beliau.

Pada masa yang sama, abang aku sendiri faham kenapa aku memberi reaksi kurang senang dengan cara ibu sekarang.

Abang menjadi saksi layanan ibu terhadap aku dari dulu tetapi sebagai anak, tiada apa yang dia mampu lakukan. Dia pun takut jika dimaki hamun dulu.

Bila sudah menginjak ke alam dewasa, abang lah tempat ibu bertanya tentang aku sebab aku rapat dengan abang. Kami sering bersembang diaplikasi whatsapp walaupun kini tinggal di negeri yang sama.

Jangan salah sangka, aku masih ambil berat tentang ibu aku tapi tiada sentuhan kasih sayang, kongsi aktiviti harian dan minta pendapat sepertimana aku dengan ibu mertua.

Dengan ibu, aku cuma hulurkan wang ringgit dan beli macam macam. Aku pulang ke kampung setiap bulan dan bagi duit lagi.

Itu sahaja yang aku selesa buat dan aku tak tahu macam mana lagi untuk tunjuk aku ini anak dia. Aku cuba untuk mesra dengan beliau tetapi aku seperti trauma layanan yang aku dapat sepanjang membesar di bawah jagaan beliau.

Bagi aku, ibu sudah terlambat. Terlambat tunjuk kasih sayang. Ibu terlambat untuk ambil berat dan ikut campur urusan hidup aku. Aku sudah terbiasa dengan didikan ibu untuk sentiasa buat semua perkara sendiri.

Iman sayang ibu, ibu. Nanti Iman balik lagi, bawa cucu cucu ibu.

Reaksi Warganet

Dhuha Imani –
Saya tak duduk dalam kasut TT. Cuma bagi saya masih tak terlambat buat ibu puan, selagi nyawanya masih dikandung badan, jadi selagi itu ada peluang untuk berubah.

Jadi tak salah jika ibu cuba untuk memperbaiki dirinya. Cuma penerimaan puan, puan doalah sebaiknya.

Moga moga sakit trauma tak diendahkan dan diperkecilkan dahulu Allah hilangkan semuanya sebelum salah satu dari kalian menutup mata.

Syamsiah Abdul Ghani –
Memang ada ibu macam ni. Saya percaya bukan awak seorang yang mempunyai nasib seperti ini.

Betullah tu, jika bukan dari ibu yang melahirkan, Allah akan hantar ibu mertua untuk mengisi kekosongan kasih sayang itu. Ini menunjukkan Allah masih sayangkan puan.

Betul nak mesra tu agak payah sebab bertahun tahun membesar tanpa kemesraan itu . Dijadikan pembantu rumah tanpa gaji hanya kerana diri puan seorang perempuan dan kurang bijak dari adik beradik yang lain ni satu penderaan jiwa.

Saya faham sangat perasaan puan. Semoga apa yang berlaku dijadikan teladan.

Rainbow Sunshine –
Ada satu fakta… Yang banyak mendera anak adalah ibu ayah kandung berbanding ibu ayah tiri..

Kasihan dengan takdir anak begini… Tidak mendapat kasih dan perhatian sepatutnya dikala anak orang lain sangat dimanja..

Namun, hidup ini ibarat roda.. Allah Maha Adil, Maha Pengasih…

Maka, ditemukan jodoh dengan suami dan mentua yang baik. Kemudian ibu bertukar menjadi baik… Maka, bersyukurlah.

Manusia ni, bila buat satu kesalahan… Lupa kebaikan yang lain.

Tapi Tuhan, sekali buat baik (taubat), boleh hapus semua dosa.

Lagi satu, berbuat baik kepada ibubapa adalah perintah Allah. Banyak disebut dalam alQuran.

Maka, buat tu kerana Allah bukan kerana membalas jasa pengorbanannya semata.. namun percayalah, ibubapa kandung ni ada naluri kasih yang sangat dalam kepada anaknya, namun mungkin ada faktor lain yang menekan..

Memaafkan tidak bermakna mampu melupakan, namun berilah kemaafan sepenuhnya sepertimana kita mahu keampunan dari semua dosa kita.. kerana memaafkan itu menenangkan.

Dengan ketenangan makan berdamailah dengan masa lalu dan hargailah ibu selagi ada..

Ada orang, masa ibu ayahnya ada, macam macam dikata dimarah. Bila dah tiada buatlah status rindu, aruwah baik, tak sempat nak itu ini..

Pilihlah jadi baik, tak rugi.

Fadhilah Ismail –
Baru pagi tadi dengar satu nasihat nabi Muhammad s.a.w yang dimaklumkan masa rancangan Al Hijrah.

Kita biasa diingatkan sebanyak 3 kali untuk mendahulukan ibu baru ayah. Rupanya Rasullah juga ada beri nasihat 3 kali kepada ibu bapa untuk berlaku adil kepada anak anak. Jangan bezakan.

Hadith sebegini juga perlu diwar warkan as parenting knowledge untuk bina keluarga bahagia.

Sumber – Iman (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *