“Tumpang rezeki anak”. Gj aku dan suami ckup2 je. Kdg bercatu. Tp bila hamil, aku nekad resign. Tk sangka, rezeki mula dtg

Foto sekadar hiasan

Menumpang Rezeki Anak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saat aku tulis kisah ni, hati aku masih berdebar. Rasa sebak, terharu. 7 tahun perkahwinan aku, aku betul betul nampak dan rasa anak adalah pembawa rezeki bermula dari masa aku melahirkan anak pertama lagi.

Selepas berkahwin, aku kerja dengan gaji yang sekadar untuk mencukupi gaji suami sahaja. Jumlah gaji aku dengn suami cuma RM3000 sahaja.

Kehidupan kami di sebuah bandar di Selangor agak memerlukan belanja yang tinggi. Dengan jumlah gaji sebanyak itu, tak adalah mewah juga tidak la susah.

Untuk simpanan biasanya tidak sempat. Bila tiba hujung bulan, kadang kadang catu duit untuk beli beras dengan telur tu biasalah. Tapi alhamdulillah nasi telur kicap pun kami makan sampai bertambah. Kadang kadang nasi lauk ikan bilis ataupun kentang goreng sahaja.

Cuma aku selalu bagitahu suami aku, aku langsung tak kisah makan macam ni tapi aku taknak anak kami nanti makan macam ni.

Sekurangnya ada lauk dengan sayur dan bukan nasi telur kicap sampai seminggu.

Alhamdulillah, lepas sebulan perkahwinan, aku mengandung. Kadang kadang risau bila fikirkan anak. Mampukah kami? Nak hantar anak pengasuh atau taska juga memerlukan duit. Betul kami tak mampu nak sediakan lebih kurang RM500 sebulan.

Bincang, rancang, bincang lagi, akhirnya keputusan kami untuk aku berhenti kerja kerana dengan itu kami boleh rancang balik belanja bulanan kami walaupun pendapatan makin kecil dan tanggungan bertambah.

Aku usahakan untuk memberi susu ibu sahaja kepada anakku. Alhamdulillah 2 tahun 5 bulan tempoh menyusu semua anakku. Rasa macam tak guna aku berhenti kerja kalau tak boleh usahakan untuk menyusu anak.

Lagipun aku tak rajin nak buat susu, nak cuci botol. Hahaha. Barang anak aku ramai yang bagi hadiah. Alhamdulillah sangat. Suami aku pun tak suruh aku kerja. Dia cakap cari duit tu hal dia bukan hal aku.

Dia yakinkan aku kami mampu hidup dengan gaji dia. Jadi, pulanglah aku ke kampung untuk bersalin dan berpantang. Rezeki datang semasa aku dalam pantang. Suami aku dapat elaun projek yang dia handle.

Jadilah jumlah pendapatan suami aku RM3000, sama seperti semasa aku bekerja. Syukur sangat. Rezeki anak. Terharu betul aku masa tu.

Terharu dengan kasih sayang Allah.

Betul betul Allah izinkan kami dah tak catu duit hujung bulan, tak perlu makan nasi tanpa lauk lagi dah. Hampir setahun kemudian, suami aku dapat kerja yang tetap jadi gaji naik lagi dengan komitmen pun yang sedikit bertambah.

Dia ambil hibah yang agak tinggi nilainya untuk aku. Dia cakap, kalau dia meninggal, aku tak payah susah susah kerja sekurangnya sehingga anak habis sekolah.

2 tahun kemudian, aku mengandung lagi. Kali ni dia tak nak aku bersalin dekat hospital kerajaan yang biasa sebab dia serik tengok aku dikelilingi doktor pelatih lelaki semasa bersalin anak sulung. Kebetulan ada kawan aku cerita pasal sistem Full Paying Patient (FPP) di hospital kerajaan.

Sangat murah dari swasta yang penting boleh pilih doktor. Masuk 4 bulan usia kandungan, aku register FPP walaupun tak ada pun lagi duit RM5000 untuk bersalin. Hahahaha.

Yang penting daftar dulu. Benda boleh cancel, buat apa nak risau. Suami cakap, adalah tu rezeki nanti.

Dia memang manusia yang tenang. Aku saja yang selalu risau. Ngam sebulan sebelum bersalin, suami aku dapat bonus dan kenaikan gaji yang cukup untuk bayar kos bersalin.

Alhamduillah sekali lagi. Jadi, habislah bonus suami aku. Btw, aku tak mintak pun. Aku ok saja bersalin dekat hospital biasa. Suami aku yang tak ok sebab taknak ada lelaki semasa aku bersalin.

Setahun selepas kelahiran anak kedua, anak sulung akan memasuki alam persekolahan. Aku dah aim 1 tadika ni dari sebelum aku kahwin.

Aku nak sangat anak aku masuk tadika tu tapi tadika tu agak mahal. Tadika islam antarabangsa. Walaupun gaji suami dah bertambah, komitmen kami pun dah bertambah.

Kami tak mampu nak bayar yuran tadika tersebut. Tapi suami aku macam biasa, relaks saja dia. Dia cakap, kalau aku suka tadika tu, book saja la. Adalah rezeki anak nanti. Kemudian suami dinaikkan pangkat dengan pertambahan gaji lebih kurang RM1500 lagi. Alhamdulillah.

Rezeki anak dapat sekolah situ. Meleleh air mata aku tengok anak aku pakai uniform sebab tu impian aku dari sebelum kahwin.

Kehidupan kami makin senang tapi masih di rumah dan kereta yang sama. Cuma dia mampu la belanja aku makan dekat tempat sedap sedap. Hujung minggu saja gantung kuali.

Beberapa bulan kemudian, suami plan nak beli rumah. Dia ada taste dia, bdan aku ada taste aku. Tapi dia ikut pilihan aku sebab dia cakap dia beli rumah untuk aku. Dia biar aku decide sepenuhnya.

Tetapi, bila aku kira kira, bagi aku kami masih tak mampu nak beli rumah itu sebab agak mahal.

Taste aku kondo/serviced apartment manakala taste dia landed. Gaji dia naik RM1.5k. Bulanan rumah tu pulak hampir RM2k, dengan anak sekolah lagi. Lagi sekali aku tak yakin. Dia macam sebelum ni la, relaks saja. Dia yakinkan aku kami mampu.

Aku dah geram, aku tunjuk kira kira dekat dia memang tak mampu. Hahhahaha. Dia yakinkan aku. Dia cakap rumah tu untuk aku dan anak anak. Jadi, dia proceed. Dipendekkan cerita, rezeki dia dapat beli rumah tu.

Untuk deco, kami guna duit dari icitra dengan ilestari. Kebetulan PKP, anak kami tak daftar sekolah. Setakat tadika, aku mampu ajar lagi.

Dia pun wfh. Jimat la bajet kami dan tak ada masalah bayar rumah tersebut. Sekarang di sinilah kami, di rumah impian aku. Terima kasih Allah. Terima kasih suami.

Hujung tahun lepas, aku survey lagi tadika untuk anak sulung aku sebab dah pindah kawasan baru kan. Aku berkenan satu tadika ni tapi agak mahal jugak.

Aku suka sebab tadika ni banyak aktiviti. Aku cakap saja kat suami tadika ni bagus, ada aktiviti macam macam siap ada ajar mengaji individu.

So, kami book saja dulu. Book saja la. Tapi aku tak yakin pun dapat hantar situ. Hahahaha.

Banyak kali aku bagitau suami untuk tukar tadika lain yang lagi murah tapi suami taknak. Dia memang selalu yakin ada rezeki anak. Dia cakap kalau tadika tu bagus, hantar jela situ. Ada lah nanti rezeki anak.

Dalam masa yang sama, dia saja saja tengok kerja dekat tempat lain. Dapat panggilan temuduga, dia pergi. Alhamdulillah syukur, bila kita niat nak bagi yang terbaik untuk anak, Allah tolong kan? Suami dapat better offer with better salary. Again… Rezeki untuk anak.

Aku bukanlah orang bijak pandai yang arif agama. Tetapi bila berkaitan anak, dari dulu aku dan suami amal, jangan berkira dengan anak sebab anak tu pembawa rezeki.

Kami tidaklah bagi anak kemewahan cuma kami cuba penuhi apa sahaja yang anak minta selagi benda elok untuk anak.

Paling aku dan suami suka penuhi adalah keinginan anak nak makan apa. Masa duit kami tak banyak sekalipun, kami anggap apa yang anak nak makan tu termasuk dalam belanja dapur yang wajib kami beli. Nak cut cost, bukan cut makanan kesukaan anak.

Kami selalu anggap yang kami tumpang rezeki anak. Anak kami baru 2 orang tetapi setiap kali pertambahan anak ataupun pertambahan komitmen untuk anak, mesti gaji suami bertambah.

Selain itu, sentiasalah juga amalkan tips murah rezeki lain yang dah biasa orang lain share.

Alhamdulillah.

Niat aku berkongsi bukan untuk berbangga dengan apa yang aku ada sekarang. Kami bukannya kategori kaya pun. Kereta kami pun cuma kereta tempatan yang kecil dan murah. Kami cuma ada rezeki lebih sikit, tak susah.

Aku cuma nak bagitahu anak itu pembawa rezeki. Jaga pembawa rezeki kita, insyaAllah ada rezeki untuk kita. Kepada yang belum ada rezeki anak, aku minta maaf. Aku langsung tiada niat nak buat kalian terasa.

Allah dah tentukan rezeki masing masing. Allah itu Maha adil. Kepada suami, terima kasih kerana banyak penuhi impian saya. Mungkin itu juga punca rezeki abang bertambah.

Sekian. Mama

Reaksi Warganet

Aisyah Mansor –
Rezeki Allah tu luas, Tak terhad pada harta sahaja. Macam suami Saya gaji basic 1.2k, masih sampai sekarang. Saya tak bekerja, tapi cukup untuk kami berempat di rumah.

Kadang kadang saya fikir lebih baik saya yang bekerja, gaji lebih tinggi. Tapi dia lagi suka anak anak depan mata, sendiri yang jaga. Saya kena bijak bajet barang barang semua, so setiap Hari Saya memasak. Entah sampai bila tak pasti. Tapi saya didik supaya bersyukur.

Faz Li Diya Midd –
Pernah dengar 1 ceramah – rezeki anak memang ada, ibarat macam atas pohon dekat syurga. Nak dapatkan rezeki tu kena kait.

Parents kerja keras, perform kerja dengan baik, layak naik pangkat naik gaji, umpama berjaya lah kait rezeki tu.

Tak perform, kerja main main, takde usaha, maka kekal lah rezeki tu dekat atas tak dikait, tak turun turun. Contohnya la.

Ada jugak orang bertuah, tak kait pun rezeki tu gugur sendiri. Contoh simple, dapat anak, menang cabutan bertuah

Anugerah macamni Allah bagi pada siapa yang dia nak, tapi bukan semua orang. Nak bagi siapa, semua tu rahsia Dia.

Jangan kau tengok orang dapat rezeki terpijak lepas beranak, kau pun terus buat anak ramai ramai dan tunggu rezeki terpijak jatuh.

Siti Nur Alia –
Rezeki anak tu satu, tapi saya rasa bila suami tu baik, buat semua demi anak isteri, sanggup galas amanah yang Allah bagi dengan baik, Allah mesti akan bagi kemudahan dalam tiap keputusan bila bersangka baik dengan Allah.

Tapi suka saya nasihatkn TT dan diri saya juga agar buat keputusan yang jangka masa panjang, benda mahal murah ni kehendak. Jadi ukur baju dibadan sendiri.

Kalau tak pergi yang mahal, anak jadi tak pandai ke? Dapat berjimat disitu boleh guna untuk anak juga nanti.

Macam rumah landed vs condo/service apt, ade pro and cons yang saya rase sebenarnya boleh dibincang lebih details bukan sekadar nak penuhi impian.

Apapun saya tumpang gembira dengan rezeki puan skeluarga, alhamdulillah kan. Semoga semakin bertambah rezekinya ameen ya rabb.

Suziana Md Zain –
Benar setiap anak ada rezeki tapi sebenarnya bila kita yakin dengan Allah, bila kita meletakkan Allah yang paling utama maka berbahagialah.

Dan sebenarnya bila suami sendiri jalankan tanggungjawab dengan baik dan isteri redha pada setiap perkara maka nikmat mana yang kau nak dustakan.

Tapi yang belum ada rezeki anak jangan gusar. Rezeki datang dalam pelbagai cara. Cukup yakin dengan Allah.

Sumber – Mama (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *