Tkjut mak, ayah bw ke Putrajaya jmpa madu. Dgn sedara mare, ayah fitnah kami. Duit mak 60k, ayah kebas. Dh cerrai, ayah main ktor pula

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..

Saya Tiya, semestinya bukan nama sebenar. Tujuan saya bercerita disini adalah untuk membetulkan fitnah terhadap keluarga saya, adik beradik saya terutama fitnah besar kepada mak saya.

Fitnah yang dibuat oleh ayah saya sendiri kepada adik beradiknya (makcik pakcik saya dan orang kampung).

Watak sampingan ialah adik lelaki saya yang menyokong tindakan ayah saya kerana HARTA. Iya, kerana harta dia pernah menolak mak saya.

Kerana harta, dia sanggup menyokong dan memfitnah kami adik beradik dan maknya sendiri kepada makcik pakciknya (adik beradik ayah) untuk mendapat sokongan.

Tujuan saya menulis disini dengan harapan ada ahli keluarga belah ayah yang membaca. Ini soal maruah mak saya.

Cerita yang direka oleh ayah dan adik lelaki saya kepada makcik pakcik (belah ayah) hingga mereka memandang kami anak derhaka. Menggelarkan mak saya perempuan sihir dan macam macam lagi.

Macam mana kami tau, abang saya ada dalam group whatsapp family besar tu. Mereka menghina emak saya di dalam tu. Lagi sedih adik lelaki saya yang menabur benih dan menanam kebencian makcik pakcik saya terhadap kami terutama mak.

Untuk pengetahuan, ayah dan mak saya sudah bercerrai pada tahun lepas. Salah satu sebabnya ayah saya ada perempuan lain.

Ini bukan kali pertama ayah ada perempuan lain. Dulu siap bernikah dengan seseorang dan satu hari ayah bawa mak ke Putrajaya untuk kenalkan kepada madunya.

Terkejut beruk mak, ingat nak bawa jalan jalan. Hancur berkecai perasaan mak saya lepas tau. Perkara ni makcik pakcik saya tak pernah tau. Hanya mak dan kami adik beradik saja simpan rahsia ayah.

Tapi jodoh dengan bini kedua tu tak lama. Saya pendekkan cerita, percerraian mak dan ayah saya terjadi ialah ayah ada perempuan lain lagi time mak saya sakit. Sebelum dan tengah sakit. Perempuan tu saya gelarkan Amnah (bukan nama sebenar).

Siang malam ayah saya dengan Amnah tu berbalas balas whatsapp, siap call sampai lewat malam. Mak saya tengah tidur pun ayah masih berwhatsapp dengan Amnah. Mak saya buat buat tidur. Ayah kerap bangun tengah tengah malam untuk jawab call diluar.

Oh lupa, umur ayah saya 60 lebih ya. Amnah tu tak silap saya lewat 40an. Kalau orang tengok ayah saya, tak percaya langsung perangai sebenarnya macam tu. Pergi masjid setiap masa. Yang tak tahannya, dekat masjid pun masih rancak berwhatsapp dengan Amnah.

Kami tau sebab kami pernah ambik handphone ayah curi curi, kami buat Whatsapp Web. Ayah saya buta IT.

Kami adik beradik yang duduk serumah dengan mak dan ayah ni pun selalu pasang telinga time ayah bergayut dengan Amnah. Ayat kalah orang muda, geli dan jijik untuk dibaca dan didengar.

Nak dijadikan cerita ayah berhubungan dengan Amnah ni time mak saya sakit. Sebelum mak saya sakit lagi sebenarnya dah start contact.

Time mak saya dihospital hatta masa operation pun ayah saya sekalipun tak pernah datang. Yang dia tau, berwhatsapp dan bergayut dengan Amnah di rumah.

Kami adik beradik makan hati tengok perbuatan ayah. Dan yang paling sedih bila ayah tak nak bayarkan operation mak saya, kebetulan baru dapat duit beratus ribu hasil jual asetnya. Duit tu ayah saya nak guna untuk beli kereta Mercedes.

Dengan kereta tulah ayah saya tunjuk pada Amnah. Ayah saya suka menunjuk nunjuk hartanya pada Amnah. Sebab tu Amnah jatuh hati.

Projeknya yang kena tipu pun nak show off. Yang paling sedih ayah suka cerita tak betul pasal mak saya pada Amnah. Menfitnah mak saya. Memuji muji Amnah berlebihan. Padahal belum kahwin lagi.

