Usai bernikah, kami bersimpuh depan ibu ayah Fir. Ibunya katakan sesuatu. Mlm itu aku menangis sepuasnya

Foto sekadar hiasan

Taqdir Allah Biasanya Berakhir Dengan Hal Terbaik II

Assalamualaikum semua pembaca budiman. Aku kembali untuk kisah Hannan dan Fir. Kisah aku yang berusia 25 tahun menikah dengan pemuda berusia 19 tahun.

Bagi yang tertinggal boleh baca disini (klik link di bawah)

Adik angkat umur 18 thn tiba2 lamar aku yg dah tua ni. Terkedu aku dgn soalan yang mak ayah dia tanya

Aku ada terbaca satu komen yang kata tak perlu pun nak sambung kisah kedua. “Dah beranak pinak so tak perlu pun nak cerita lagi. Yang komen nak minta sambung tu dah terperangkap dengan kisah bunga ala novel”.

Tapi hanya satu komen sebegitu manakala yang lainnya minta sambungan kisah kedua. Makanya aku mengikuti majority.

Untuk yang tak berminat untuk membaca kisah ala ala novel boleh saja mengambil langkah untuk skip membaca. Huhu. Pilih bahan bacaan yang kita suka dan kita minat. Tiada paksaan.

Untuk yang berminat mengetahui kisah lanjut tentang aku dan Fir, aku akan kongsikan disini sebab bagi aku, kisah aku dan Fir ada banyak juga pengajaran untuk pasangan muda yang mana baru nak jejak alam perkahwinan.

Tak kira berapa pun usia pasangan kita, MASALAH dan UJIAN dalam setiap perkahwinan adalah rencah yang WAJIB ada.

Tapi yang membezakannya adalah cara kita berhadapan dengan masalah tersebut dan sejauh mana kita “memberi” dan “menerima” untuk membawa hubungan itu hingga ke akhirnya.

Menikah dengan lelaki yang umur “matang” pun banyak saja masalah yang aku baca. Apatah lagi menikah dengan pemuda berusia 19 tahun.

Semua orang baik di belah aku dan belah Fir gusar memikirkan keadaan masa depan kami. Jadi sebab itulah aku nak share kisah perjuangan kami, sebab kisah jodoh kami bukan biasa biasa. Mana yang baik tu ambillah sebagai iktibar.

Ujian di awal perkahwinan, family Fir selalu risau sebab fikir aku akan jadi queen control, akan atur hidup Fir sebab usia aku 6 tahun tua dari Fir.

Belah sedara mara aku pula macam tak yakin macam mana budak setahun jagung macam Fir nak galas tanggungjawab besar sebagai seorang suami.

Aku pun masa awal kawin dulu selalu tanya dekat orang yang baru kenal kami, “cuba teka agak agak umur suami saya berapa?” Ramai yang teka dia lebih tua dari aku, tak pun teka dia sama usia dengan aku.

Fuhh.. lega! sebab aku agak cuak kalau orang cakap..”eh, macam kakak ngan adik la depa tu”..hahahaa.. Tapi alhamdulillah setakat ni kejadian tu belum pernah berlaku. Rasanya aku meminjam kemudaan suami untuk terus tidak dimakan usia. haha..

Selalu saja aku bagitau orang umur terbalik kami. Kira umur Fir tu umur aku, umur aku adalah umur Fir. Haha.

Di penulisan pertama dulu banyak juga aku tertinggal untuk cerita, sebab takut terlalu panjang. Mesti ada yang tertanya tanya takkan semudah tu menikah? Jawapannya tidak mudah.

Pertama : Tak semudah tu aku nak terus terima pemuda berusia 19 tahun menjadi suami aku. Terlalu muda, dan beza umur kami pun agak jauh.

Kedua: Tak semudah tu juga orang tua Fir nak lepaskan anak mereka yang belum pun masuk 20 tahun untuk menikah. Cita-cita mereka masih panjang untuk masa depan Fir.

