Foto sekadar hiasan
Assalamualaikum dan hai semua.
Sebelum aku meneruskan confession, aku harap semua pembaca dapat menitipkan komen yang positif dan memaafkan aku andai kasar bahasa.
Aku tidak berniat membuka aib sesiapa mahupun diri sendiri. Cuma, aku dah letih. Letih sangat dengan Nenek. Mesti ramai yang menyifatkan aku sebagai cucu yang biadap kan.
Aku mempunyai seorang nenek yang baik. Beliau sangat baik. Seorang yang pemurah. Tapi sayang… beliau gagal untuk bersikap adil. Beliau mempunyai 12 orang anak. Ramai kan? Sudah tentu ada yang berjaya, ada yang tidak.
Ada yang tinggi tahap pendidikannya, ada yang sekadar dapat menghabiskan sekolah menengah sahaja. Ada yang hidup senang lenang, ada yang hidup susah.
Aku sedar lumrah manusia sukakan orang yang senang, kaya, punya kereta besar, punya rumah besar, punya gaji besar, punya harta bende, punya pangkat tinggi. Nenek aku pun macam tu.
Anak yang berjaya, kaya disanjung tinggi. Anak yang tidak punya apa apa langsung tidak memberi makna dalam hidupnya.
Semua yang aku dan keluarga lakukan semuanya salah di mata dia. Disebabkan keluargaku hidup susah, tidak berharta.
Nenek selalu membandingkan aku adik beradik dengan cucu lain yang dia sayang. Tak pernah sekalipun aku dan adik beradik menerima ucapan tahniah apabila berkongsi kejayaan.
Kalimah yang sering keluar dari mulut nenek “bolehlah tu.. anak si anu tu baru baru ni dapat kerja kerajaan boleh beli mak dia emas banyak” (ayat contoh)..
Yang dipuji, yang diambil tahu, yang diberi perhatian dan kasih tetap cucu yang hidupnya senang, yang banyak hartanya, yang mewah gaya hidupnya.
Tapi bila waktu susah, bila waktu nak minta tolong… cucu yang miskin susah inilah yang pertama dilihat. Kadangkala, terdetik di hati.. aku dan adik beradik ni memang takde nilai ke di mata Nenek. Kami ni umpama orang suruhan.
Bila Nenek minta tolong mesti upahnya duit. Ibarat kami ni terlalu miskin ke hamakkan sangat ke duit tu?
Alasan Nenek saja bagi belanja. Walhal cerita tu sampai kepada anak anak yang berjaya di KL, “Tadi mak minta tolong Azam lepastu upah lah sepuluh dua. Bukan mintak tolong saja” begitulah dialognya.
Jadi makcik dan pakcikku yang berada di KL pula beranggapan kami ni mata duitan, kikis Nenek.. tolong nenek pun harapkan upah.
Oh ye, Nenek aku ni janda kaya. Orang kampung selalu bercerita, Nenek janda paling kaya di kampung aku tapi sayang harta tak diurus dengan adil dan baik, yang kaya raya jadi sederhana. Tanah yang luas makin lama makin sempit.
Perangai buruk Nenek aku ni dia suka melagakan anak anak. Anak yang kaya lagi berjaya dimomokkan dengan cerita buruk tentang anak yang miskin susah tidak berharta.
Maka terciptalah jurang dalam 12 adik beradik. Yang kaya yang berharta memang memandang jijik dan hina pada yang kurang bernasib baik dan miskin.
Banyak lagi perbuatan Nenek aku tapi aku tak reti nak luahkan. Berterabur cerita aku sama dengan emosi aku. Aku selalu mengharapkan Nenek dapat balasan dari Allah, jatuh sakit sehingga beliau menyedari kesilapannya. Berdosakah aku?
Ibu aku selalu memarahi aku jika aku mengatakan aku benci nenek.. Aku tak tahu dari mana ibu dapat kekuatan menerima nenek dengan berlapang dada. Maaf cakap, aku kesiankan Ibu aku sebab dapat Mak yang Toksik.
Walaupun Ibu aku dipandang buruk oleh adik beradik (kerana cerita buruk dari nenek) Ibu aku tetap melayani Nenek dengan baik. Bertanya khabar, menjaga kebajikannya.
Sepanjang usia aku 25 tahun, aku tak pernah sekelumit pun rasa sayang pada nenek. Tapi aku tetap hormatkan nenek. Cuma letih dengan sandiwara nenek.
Insan yang sering termakan sandiwara nenek adalah anak anak kaya lagi berjaya. Bagi mereka nenek adalah malaikat tanpa sayap.
Sejak kecik, aku selalu lihat nenek mendera mental Ibu. Kalau orang zaman sekarang lalui ape yang Ibu lalui, aku rasa dah lama depression.
Sewaktu aku berusia 7 tahun, Ibu keluar bekerja dan meninggalkan adik ku yang ketika itu berusia 2 bulan pada nenek kerana pengasuh ambil cuti. Kemudian, Nenek menyerahkan adikku pada seorang kenalannya tanpa pengetahuan Ibu.
Kejadian ni berlaku depan mata aku sendiri tetapi apa daya seorang budak berusia 7 tahun untuk menegah. Bila Ibu balik dari kerja, Ibu mencari adik dalam keadaan cemas. Aku pun memberitahu bahawa orang dah ambil adik.
Ibu memarahi nenek kerana sanggup memberikan cucunya begitu saja tanpa ada sesal pun pada wajah Nenek. Ibu hanya mampu menangis. Pada masa ni Ayah membawa diri kerana bergaduh dengan Ibu. Ayah adalah menantu yang paling nenek benci.
Ibu berusaha cari Ayah untuk ambil semula adik aku. Dan alhamdulillah Ayah Ibu berjaya dapatkan adik.
Pada saat itulah, aku mula membuang rasa sayang aku kepada nenek. Nenek mana yang sanggup bagi free cucu dia pada orang lain? Cucu kot bukan anak patung.
Perbuatan Nenek berulang untuk kesekian kalinya apabila nenek mencuri adik bongsuku yang berusia sebulan pada ketika itu dan memberikan pada anaknya yang berjaya lagi kaya di KL dengan alasan kesian Makcik sebab teringin anak kecil.
Ibu aku separuh gile bila sedar sedar anak tiada dan tahu tahu dah ada dekat KL.
Cara nenek aku ambil, dia minta pinjam cucu bawak balik ke rumahnya dengan alasan sunyi dan dua hari lagi dia pulangkan.
Masa ni aku terdengar perbualan Ibu dan Nenek dan jelas sangat mama tak rela tapi sebab mak dia beriya sangat minta jadi terpaksa diikutkan. Walaupun masa tu baru berusia 9 tahun, tapi aku ingat semuanya apa yang nenek dah buat.
Kadang kala rasa macam dalam pentas drama saja kisah yang aku jalani. Jangan tanya mana Ayah aku sebab masa ni Ayah aku dalam dunia dia sendiri.
Masa kanak kanak aku sangatlah tidak beruntung, sudahlah terlahir dari keluarga yang susah, Ibu dan Ayah sering bertengkar. Ayah mengabaikan tanggungjawab. Tapi semua tu ujian. Sekarang keadaan sudah semakin baik cuma Nenek saja yang takde perubahan.
Macam macam nenek buat pada keluarga kami.. Nenek menuduh ayah mencuri baju melayu pakcik di khalayak. Walhal sehina hina ayah takkan sampai nak mencuri. Mencuri baju pulak tu…hinanya kami. Bila dicari, diselidiki rupenya terjatuh belakang almari.
Masa tu ramai pula yang pulang ke kampung untuk menyambut raya. Aku tahu Ayah malu dan berasa terhina tapi didiamkan.
Jika mahu senaraikan ape yang Nenek dah lakukan kepada keluarga kami, tidak terkira.. malah jika diingat kembali, membuatkan aku semakin benci.
Aku bukan berniat memburukkan nenek. Macam aku cakap, aku dah letih. Sekarang nenek dah berusia 73 tahun tapi takde pun tanda tanda nenek nak berubah. Saban hari ada saja cerita cerita buruk keluarga kami sampai ke telinga anak anak kaya lagi berjaya. Macam mana aku tahu?
Sebab dah banyak kali berlaku.
Tiba tiba ada yang bermasam muka, perli memperli.. rupenya Nenek yang ada adakan cerita.. Seronok ke nenek melagakan anak anaknya ?
Aku tertanya tanya..puaskah hati nenek bila tengok anak anak bermasam muka, berpecah belah? bahagiakah nenek bila wujud jurang antara anak anak ?
Semalam, makcik aku bermasam muka dengan kami. Tak mahu bertegur walhal dah bertentang mata. Sombongnya… Alah bisa tegal biasa.
Aku dapat mengagak dah, mesti nenek ade sampaikan cerita yang tak best ni. Yang paling aku pelik, dari aku kecik sampai sekarang… mereka yang bijak kaya lagi berjaya ni tak terbukak ke mata untuk menyedari sandiwara nenek? memang mereka pun buta hati ke ?
Aku teringin dapat Nenek yang penyayang, selalu memberikan nasihat dan kata semangat. Aku teringin sangat merasakan kasih sayang nenek yang setulusnya tanpa dibataskan dengan kejayaan dan harta dunia serta wang ringgit.
Aku teringin menghabiskan masa dengan Nenek melakukan aktiviti yang sewajarnya cucu dan nenek lakukan. Aku teringin berbual dengan nenek berkongsi ilmu nenek, petua nenek.
Aku teringin melihat Nenek melayani Ibu dan Ayah dengan penuh rasa kasih sayang yang selayaknya. Tapi semua tu khayalan. Aku tak tahu sama ada Nenek akan sedar atau usia Nenek akan habis begitu saja menjadi seorang Nenek yang pilih kasih.
Akhir kata, kepada yang menjadi Nenek, Atuk, Ibu, Ayah, Kakak, Abang, Pakcik, Makcik dan apa sahaja.. janganlah meletakkan kasih sayang itu berlandaskan harta dan wang ringgit. Bahagilah kasih seadil adilnya. Semua manusia punya hati dan perasaan.
Semua manusia layak dihargai tanpa mengira darjat. Doakan satu hari nanti Aku dapat merasa kasih Nenek yang setulusnya sebelum aku atau nenek menutup mata. Maaf andai cerita aku bercelaru kerana aku tak pandai menyusun kata.
Reaksi Warganet
Adeeba Raxak –
Aku rase sebenarnya, nenek kau benci ayah kau Sebab tak mampu layan Dan provide anak dia macam ape yang dia mampu.
Jadi bile mak kau ade anak mungkin nenek kau bagi adik kau ke orang lain Sebab nenek kau tahu payah jaga anak kecik tanpa suami, Dia kesian dekat mak kau. Dalam mase yang sama dia benci kau jugak Sebab kau anak bapak kau.
Tak perlu lah nak berharap sangat melekut tepi gantang nak dapat kasih sayang nenek kau. Move on, doa je nanti kau dapat keluarga mertua yang masih ade nenek nenek yang baik. Lupe kan nenek kau, Dia layan kau fake, kau pun layan dia fake. Done
Serai Wangi –
Ada masalah yang boleh di selesai kan dan ada masalah yang tidak boleh di selesaikan dan kita terpaksa hidup dengan masalah tersebut hingga ke akhir hayat.
Jadi….. Mokcik harap tt boleh bersabar dan jangan berhenti berdoa kepada Allah agar nenek berubah. Sesungguhnya sikap dan hati seseorang hanya Allah yang boleh mengubahnya.
Nak mengubah diri kita sendiri pun susah apa tah lagi diri orang lain. Macam ustaz Amin di radio ikim kata…. Kena bersabar sampai mati….
Leanne Vocx –
Sebab tu lah, jadi kaya ni, bawa sekali hati bersama. Aku kecik kecik dulu, memang mak ayah, aku adik beradik jadu cucu kesayangan sebab mak ayah kerja kerajaan.
Bulan bulan mak ayah bagi duit pada atok nenek. Setiap kali balik kampung di utara tu, memang ditatang lah.
Mak ayah generasi pertama yang senang. Aku dan adik beradik generasi ke-2. Generasi yang dah merasa senang sejak dari dulu, dan sekarang senang juga bila dah besar, tak lapar nak menunjukkan harta. Taklah suami beli beg coach, tayang dekat fb. Walhal adik sendiri tgh bersusah dikampung.
Sebaliknya, mak saudara-ayah saudara, sepupu kami yang susah, kami dekati dan beri bantuan. Lagi lagi musim c0vid ni. Kirim la pada mereka bantuan bantuan yang mana mampu nak tolong.
Kepada yang mana kaya dan mampu tu, sebelum kerja tambah kereta honda ke-2, bantu la saudara-mara yang susah dikampung. Jangan judge, jangan double standard.
Halimah Awi –
Apa yang berlaku telah pun berlaku. Menjadi sejarah dan tak mungkin terpadam dari ingatan tapi jangan di semarakkan.
Banyak lagi dalam idup yang akan ditempuh. Bagi yang susah bila hadir kerumah mak saudara yang kaya di pagi raya dengan juadah penuh meja, jangan terkejut u tak akan diajak makan pun.
Jgn sedih. Masa bergerak sentiasa, keadaan juga berubah. Satu masa u akan dberi senang. Jadilah insan kaya yang dermawan dan berhemah.
Ingat lupakan perbuatan orang pada kita kalau ianya menambah derita. Pahatkan dihati untuk insan soleh, kaya, sehat dan dapat syurga Allah.
Betulkan niat dan patuhi rukun Islam. Anda akan nikmati bahgia dunia n akhirat. Insyaallah
Sumber – Risa (Bukan nama sebenar) via IIUMC