Itu semua kami baca di Whatsapp Web. Sampai ke harini kami masih simpan bukti bukti message mereka berdua.

Tapi lepas bercerrai, ayah bagitau ada kawannya tolong carikan orang untuk jaga dia. Ayah tak pernah jumpa pun perempuan tu, first time jumpa time nikah tu. Iya, ayah dan Amnah dah kahwin.

Dengan orang lain, dengan adik beradiknya boleh la nak kelentong.

Bila ayah cakap macam tu pada kami, abang saya bagitau pada ayah, “eh bukan perempuan ni ke yang message message dulu”, terus ayah halau balik. Cakap anak derhaka. Kami ni dah dilabel anak derhaka dah lebih beribu kali dah.

Banyak perkara sebenarnya ayah ceritakan benda tak betul pada adik beradiknya dan orang kampung tentang kami anak anaknya dan mak (time tu masih belum bercerrai). Saya pun tak pernah jumpa lagi perangai orang lain macam ayah saya.

Satu perangai ayah saya yang saya perasan sejak saya sekolah lagi, ayah saya ni suka orang hormat dia, pandang tinggi pada dia. Suka angkat diri sendiri. Benda benda yang dia cerita pada orang semua tak betul. Tak faham betul.

Contohnya, kami nak balik kampung ke Kedah. Dalam perjalanan, ayah call semua kawan kawan dia, bagitau dia ada meeting ke projek di Kedah. Ni dah on the way ke sana. Padahal orang tak tanya pun. Dah la tak betul.

Kadang kadang call abang ipar saya bagitau dia makan dekat kedai hari hari. Seolah olah dekat rumah tak masak dan tak jaga dia.

Padahal dia elok saja makan nasi bertambah dekat rumah tu. Sebelum pergi masjid makan, balik masjid sambung makan. Dah abang ipar pandang serong yang duduk dekat rumah ni. Lagi satu tabiat ayah ni, suka panggil kami adik beradik sorang sorang, cerita buruk abang ke kakak kami.

Lepastu panggil sorang lagi cerita pasal buruk adik beradik lain pulak. Cerita yang tak betul pulak tu. Kenapa entah perangai macam tu. Sepatutnya bina kasih sayang kami adik beradik. Ayah saya sihat ya, bukan ada masalah sakit mental.

Dan benda ni la yang terjadi sekarang, ayah mereka reka benda yang tak betul pasal mak saya dan kami adik beradik pada adik beradiknya. Seolah olah emak saya jahat, tak jaga dia elok la, tak bagi bergaul dengan adik beradiknya lah (time belum bercerrai).

Dulu pernah keluarga besar family ayah nak buat family day. Ayah yang tak bagi kami join, tapi mak yang paksa ada anak yang pergi untuk wakil family saya. Mak tak boleh pergi ayah tak kasi. Abang saya join ayah saya tak tau pun.

Tapi ayah saya putar cerita dekat adik beradiknya selama ni mak saya seolah olah tak bagi kami sekeluarga bergaul dengan family ayah saya. Macam macam lagi la fitnah lain yang keluar

Selain tu, untuk pengetahuan makcik pakcik saya (kalau mereka baca), semasa dalam perkahwinan (belum bercerrai), mak saya banyak keluarkan duit dia sendiri untuk tampung perbelanjaan keluarga.

Hampir semua kereta yang ada dan pernah ada, mak saya yang bayar guna duit gaji mak saya. Semua perabot dalam rumah mak saya yang beli. Pakaian kami adik beradik termasuk baju ayah.

Baju raya setiap tahun semua mak saya yang bayar. Mak saya bekerja. Buat rumah (kediaman semasa kahwin) pun mak saya banyak keluarkan duit untuk bantu bina rumah. Ayah saya pulak selalu kena tipu dengan orang.

Hampir semua projeknya kena tipu. Yang bestnya, nak buat projek paksa paksa mak saya keluarkan modal. Menjerit jerit kalau tak bagi.

Bukan tak nak bagi, tapi setiap kali bagi, selalu projeknya tak jadi kena tipu. Duit mak pun lesap macam tu saja. Bukan sikit ya, kadang kadang mintak puluh ribu.

50 ke 60 ribu duit aruwah nenek bagi pada mak pun ayah kebas. Sekalipun ayah tak pernah bayar balik. Janji pinjam, nak bayar balik. Kalau ayah ada duit, dia buat senyap saja. Gaji pekerja ayah saya pun mak saya selalu bayarkan, mak siap gadaikan emas untuk bantu bayar gaji pekerja ayah.

Ayah bawak pekerja pekerja datang tempat kerja mak, buat muka seposen mintak tolong mak bayarkan gaji pekerja dia sebab dia kena tipu dengan kerani dia. Kerani ayah bawak lari duit syarikat. Lesap. Bila anak anak nak bantu, nak ajar ayah tak nak. Tak percaya pada anak sendiri. Lebih percaya orang luar.

Setiap kali ada projek baru, memang mak dan abang akan tanya details. Bila anak anak bagitau tak boleh percaya ni, mulalah jerit jerit anak derhaka.

Tapi modal mintak dekat mak dan abang sulung. Habis nama kami adik beradik ayah guna untuk buat pinjaman projek dia. Last last projek kena tipu, duit mak dan abang burn macam tu saja. Bukan sikit sikit ya.

Niat saya bercerita bukan untuk buka aib ayah. Hingga harini dan sampai bila bila, kami sayang ayah kami. Kami sayang ayah dunia akhirat walaupun ayah banyak memburukkan kami.

Sebelum bercerrai, bermacam macam cara kami usahakan untuk menjadi seperti keluarga orang lain, keluarga sebenar yang tiada fitnah di dalamnya, yang penuh kasih sayang.

Tapi kami tak menemui jalan kerana ayah tak nak berbincang malah menjadi jadi lagi fitnah keatas kami dan mak.

Selepas ayah dan mak bercerrai, tugas kami adik beradik hanya satu, ayah dan mak dapat hak masing masing yang sepatutnya mengikut syarak. Tapi ayah saya main kotor, nak tukarkan nama aset asetnya pada orang lain supaya emak saya tak dapat harta sepencarian.

Kami membantu mak untuk proses mendapatkan haknya melalui mahkamah syariah. Lawyer mak sarankan untuk buat injuksi pada harta ayah supaya ayah tak dapat tukar nama harta hartanya sebelum kes harta sepencarian selesai dan kami setuju.

Dan sebelum kes harta sepencarian ni selesai, mahkamah telah keluarkan keputusan sementara iaitu separuh separuh untuk hak mak dan ayah berdasarkan sumbangan mak semasa perkahwinan.

Jadi untuk masa sekarang, mak boleh ambil sewa rumah separuh, ayah separuh (keputusan mahkamah).

Tapi apa yang terjadi sekarang Amnah masuk campur, makcik pakcik masuk campur tak bagi mak kutip sewa bahagian mak. Siap panggil polis lagi.

Ayah saya memutar belit fakta terlampau banyak hingga adik beradiknya pandang serong pada mak, herdik mak, cakap dekat mak tak malu ambik harta ayah.

Macam macam la perkataan keluar. Walhal ayah saya sendiri dah tandatangan menerima keputusan mahkamah tersebut (keputusan sementara sebelum kes harta sepencarian selesai).

Saya cuma nak makcik pakcik saya tau, kami adik beradik sayangkan ayah dunia akhirat. Kami nak selamatkan ayah kami dari makan bahagian mak.

Hanya kami yang benar benar mengenal perangai sebenar ayah kami. Kami buat dengan cara kami (melalui mahkamah syariah) kerana kami kenal bapa kami.

Percayalah pada keputusan mahkamah syariah. Mahkamah syariah tidak zalim dalam membuat keputusan. Mak kami cuma menuntut bahagian dia yang sewajarnya.

Jangan cuma kalian adik beradik, kalian menafikan kebenaran. Menyokong pada yang tidak benar. Buta pada kebenaran. Sudah berapa kali kami adik beradik cuba jelaskan perkara sebenar, tapi masih sama.

Terpulang pada pandangan masing masing, yang penting Allah tau apa kami adik beradik buat. Allah tau niat kami. Saya cuma menulis disini untuk mencuba nasib maruah mak saya dapat dibetulkan.

Hanya kami yang tau betapa teruknya mak kami diperlakukan, difitnah oleh suaminya sendiri. Kesan yang terjadi pada emak sangat mendalam. Kami menjadi saksi sakit dan kesedihan mak kami. Semoga syurga yang tertinggi balasan untuk mak kami. Aamiin ya Allah..

