Duit dah abis. Pekerja, client dah kejar. Nak pinjam ahlong, aku takut. Isteri dah mula berbunyi. Aku da penat

Foto sekadar hiasan

Aku Give Up

Salam semua. Nama aku Mahmud. Aku dah berkahwin dan ada anak 3 orang.

Sebelum ini aku bekerja di syarikat swasta dan aku selesa sehinggalah PKP pada tahun 2020 di mana aku antara yang menjadi salah seorang yang diberhentikan kerja.

Aku tidak salahkan syarikat sebab aku faham prestasi kewangan syarikat pada waktu tu. Tahun 2019 bukanlah tahun yang baik untuk kami dan masuk ke tahun 2020, PKP pula bermula pada bulan Mac.

Bulan Mei, aku dihubungi oleh boss dan dia dengan penuh sedih memberitahu bahawa dia terpaksa tutup department aku.

Oleh sebab itu, aku dan rakan rakan satu department secara rasminya bergelar penganggur bermula pada bulan Jun 2020 berbekalkan pampasan tiga bulan yang diberikan oleh syarikat.

Pada masa tu memang aku gelisah, resah, tertekan. Aku risau sangat pada masa tu fikirkan anak yang masih kecil.

Isteri aku bekerja tapi selama aku bekerja aku tak pernah usik duit gaji isteri sebab bagi aku, hasil kerja dia biar dia sendiri yang guna dan uruskan. Belanja rumah dan komitmen lain biar aku hadap.

Selepas dua bulan tak dapat kerja, aku dihubungi oleh client aku yang lama, minta aku buatkan satu kerja di kilangnya.

Dari situ aku terus daftar syarikat entreprise di SSM dan secara rasminya aku bergelar seorang yang bekerja sendiri.

Bermula dari situ aku semakin dapat beberapa projek lain di kilang kawan aku tu. Nilai setiap projek tak besar, tapi masih mampu untuk aku bayarkan segala komitmen.

Tapi itu lah, buat kerja dalam bentuk projek ni risiko dia satu – payment.

Kilang/client memang tetapkan pembayaran akan dilakukan selepas sekurang kurangnya 30 hari invois dihantar dan di sini aku mula rasa tertekan.

Walaupun terma adalah 30 hari, selalunya pembayaran hanya akan dilakukan sehingga mencapai 60 hari dan bagi seorang yang mula bekerja sendiri tanpa sebarang persediaan terutamanya dari segi modal, aku sangat tertekan.

Tambahan pula memang aku seorang sahaja yang menguruskan bisnes ni tanpa ada sebarang pembantu.

Sampailah ke satu ketika, aku betul betul kehabisan duit di dalam bank. Ada beberapa projek perlu disiapkan di beberapa kilang.

Aku dikejar client, tapi pada masa yang sama client aku tak bayar lagi projek projek aku yang dah lepas. Bukan sahaja dikejar client, pekerja kontrak juga selalu hubungi aku untuk menuntut payment daripada aku.

Tekanan kali ni aku rasa lagi teruk daripada apa yang aku rasa masa hilang kerja dalam tempoh PKP dulu.

Aku cuba bercerita kepada isteri, tapi aku kecewa. Aku harapkan ada kata kata penenang jiwa, tapi segala apa yang aku ceritakan dia tak endah.

Bukan sekali, bukan dua kali, tapi setiap kali aku cuba meluah, isteri aku akan tukar topik.

Tambahan pula, aku terpaksa meminta tolong isteriku mendahulukan duitnya untuk bayar komitmen rumah, kereta dan segalanya.

Bila aku dapat payment, aku bayar semula. Bila dah tiga bulan aku terpaksa guna duit isteri, dia mula bunyi.

Aku tak salahkan dia. Bukan tugas dia untuk keluarkan duit buat keluarga.

Aku cuba bercerita kepada kawan kawan. Apa yang mereka katakan adalah – sabar.

Ya, memang perlu sabar. Aku juga mahukan cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah aku ni. Ada juga kawan yang gelakkan saja cerita aku.

Aku dah hubungi bank dan juga syarikat kredit, tapi semua permohonan pembiyaian aku ditolak. Aku pernah terfikir nak pinjam duit dengan Ah Long, tapi aku tahu nanti aku akan dapat susah.

Bila tak dapat jumpa jalan penyelesaian, aku rasa sangat penat.

Aku mula tutup handphone aku. Aku rimas dengan orang sekeliling. Aku jadi cepat marah, aku dah tak rasa nak bercampur dengan orang dan aku banyak habiskan masa di dalam bilik kerja di rumah aku.

Aku betul betul tertekan dan buntu.

Isteri aku pula selalu bising bila aku selalu termenung dan tidak bercakap banyak macam dulu. Malah aku dituduh ada perempuan lain lagi.

Aku cuba bercerita kepada mak ayah dan adik beradik, apa yang aku dapat hanyalah kecaman. Diorang kata aku tak pandai nak uruskan hidup.

Isteri aku sangat rapat dengan mak aku dan mak aku selalu lebihkan menantu daripada aku sendiri. Jadi apa sahaja yang berlaku dalam rumah aku akan sampai ke pengetahuan mak aku dan aku akan dimarahi oleh mak aku pula.

Sekarang ni aku rasa betul betul keseorangan.

Aku tak lena tidur. Bila aku tidur, mimpi yang pelik pelik datang sampai aku kerap terjaga.

Aku rasa jiwa aku kosong. Rasa macam tak ada apa.

Aku pernah terfikir ‘takde ke lori nak langgar aku?’ Aku fikir aku ada insurans nyawa. Kalau aku mati mesti anak bini aku takde masalah nak teruskan hidup berbekalkan duit yang ada.

Ada sekali sewaktu aku memandu, aku separa sedar pusing stereng kereta aku ke laluan lori yang sedang laju di lorong bertentangan. Nasib baik aku tersedar dan cepat cepat tekan brek.

Aku cuba dekatkan diri dengan Tuhan. Tapi solat aku sekadar solat. Takde ruh. Tahu tahu dah tahiyyat akhir.

Mengaji pun macam tu juga. Aku baca tapi aku tak tahu apa yang aku baca.

Jiwa aku tetap rasa kosong.

Aku tak tahu sampai bila aku akan stuck dalam keadaan macam ni.

Dulu aku suka bermain bola, running, bermasyarakat dengan orang sekeliling rumah aku. Tapi sekarang semua minat tu hilang. Aku banyak mengelak daripada berjumpa orang.

Aku duduk saja dalam rumah. Dalam bilik aku. Anak anak dapat hiburkan hati aku tapi lepas diorang buat hal sendiri, terus aku rasa kosong.

Aku tak tahu sampai bila aku akan rasa macam ni. Aku betul betul penat.

Aku give up.

Reaksi Warganet

Muhammad Arif –
1) jangan ambil banyak job kalau tak cukup modal untuk pusing dan takde buffer modal.

2) Financial dah pulih nanti boleh start cari bini baru. Baik masa senang je, baik tak payah simpan.

Nur Abdullah –
Sian awak, jangan putus asa. Cuba awak bangun di sepertiga malam, mengadu segala masalah kepada Allah.

Luahkn apa yang terbuku dihati dengan airmata dan sepenuh rasa. Dia yang mmberi rezeki. Dia yang maha pemurah dan maha penyayang. Takkan Dia akan biarkan awak sorang sorang tanpa pertolongan dari Nya.

Mohon sungguh sungguh. InsyaAllah awak rasa tenang. Saya doakan awak dilapangkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan…aamiinn..

Nana Dagang –
Being there. Nak tulis ni pun rasa nak menitis airmata.

Nak solat, rasa malas. Malas dah nak buat pape pun. Letih dah.

Tapi saya tetap teruskan lawan. Setiap masa tak putus saya baca doa, ada dalam Al-mathurat.

“Ya Allah, alu berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada Mu dari sifat pemalas dan lemah, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang”

Rasanya semua apa yang saya perlukan semua ada dalam doa ni. Nak solat pun letih, tak bersemangat. Nak doa pun rasa dah tak semangat, sebab semua tak dimakbul ataupun lambat sangat makbulnya.

Dalam doa ni saya mohon lebih lebih baris pertama, kalau ujian Mu bagi berat dan tak habis-habis ni, kurang-kurang Kau tenang kan hati aku hadapi semua ujian Mu, jangan ada rasa resah atau gelisah.

Norizan Mamat –
Salam,

Sebelum makcik mula nasihat, makcik nak share sikit.

Makcik ada keluarga yang buat kontrak buat rumah. Dia macam mandur la. Cari projek dan cari pekerja dan siapkan projek.

Ada beberapa kejadian, pekerja cari sampai ke rumah dia untuk gaji. Isteri dia terpaksa bantu dahulukan gaji dia. Makcik lihat terdapat beberapa kelemahan dia dalam pengurusan kerja dia.

Contoh, dia dapatkan projek, dia dibayar, kemudian kiraan keuntungan serta gaji pekerja tanpa menolak gaji sendiri. Menyebabkan kekadang dia jadi rugi walaupun projek bernilai puluhan ribu.

Maksudnya, dia nampak macam projek besar, tetapi, dia sendiri tak ada duit.

Untuk kes En Mahmud, makcik cadangkan cuba untuk lihat semula cara kerja. Samada pembayaran dibuat secara berfasa mengikut peratus siap atau macam mana.

Ada tak perjanjian untuk setiap projek. Jika ada, apa yang boleh dibuat dengan kelewatan bayaran tu.

Seperti orang boleh tuntut bayaran pada kita, kita cuba menuntut bayaran pula pada orang. Push. Macam mana ? Kena cari jalan untuk dapatkan bayaran by hook or by crook. Ini jalan terakhir kita. Dapatkan bayaran sekurangnya untuk menjelaskan bayaran kita yang pending pada pekerja atau supplier dan sebagainya.

Lepas dah clear semua tu, kita fikir semula samada berbaloi atau tidak kita teruskan buat projek dan ada syarikat sendiri macam tu.

Jika perlu tutup, tutup la. Buat kerja kerja ringan dan mudah dulu sambil kumpul modal atau cari peluang perniagaan yang lain.

Memang tak mudah, tetapi, bangkit demi anak anak.

Isteri tu bukan tak bagus, tetapi, dia lebih memikirkan perut anak anak daripada bayaran hutang projek atau gaji pekerja itu ini. Komitmen lain boleh hold, tapi, makan anak anak, keperluan anak anak memang tak boleh.

Selalunya perempuan/isteri/ibu akan fikir yang itu, bukan hanya fikir nak jadi penyokong suami.

Masa nak buka syarikat, masa nak ambil projek tu, isteri setuju tak ?

Biasanya isteri nampak apa akan jadi dekat depan. Dan bila berlaku, memang sakitnya hati sebab suami kekadang tak dengar nasihat dari awal.

Kalau makcik memang gitu. Kalau nasihat kita tak dengar, bila susah, jangan mengadu. Itu prinsip, bukan sebab waktu senang suka, susah benci dan sebagainya.

Ok, kesimpulan, first, tuntut bayaran dulu, uruskan semua bayaran yang kita terhutang, sebanyak mungkin. Kemudian tutup syarikat.

Lepas tu cool down dulu, rancang elok elok, cari kerja yang tak ada risiko besar.Lepas dah stabil, kalau minat meniaga, barulah fikir lain.

Semoga dipermudahkan urusan.

Sumber – Mahmud (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published.