Tapi apakan daya, aku dan Fir tak mampu melawan taqdir Allah yang mencipta segala skrip dan jalan cerita. Jika sudah jodoh, walau seluruh isi alam ini menghalang, tetap akan bersatu juga kerana ianya sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Ada momen beberapa minggu sebelum menikah, aku hampir give up dan tak mahu meneruskan pernikahan. Macam macam bermain dalam fikiran aku.

Aku takut Fir terlalu terburu buru dengan keputusannya, takut nanti dia menyesal, takut nanti family dia tak boleh terima aku yang kawin dengan adik depa yang terlalu muda.. haha.. Serius aku takut fikir macam macam kemungkinan!

Hinggalah terjadi sebuah kejadian ala ala drama tv3 … Aku pun tak boleh nak cerita lanjut sebab biarlah aku, Fir dan kawan kawan dia yang tahu tragedi itu.

Sebab aku yang hantar Fir tengah tengah malam ke rumah sewa kawan dia tu.. adoiila.. masa tu memang kelakar tapi dalam masa sama aku terharu melihat tekad Fir.

Disebabkan tragedi itu, aku nampak Fir betul betul cintakan aku. Dia akan pertahankan apa yang dia nak.. dan selagi mampu dia akan lindungi aku! Itu juga buat aku yakin, aku akan selamat disisi dia.

Dia mampu jadi pelindung aku, jadi tempat aku bermanja, tempat aku berpaut segalanya. Saat itu aku tak pandang lagi dia sebagai adik berusia 19 tahun.. tapi dia adalah segalanya untuk aku!

Orang tua Fir pun akhirnya akur dan tidak mampu menghalang kehendak dan tekad Fir. Aku masih ingat usai kami menikah, aku dan Fir duduk bersimpuh depan ibu ayah Fir. Kata kata ibu dia sampai sekarang aku ingat,

“Fir ni memang dari kecik dia selalu buat yang terbaik dan akan pilih yang terbaik. Ibu yakin dia dah buat pilihan yang terbaik kali ni”,

Subhanallah, masa tu memang rasa terharu sebab akhirnya mereka restu dengan keputusan Fir. Anak mereka matang sebelum usia, dan memilih untuk menjadi seorang suami di usia semuda itu.

Fir tidak ada masa untuk berfoya foya dengan rakan, kesana sini melepak dengan kawan kawan. Dunia dia ada aku, kelas dan kerjaya dia.

Kadang aku suruh juga dia keluar melepak dengan kawan kawan, dia tak nak. Haha. Dia lagi suka terperap di rumah dengan aku, atau kami lakukan apa saja aktiviti berdua. Sikap itu tak pernah berubah sampai sekarang, selepas 12 tahun berkahwin.

Dia masih suka duduk di rumah dengan aku, waktu lunch balik makan di rumah sebab nak makan masakan isteri dia.. Kadang orang ajak lunch dia jawab nak balik makan bini masak.

Haha.. aku bangga sebab dia memang suka masakan aku. Kadang selalu juga bawa balik staff atau business partner dia ke rumah bila aku masak.

Cerita tentang CABARAN awal kawin. Kami menetap di rumah family aku. Gaji Fir masa tu kecik, ditambah lagi masih sedang sambung belajar kelas setiap sabtu ahad. Orang tua Fir pun banyak juga bantu dari segi kewangan.

Fir matang buat sebarang keputusan, tapi biasalah dah namanya lelaki kan.. ada juga kadang terserlah sikap manjanya.

Kalau time dia manja, aku jadi ala ala kakak pada dia. Time aku bermanja, dia jadi adiwira sado yang hebat giler di mata aku. Kami gilir gilir amik turn untuk bermanja.

Saling memberi dan menerima. Takdelah setiap masa aku saja kena manjakan dia macam kanak kanak rebina. Tidak ye.. selalunya akulah yang bermanja dengan dia. Aku pun sebenarnya selalu lupa umur aku tua dari dia.

Walau Fir muda jauh lagi muda dari aku, tak pernah aku tinggikan suara atau pandang rendah pada dia. Tak pernah!

Aku hormatkan dia sebagai ketua keluarga dan imam aku. Keputusan keputusan besar semua Fir yang buat, aku uruskan bab bab kecil macam nak bercuti mana, nak pakai baju apa, menu apa.. gitulah.