Reaksi Warganet

Nur Hairunnisha –
Ayah awak tu tak kena lagi macam ayah saya. Saya pun dilabel anak derhaka. Ah, biar la, bukan bapak jalankan tanggungjawab dia pun.

Hidup dengan baran tak menentu, penampar, penyepak, penendang, penumbuk jadi lauk kami. Sumpah seranah memang nasi kami adik beradik la..

Sekarang dah bercerrai, takde anak jaga dia. Apa lagi, kami adik beradik la dicanang sebagai anak derhaka. Dia mana cite hal buruk dia.

Kelakar pula bila dia cite kena halau dari rumah. Padahal dia wajib tinggalkan rumah tu. Dicanang pada orang tu rumah dia buat, padahal aruwah atuk buatkan untuk anak perempuan dia sebab menantu jenis tak mampu. Atuk pun tahu anak perempuan dia yang menanggung laki..

Cik Taa –
Umur 60++ dah memang tak boleh ubah. Nak bersihkan nama mak awk pun tak bole sebab ayah awak memang licik. Ni mesti sepatah Kita nak perbetul, 100fitnah dia tambah.

So, berdoa adalah jalan terbaik lagi lagi umur masing masing dah lanjut. Cuma dapatkan hak mak awk ikut hukum syarak je. Yang lain lantak la ayah awak nak buat apa pun smpai dia tak boleh bercakap 1 hari nanti baru la dia senyap.

Penat layan ayah yang macam ni kan.

Shafika Ilha –
Ayah awak dengan adik beradik dia boleh pergi mampus je kalau saya dekat tempat sis. Sibuk kata anak anak derhaka. Ingat perangai dia tuh ahli syurga sangat ke.

Duit mak awak yang lesap pun tak diganti, bahagian mak awak pun dia nak kaut sekali. Memang manusia hati hitam dan tamak.

Tak payah gelarkan panggilan ayah laa… jiijik pulak dengar gelaran tuh tak layak untuk lelaki yang hina and fitnah darah daging sendiri.

Hidup nih tak boleh jadi lemah kalau berhadapan dengan manusia bertopengkan syaiitan nih sis. Sis dgn adik beradik sila fight untuk pihak mak. Tak payah nak bagi muka dekat lelaki tua tak sedar diri tuh

Binti Zikr –
Kalo dah tak jadi guna mahkamah syariah, buat cara kejam, guna mahkamah sivil. Bawak semua bukti tempek kat dahi. Saman semua yang fitnah, mengata, masa tu baru tetiba ada penyakit nyanyuk tersedar dari lena yang panjang.

Tiba tiba ada pulak parkinson yang terketar2 sebab tak mampu bayar. Tuntut setengah juta pulak. Wahhhhhh… Kayo mak mu dik.

Moga Allah mudahkan semuaaaaaaa urusan hampa.

Kami ada jugak masalah gini, cuma tak la bapaknya gini. Bapak kami insyallah baik akan datang, alhamdulillah baik dengan anak2 cucu2 sekarang. Tapi kalo ada next step dari depa depa depa tuuu, rancangan tuntutan harta sepencarian, memang ke sivil la kalo nampak berat sebelah atau campur tangan pihak lain.

Siti Rosmiza –
Fight bahagian mak. Mesti ada jalan walau 1000 orang pun bangkang.. Sebab mahkamah dah tetap kan. Block pakcik makcik kamu… Tunjuk surat dekat polis tu, jgn masuk campur.. Setel dan fight bahagian emak.

Dah setel nanti, pergi mampus sama keluarga bapak dan amnah Mu itu. Naratif anak derhaka ni sampai dia sakit melarat kamu tak kutip pun kena label. Buat bodo je. Nak label label la. Kisah apa benda. Sekejap je..

Dengan perangai selalu kena tipu dengan orang tu.. Tak ke mana lah.. Pakcik makcik kamu pun nak harta tu sebab tu jadi mcm tu..

Kha Yu –
Jadikan cerita seumpama ini peringatan buat semua perempuan. Bila bila masa suami boleh buang isteri dan anak anak macam sampah.

Bila bila masa mertua dan ipar duai boleh benci sekelip mata atau bertepuk tangan dengan kegagalan kita. Orang luar tetap tak akan jadi sebuah keluarga. Cuma perlu dilayan sewajarnya sahaja.

Sumber – Tiya (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *