Foto sekadar hiasan
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Nama aku Ali (bukan nama sebenar).
Hari ini aku menulis untuk meluahkan dilema aku sebagai suami, ayah dan abang kerana aku malu untuk meluahkan kepada insan terdekat dengan aku.
Aku telah berkahwin selama lima tahun dengan isteri aku yang sangat solehah dan sangat sempurna di mata aku.
Kehidupan kami bahagia dengan kehadiran sepasang cahaya mata. Anak pertama kami berumur tiga tahun dan anak kedua berumur satu tahun enam bulan.
Dilema aku bermula apabila anak kedua ku berusia lima bulan. Isteriku diberhentikan kerja kerana syarikat dia bekerja muflis.
Boleh aku katakan gaji isteriku tiga kali ganda lebih besar dari aku dan dialah yang banyak membantu dari segi ekonomi keluarga.
Aku hanya membayar komitmen tetap seperti bil api air, internet, rumah, kereta dan barang makanan.
Segala perbelanjaan lain ditanggung isteriku seperti yuran taska anak anak, keperluan anak anak seperti susu dan pampers, keretanya sendiri dan kadangkala dia juga berbelanja untuk keperluan rumah.
Jika aku mendapat bonus atau gaji lebih, barulah aku akan membayar keperluan anak anak pada bulan tersebut.
Aku memberinya nafkah tetap setiap bulan tetapi dia akan menyimpan di akaun bank anak pertama ku.
Sebagai seorang isteri dan ibu berkerjaya, isteriku mahukan kesempurnaan untuk anak anaknya.
Dia menghantar anak anakku di taska yang agak tinggi bayarannya. Malah pampers dan susu juga di antara yang mahal di pasaran.
Pada mulanya aku membangkang kerana gaji ku tidak cukup untuk menampung perbelanjaan tersebut.
Tetapi isteriku berkeras dan memujukku untuk bersetuju kerana dia akan membantu menampung perbelanjaan tersebut sehingga aku mampu dan stabil.
Aku bersyukur isteriku tidak pernah merungut atau merendahkan aku sebagai suami. Kesusahan hidup yang dia pernah alami membuatkan dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk keluarga kami.
Malah sebelum berkahwin, dia yang banyak memberi aku sokongan dan dorongan dari aku tidak mempunyai apa apa.
Selepas isteriku diberhentikan kerja, aku lihat dia sangat sedih dan selalu meminta maaf kerana akan menyusahkan aku.
Anak anakku diberhentikan dari taska kerana aku meminta isteriku menjadi suri rumah. Selepas itu, segala perbelanjaan rumah ditanggung sepenuhnya oleh aku.
Aku bahagia kerana segala tanggungjawab suami dan ayah dapat aku galas sepenuhnya tetapi tiada lagi duit simpanan kecemasan yang dapat aku simpan setiap bulan.
Beberapa bulan menjadi suri rumah, isteriku kehilangan ayahnya. Ibu mertuaku telah lama meninggal dunia.
Sebagai anak pertama, isteriku terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga dua adik perempuannya.
Setelah berbincang, aku dan isteri bersetuju membawa salah seorang adiknya tinggal bersama kami dan disinilah konflik dan dilema bermula.
Aku boleh berikan nama adik iparku yang bongsu si Melur dan yang kedua si Melati. Adik iparku si Melur bekerja di kilang dan dia tinggal di hostel. Jadi tiada masalah dengan si Melur.
Masalah utama aku dengan si Melati. Sebelum ini, ayah mertuaku yang menghantar si Melati ke tempat kerja kerana dia tidak mempunyai lesen.
Setelah ayah meninggal dunia, isteri aku yang menghantar dia setiap hari. Melati bekerja di pusat membeli belah dan selalu pulang dalam jam 10 malam.
Pada waktu siang, isteriku akan membawa anak anakku ketika menghantarnya ke tempat kerja, dan pada waktu malam anak anakku di bawah jagaanku.
Apa yang membuatkan aku terkilan, adik iparku tidak pernah menghulurkan walau sesen duit minyak kepada isteriku.
Sudahlah dia penat menjaga anak dan melakukan kerja kerja seharian di rumah, tambah lagi menjadi driver kepada adiknya.
Di rumah, aku boleh katakan si Melati sangat pemalas. Pada mulanya isteriku ada membebel dan menasihati si Melati. Tetapi lambat laun aku dapat lihat isteriku diam sahaja.
Aku kenal isteriku, dia bukan seorang yang suka membebel atau bising bising. Apabila dia marah, dia akan diam.
Aku hanya dapat membantu isteriku pada hujung minggu atau waktu malam. Itu pun tidak banyak yang boleh aku lakukan kerana dia pasti akan menyuruhku berehat setelah seharian bekerja.
Si Melati tidak pernah membantu dari segi kewangan atau tenaga. Segala perbelanjaan rumah masih lagi di bahu aku.
Bukan aku hendak mengungkit, tetapi segala perbelanjaan rumah menjadi bertambah terutama sekali barang makanan dan bil api air.
Apabila mengikut isteriku berbelanja, dia memasukkan barang keperluannya di dalam troli dengan alasan akan membayar semula. Mungkin dia lupa, kakaknya sudah tidak bekerja seperti dulu.
Aku berasa terbeban sejak kehadiran Melati dan isteriku sering meminta maaf. Dia juga membuat bisnes online di facebook dan shopee tetapi masih tidak mencukupi.
Beberapa kali kami mengeluarkan duit simpanan kami untuk menampung perbelanjaan harian.
Pernah sekali isteriku tidak dapat menahan marah, dia mengungkit dan meminta duit minyak kepada si Melati. Ini kerana si Melati memarahi isteriku kerana menjemputnya lewat.
Bukan isteriku sengaja, tetapi anak pertama ku ingin mengikut emaknya mengambil makciknya.
Boleh aku katakan logik isteriku meminta duit minyak, kerana isteriku menggunakan keretanya hanya untuk menghantar si Melati ke tempat kerja dan duit minyaknya daripada aku.
Bulan hadapannya si Melati membayar sejumlah wang kepada isteriku dan berkata ingin membantu kami tetapi lain pula dia ceritakan pada si Melur. Dia mengadu bahawa isteriku meminta duit kepadanya.
Hancur hati isteriku bila mendengar apa yang diperkatakan si Melati.
Malam itu, isteriku berjumpa dengan si Melati. Isteriku meluahkan segala ketidakpuasan hatinya tetapi reaksi si Melati hanya tunduk memandang lantai. Isteriku seumpama bercakap dengan tembok dan tiang.
Dia membuat muka bosannya. Aku juga meluahkan rasa ketidakpuasan hatiku kepada si Melati. Boleh aku katakan si Melati hanya duduk sahaja di rumahku. Duit gajinya hanya untuk dirinya sendiri.
Sudahlah tidak membantu dari segi komitmen bulanan, malah segala pekerjaan di rumah isteriku buat seorang diri.
Pakaiannya juga dibasuh oleh isteriku. Setiap pagi makanan sudah terhidang dan dia hanya makan dan membungkus untuk dibawa ke tempat kerja. Boleh aku katakan isteriku umpama orang gaji dan driver kepada adiknya.
Penat isteriku meluahkan segala rasa dan pengorbanan yang dia lakukan, si Melati hanya mendiamkan diri. Jawapan yang keluar dari mulutnya sangat menyakitkan hati.
Tidak tahu, kenapa sibuk nak tanya atau dia mengangkat bahu, itu sahaja reaksi si Melati.
Selepas kejadian itu, isteriku masih melakukan kerjanya seperti biasa tetapi tidak bercakap dengan adiknya. Tetapi si Melati buat biasa seperti tiada apa berlaku. Aku tahu, isteriku kecewa dan terkilan.
Setiap hari isteriku berdoa agar adiknya dipertemukan jodoh kerana dia sudah tidak mampu menjaga adiknya yang keras kepala dan tidak menghargai itu.
Ikutkan hatiku, ingin sahaja aku halau si Melati dari rumah tetapi memikirkan si Melati adalah amanah aruwah ayah mertuaku, aku jadi serba salah.
Aku juga tidak mahu isteriku berasa bersalah terhadap adiknya. Sekarang isteriku berusaha mencari kerja semula.
Mohon nasihat dari pembaca apa yang harus aku lakukan dan doakan isteri solehah ku mendapat pekerjaan ya?
Reaksi Warganet
Fazidah Abdul Kadir –
Suruh sewa rumah asing je, bukan tanggungan abang ipar kalau dah bekerja. Masalah aurat lagi.
Yang ada mak bapak pun kalau dah kerja duduk asing asing inikan pulak kakak dah kawin, tapi tak kerja takkan abang ipar nak kena tanggung makan minum pulak.
Dah lah TT cakap elok elok cukup bulan ni tak nak tengok dah adik isteri tu di rumah. Pergi cari rumah sewa.
Sulong McDa –
Orang macam ni Senang je.
1. jangan hantar pergi kerja.
2. jangan basuh baju atau kerja apa apa
3. jangan minta maaf
4. jangan sediakan makan
5. cukup sekadar bagi tempat tinggal.
6. Kalau dia tak tahan, lama lama dia angkat Kaki tanpa perlu kita cakap.
7. jangan suruh dia kawen nanti masalah lain pulak. Kena tanggung duit nikah etc. Pendek kata, dia tak layak lagi untuk dikahwini. Jadi cukup doa dia keluar bawak diri
Kalau isteri anda masih terikat dengan kesian pada adik if nak buat perkara di atas, percayalah isteri anda sebenarnya boleh jadi penyumbang/penyokong dalam diam perangai tak senonoh adik ipar anda.
Norizan Mamat –
Salam..
Pendapat makcik sebagai orang tua. Jika makcik bagi arahan, tolong tengok/jaga adik adik pada kakak/abang mereka, apa yang makcik maksudnya adalah :
1. Pastikan dia tidak salah arah
2. Pastikan tidak spoil dia
3. Sentiasa ambil berat tentang dia
4. Jangan biarkan dia sedih sorang sorang (biarkan dia)
Bukan maksudnya kakak/abang sampai kena jaga makan minum dan menyusahkan anak sulung kita kalau dan adik besar panjang boleh jaga diri sendiri.
Kita kena ajar supaya dia berdikari, supaya dia tahu bawa diri. Nanti, sok sok, bila nak kawin, tak ada la orang salahkan, keluarga dia la manjakan sangat bla bla bla…
Cam gitu.
Kalau perlu, berterus terang demi kebaikan. Jika perlu tampar, tampar sahaja kalau dia buat muka jeling atau menjawab cara biadap. Kakak dah jadi pengganti mak ayah. Gunakan kuasa tu. Kalau tak, lagi rosak perangai dia.
Kalau dia lari, pastikan sentiasa ambil tahu jangan sampai dia terjebak dengan perkara buruk. Lepas tapi jangan bagi bebas.
Kalau dia melawan atau sakit hati macam mana pun, tetapi marah la dia. Bila umur dia dah lebih 21 tahun, kita boleh mula lepaskan tanggung jawab, sebab dia dah boleh fikir baik buruk, dosa tanggung sendiri.
Maksud makcik, kalau nak gaduh, gaduh la… tapi marah tetap marah, ambil tahu tetap ambil tahu, cuma jangan simpan dalam hati sangat sangat.
Doa semoga dia baik baik saja (jumpa jodoh dan matang). Bimbang jumpa jodoh, lepas tu jadi dua kali bdoh, balik dok dengan kita semula… huhuhu…
Jangan buat rumah tangga kita pula huru hara kerana sorang adik yang biadap.
Semoga dipermudahkan.
Sumber – Ali (Bukan nama sebenar) via IIUMC