Aku tak jadi queen control seperti ramai orang ingat saat awal kami menikah dulu. Aku suka saja bila Fir buat keputusan apa apa, sebab aku memang suka lelaki yang berpendirian dan berprinsip. Buat aku lagi hormat pada dia.

Sebab utama aku terima Fir pun kerana ketegasan dan karisma yang ada pada dirinya. Aku boleh taat dan patuh pada kata kata dia.

Ikutkan aku jenis wanita berdikari dan banyak buat keputusan untuk keluarga, tapi bila bersama Fir dia mampu buat aku tunduk dan patuh padanya.

Dia pun jenis degil dan sangat tekad. Kalau A kata dia, maka A lah. Aku suka sikap itu. Sebab dia pertahankan apa yang dia nak dan percaya, sama seperti saat dia pertahankan aku saat semua menghalang.

Masa awal kawin gaduh gaduh manja tu biasa. Fasa 5 tahun pertama yang orang kata sangat mencabar.

Pernah aku merajuk dengan dia sebab lapar, masa tu baru tahu pregnant anak pertama (setahun lepas kawin baru pregnant). Boleh dia bantai tidur, aku ingatkan dia keluar beli makanan.

Masa ni kami tumpang rumah sewa abang Fir sebab depa dah pindah rumah baru. Zaman kami berdua dulu memang banyak duduk sana sini, dah macam kaum Nomad. haha.. Tapi kami bahagia selagi bersama, tak kira dimanapun kami berteduh.

Sambung cerita tadi, aku merajuk dan keluar rumah pergi tunggu bas konon konon nak cari makanan sendiri. Padahal kereta ada saja dekat depan rumah…haha. Aku pun pelik kenapa aku pergi tunggu bas dekat bus stop. Saje nak cipta drama sinetron agaknya.

Tengah tunggu bas tu aku nampak Fir menggelabah cari aku dengan kain pelikat dan rambut kusut masai baru bangun tidur. Cuak giler nak kejar bini merajuk.…. Hahaha.. bila dikenang balik memang kelakar scene tu.

Tapi aku sangat kagum dengan kesabaran dan sikap tenang Fir. Dalam apa pun situasi, saat terburuk atau saat paling cemas, dia selalu tenang dan cool. Aku saja yang panik tak tentu hala.

Kalau emosi aku tak stabil, dia akan bagi aku tenang dulu, kemudian kami akan bersembang hati ke hati.

Jangan tulis panjang panjang saja, dia takkan baca. Lagi satu Fir seorang pendengar setia. Apa saja aku adu dan cerita dia akan dengar, respond dan bagi pendapat. Aku tak pernah rasa sunyi atau tak dihargai.

Sebab itu aku rasa setiap suami perlu ada kemahiran ini. Seorang wanita sangat mahukan didengari dan difahami. Aku mengadu tentang anak, tentang kerja, tentang jiran, semua kisah dia dengar dan layankan, siap bagi solusi untuk semua masalah aku.

Sebab itulah aku rasa dia sangat cemerlang sebagai seorang suami dan ketua keluarga. Umur muda Fir tak beri kesan langsung untuk dia jadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.

kami akhirnya dapat rumah sewa pertama kami waktu lahir anak kedua. Masa ni suami dapat tawaran kerja dengan gaji yang sedikit tinggi.

Fir beli kereta baru atas nama dia. Selama ni kami guna kereta buruk aku saja kemana mana. Pernah kena tolak kereta tengah jalan sebab minyak bocor langgar batu.

Banyak sangat kenangan masa zaman susah dulu. Ada sekali tu masa awal kawin, Fir nak belanja aku makan restoran yang agak mahal. Kami makan di restoran Rebung, Bangsar.

Makan tengah hari amik lauk sikit saja sebab takut mahal. Sekali harga nak dekat rm100 untuk 2 orang makan sebab kedai tu harga buffet, bukannya kira ikut pinggan. hahahaa.. pucat muka Fir nak bayar.

kami korek dompet masing masing sampai syiling semua pun keluarkan, nasib cukupp. Kalau tak kena cuci pinggan lah jawabnya. Dah la bayar mahal, rugi pula sebab makan lauk seciput dua.

Kalau tahu buffet dah ambil berpinggan pinggan. Kami ketawa terkekek kekek masa jalan kaki ke kereta.

Memang awal awal kawin tu kami sama sama berganding bahu untuk ekonomi keluarga. Aku juga masa tu alhamdulillah ada job freelance yang mendapat pendapatan agak baik.

Sambil jaga anak sambil buat kerja dan urus rumah. Banyak juga aku support Fir yang bekerja sambil belajar.

Dah anak dua pun tak habis belajar lagi.. sebab masa anak pertama lahir umur dia baru 21. Tapi apa yang aku perasan, setiap kali anak kami lahir akan datang rezeki besar dariNya.

Suatu hari, Fir balik bawa berita gembira. Dia peluk aku terharu. Bos tempat kerja lama offer dia gaji RM4k. Memang betullah kita ni menumpang rezeki anak anak.

Ketika lahirnya anak ketiga, Fir mula buka firm sendiri. Dari seorang pekerja.. makin berkembang dan berkembang hingga ada berpuluh staff.

Kini, setelah 12 tahun bersama, aku bangga melihat pencapaian Fir. Aku bangga kerana pernah meletakkan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi padanya disaat dia tidak punya apa apa. Seperti aku pernah katakan pada orang tua Fir 12 tahun yang lalu.

“Walaupun sekarang ni Fir takde apa apa, saya yakin suatu hari nanti dia akan berjaya! Saya yakin mengemudi bahtera ni bersama Fir!”

Dan hari ini Fir telahpun membuktikannya. Dia berjaya mengemudi keluarga kecil kami, malah berjaya mengemudi beberapa syarikatnya di usia yang masih muda. Itulah Adik Fir yang aku kenali 12 tahun lalu…seorang anak muda yang luarbiasa.

Aku bersyukur untuk jalan Tuhan yang indah ini. Zaman belajar dulu rasanya banyak aku menangis kesedihan kerana jalan hidup yang selalu menguji.

Tapi Allah hadirkan Fir untuk menemani langkah lelahku, untuk mengusap airmataku, untuk menjadi tempat aku bersandar bila pun yang aku mahu.

Dia selalu ada untuk aku. Dia selalu jadi penguat semangat aku… Momen paling aku ingat, usai kami menikah, malam tu aku menangis teresak esak di di bahu Fir. Terasa semua beban yang kutanggung selama ini terbang entah kemana. Aku rasa selamat adanya dia disisi.

Betapa baiknya Allah menghadirkan pasangan sebegitu cocok untukku. Semoga kalian yang membaca kisah ini juga mendapatkan cinta sejati seperti aku dapatkan bersama Fir.

Cinta yang membuatkan kita terus kuat untuk berjuang, walau sesulit apapun jalan yang terhidang di depan kita. Cinta yang mampu membuatkan kita tidak mudah mengalah, tidak takut akan apa jua cabaran yang menjengah. Selagi ada CINTA, kita akan sanggup.

Dan paling utama, letak cinta ALLAH dalam cinta yang kita miliki tu. Usai solat selalulah berdoa agar Allah kekalkan rasa cinta kita dan pasangan. Semoga kita bercinta di dunia dan juga di akhirat kelak. Ameen.

Penutup : Kami ada anak lelaki yang kini berusia 5 tahun. Pernah aku tanya Fir, “abang bayangkan satu hari nanti, tetiba anak laki kita ni balik dan kata nak kawin masa umur dia 19 tahun.. abang bagi tak?”.

Aku tengok muka Fir macam terkejut dengan soalan aku. Aku pun bantai ketawa terkekek kekek.

“Haa.. macam tu lah perasaan ibu dan ayah abang masa abang bagitau nak kawin dulu masa umur abang 19 tahun..,” hahahaha.. ketawa Fir bergabung dengan tawaku.

Tak mudah melepaskan anak semuda itu untuk sebuah tanggungjawab yang sangat besar. Iya tak mudah….tapi Allah permudahkan!

Sumber – Hannan (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *