Pelik suami xizin blik bila PJJ. Diam2 aku rentas. Aku terkedu, onar suami dgn junior non muslim terbongkar

Foto sekadar hiasan

Pilihlah Lelaki Yang Bersungguh

Salam buat admin dan para pembaca sekalian.

Pertama sekali, aku ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi membaca confession aku ini dan harap sedikit sebanyak memberi iktibar kepada kita semua.

Tajuk confession ini memang kena dengan situasi yang telah berlaku pada aku. Empat tahun lepas aku telah selamat bernikah dengan seorang lelaki bernama Z.

Kami berdua sama usia dan telah bercinta 3 tahun sebelum kami berkahwin. Boleh dikatakan hubungan kami sudah melangkau 6 tahun lebih.

Pada mulanya aku memang bahagia bersama Z walaupun kami PJJ. Aku selalu menganggap Z adalah yang terbaik untuk aku dan jodoh kami berpanjangan.

Namun perkara yang paling digeruni para isteri telah terjadi pada aku bila tempoh perkahwinan kami masuk ke tahun ke-3.

Untuk pengetahuan kalian, walaupun aku dan Z PJJ. Kami masih berada dalam negeri yang sama. Aku perlu mengambil masa perjalanan sejam untuk sampai ke destinasi Z. Kami PJJ kerana aku mendapat pekerjaan di bandar yang jauh daripada Z.

Maka aku membuat keputusan untuk menyewa di bandar itu dan balik ke rumah Z bila tiba hujung minggu. Itulah rutin aku sehinggalah PKP bermula tahun lepas. Di mana aku tidak dapat pulang ke pangkuan Z selama 6 bulan lebih.

Malah pada musim hari perayaan tahun lepas pun aku tidak pulang ke rumah Z. Z tinggal berseorang di rumah. Yang hairannya aku memang ingin pulang ke rumah Z. Akan tetapi Z seakan tidak membenarkan aku pulang dengan alasan C19.

Pada waktu ini aku masih tidak mengesyaki apa apa terhadap Z. Aku bersangka Z sibuk dengan kerjanya dan tidak ada masa untuk melayani aku. Namun aku sudah tidak tahan dan aku membuat keputusan untuk pulang jugak tanpa pengetahuan Z.

Sebelum pulang ke rumah Z, aku singgah ke pejabat Z sebab aku tidak mempunyai kunci rumah Z. Aku masih ingat lagi riak wajah Z bila nampak aku tetiba muncul di pejabatnya. Z seakan tengah menahan marah dan terus menarik aku masuk ke bilik pejabatnya.

Z bertanyakan aku kenapa aku pulang tanpa pengetahuannya. Aku terasa dengan reaksi Z dan terus mempersoalkan salahkah seorang isteri untuk balik melihat suaminya?

Z hanya terdiam tidak menjawab soalan aku. Dia terus memberikan kunci rumah dan menyuruh aku pulang dahulu ke rumah.

Aku pun terus pulang ke rumah dan menunggu Z balik dari pejabat beberapa jam kemudian. Pada malam ini lah segalanya terburai di mana Z membuat pengakuan bahawa dia sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap aku lagi.

Aku bagaikan hilang separuh nyawa bila mengetahui insan yang paling aku sayang, sudah tidak menyayangi aku lagi. Sudah tentu aku merayu pada Z untuk memberi peluang kedua supaya aku boleh berubah mengikut kehendaknya.

Aku sangkakan aku telah melakukan kesilapan yang tidak aku sedari sepanjang perkahwinan kami.

Namun Z mengatakan ianya sudah terlambat dan dia mahu melepaskan aku. Aku terus menangis dan meminta penjelasan namun Z tetap berkeras mengatakan sudah terlambat.

Aku bertanya adakah dia mempunyai kekasih hati yang lain namun Z menafikan juga. Malam itu aku tertidur dengan linangan air mata.

Keesokkanya paginya sewaktu Z berada dalam bilik air, aku curi curi melihat telefon Z. Terdapat satu message baru masuk daripada seorang perempuan bernama T.

Message itu berbunyi, ‘Bie mesti penat kan?’. Hati aku menyirap. Aku tak sangka rupanya Z sudah mempunyai kekasih hati yang lain.

Apabila Z keluar daripada bilik air, terus aku bersemuka dengannya dan bertanyakan siapakah T. Z dengan muka selamba hanya mengatakan T adalah staf juniornya dan mereka tidak mempunyai hubungan serius.

Di sini bermulanya sejarah titik hitam dalam hidup aku. Aku cuba redha tapi hati aku sakit untuk tempuhi situasi ini.

Menambahkan keadaan lagi teruk, aku merantau jauh daripada keluarga aku. Hanya melalui panggilan suara daripada mereka dapat memberi sokongan pada aku.

Sejak hari keramat ini, aku berusaha untuk memikat balik hati Z. Aku juga memujuk ibu mertua aku untuk berbicara dengan Z, namun Z tetap dengan keputusan untuk melepaskan aku.

Z mengatakan dia ingin melepaskan dengan cara elok di mana dia sendiri akan menghantar aku pulang ke pangkuan keluarga aku.

Namun disebabkan musim PKP dengan SOP yang ketat, Z hanya dapat menghantar aku hingga ke lapangan terbang.

Aku sempat mencium tangan Z buat kali terakhir dan aku meminta maaf dan meminta Z halalkan makan minum sepanjang hubungan kami. Ini setelah beberapa bulan dari hari keramat Z membuat pengakuan dia sudah tidak mempunyai hati pada aku.

Proses pencerraian kami juga berjalan lancar di mana hanya Z yang hadir ke mahkamah untuk melafazkan talak. Aku pula berada di kampung keluarga aku sambil menunggu surat rasmi daripada mahkamah.

Aku bukan nak bentang cerita bagaimana Z curang. Tetapi aku nak cerita betapa banyak petunjuk bahawa Z sebenarnya bukanlah jodoh yang terbaik untuk aku. Z mungkin jodoh sementara sahaja di mana telah memberi banyak pengajaran buat aku.

Berikut adalah tanda tanda Z sebenarnya tidak bersungguh mencintai aku seperti mana aku mencintainya.

1. Sepanjang zaman percintaan kami, aku yang banyak meluangkan masa, wang dan tenaga untuk bertemu memandangkan kami bekerja di lain negeri.

Aku yang selalu melawat Z di negerinya. Sedangkan Z amat susah untuk datang melawat aku di negeri aku menetap.

2. Kami sudah bercinta 3 tahun namun setiap kali aku membuka topik perkahwinan, Z mesti mengelak dan akhirnya membuatkan kami bergaduh. Kami akan menjadi dingin untuk seketika sampai Z menghubungi aku balik seolah tiada apa yang berlaku.

Usia kami pada waktu itu memang sesuai sangat untuk berkahwin memandangkan kami berdua sudah stabil dari segi pekerjaan dan kewangan.

3. Apabila akhirnya Z mengajak aku untuk bertunang, aku yang bersungguh sungguh menyelesaikan segala urusan berkaitan daripada fasa bertunang hinggalah fasa berkahwin.

Bayangkan Z tidak membantu langsung dari segi penyediaan dokumen. Yang Z hanya sumbang adalah tandatangan dia setelah aku membentangkan dokumen di depannya.

4. Z memang tidak lokek dari segi bab nafkah. Masa berkahwin pun Z sudah memberi wang hantaran yang banyak.

Akan tetapi, mindset Z seorang suami hanya bertanggungjawab dari segi kewangan saja kot. Z seperti tidak kisah keadaan aku di kala aku inginkan perhatiannya. Z lebih mementingkan kerjanya.

5. Aku telah berkorban banyak sebelum kami berkahwin di mana aku telah berhenti kerja kerana ingin berada dekat dengan Z, aku merantau jauh daripada keluarga,

Aku meninggalkan negeri tempat aku bekerja yang paling best bagi aku, aku juga mengangkut kereta aku melalui kapal cargo supaya senang untuk aku bergerak di sana dan macam macam lagi yang Z tak pernah hargai.

Namun apabila tinggal sekali, Z menyuruh aku mencari pekerjaan di negeri dia pula. Pekerjaan aku bukan senang untuk dapat kerana bandar Z duduki agak kecil.

Sehinggalah aku mendapat pekerjaan tetapi di bandar lain yang memakan masa sejam untuk sampai.

Sebab itulah kami PJJ semula walaupun dalam satu negeri. Aku sudah terfikir waktu ini, kalau tahu akan PJJ jugak lebih baik aku tidak berhenti kerja sebelum ini dan tidak berpindah. Ini macam sudah balik ke zaman aku masih bujang.

6. Walaupun Z jenis tidak lokek dari segi nafkah, namun Z jenis yang tidak mementingkan bab agama. Z sangat jarang solat. Aku selalu menegur Z bab ini.

Z ada mengaku pada aku yang dia berasa ‘annoyed’ setiap kali aku menyuruh dia solat membuatkan dia tidak ikhlas untuk solat.

Padahal sebelum kahwin dia sudah berjanji akan berubah. Z juga mengaku bahawa dia tidak suka bila aku terlalu berhati hati dari segi pemakanan.

Bagi Z asalkan ada muka Melayu dalam kedai itu, sudah tentu kedai itu halal walaupun tuan kedai adalah Non Muslim. Namun janji hanya tinggal janji. Silapnya aku di sini, kalau dengan Allah pun Z boleh abaikan, apatah lagi aku. Nauzubillah…

Sekarang dah setahun lebih aku berpisah dengan Z. Z pun aku tengok di socmed makin bahagia dengan staf junior Non Muslim tu.

Maknanya Z tipu aku lah bila dia kata mereka tidak berhubungan serius. Aku terfikir adakah staf junior tu akan masuk Islam kalau nak bersama dengan Z?

Tapi Z dari segi bab agama pun ke laut asia pasifik. Aku hanya mampu doakan sahaja sebab aku nak jiwa dan hati aku tidak menyimpan dendam. Kini aku bahagia dengan cara aku sendiri. Aku fokus untuk membina dan sayangi diri sendiri dahulu.

Kepada para wanita di luar sana, kalau awak sorang saja yang bersungguh walaupun sudah dalam fasa bercinta, lebih baik awak fikir masak masak sebelum ke arah lebih serius.

Lelaki ni kalau betul betul sayang dan nakkan kita, mereka akan usaha untuk menghalalkan kita.

Dan satu lagi, carilah lelaki yang mementingkan agama. Tidak semestinya level PU, asalkan kita tahu dia jaga sekurang kurangnya bab solat. Wallahualam.

Terima kasih sudi membaca. Maaf kalau panjang sangat confession ini.

Reaksi Warganet

Mohamad Amirul –
Im sorry tapi aku disagree. Ikut pengalaman aku, in the end akan jadi pilihan sendiri.

Maksud aku, kalau kita suka, apa benda dia buat akan nampak as ‘usaha’. Kalau tak suka, apa benda dia buat akan nampak ‘mengganggu’.

Aku sendiri penah cuba, in the end kena label syok sendiri, annoying dan macam macam lagi. Kena ghost pun ada.

Apa2 pun, im sorry this happen to u. Semoga dipermudahkan segala urusan.

Nayli Azlinda –
Berdasarkan pengalaman, suami sukakan saya dari sekolah menengah hingga ke alam universiti.

Kemudian kejar lagi sampai umur saya 29 bru saya terima dia. Tahun ke-3 kahwin, satu hari dia ajak saya pergi kedai makan. Ingat makan macam biasa. Rupanya untuk dipertemukan dengan bakal madu.

Kita tengok disini dua cerita berbeza ya. Maca. sis ada hikmahnya senang berpisah. Macam saya susah nak berpisah. Dia mengamuk takkan lepaskan saya.

Sesungguhnya lelaki ni complicated. Betul tindakan sis. Jaga diri sendiri. Tahniah.

NuRaz Wan –
Kebiasaanya seorang lelaki, kalau sudah jatuh cinta, sangat berlainan perangainya. Seolah olah kita sahaja yang ada didunia ini, tak kira bagaimana lelaki itu dia akan beri komitmen penuh pada orang yang dicintai.

Kalau kurang dari itu, kemungkinan besar kita bukan the right one, yang dia impikan dalam hati. Walau dia belum ada seseorang, tapi ada ruang kosong dalam hati dia yang kita tak mampu nak ambik tempat tu.

Sebenarnya, bukn lelaki sahaja, tapi ada juga hal macam ni pada sesetengh perempuan. Jadi berilah masa dan selidik dulu untuk tahu, adakah kita ini umpama “kaulah satu satu nya” .. terimalah hakikat kita cuma umpama, pemegang watak tambahan sahaja..

Edha Yadhira –
Saya setuju bab bersungguh tu. Tapi 1 lagi point yang sangat penting, hakikatnya hati manusia ni berbolak balik. Hati manusia boleh berubah. Sekarang bersungguh, dah kahwin 10 tahun tiba tiba tak bersungguh.

Dunia ini hanya pinjaman, begitu juga suami.. Jangan terlalu sayang melebihi segalanya. Allah jua lah yang memegang hati setiap hamba hambanyaNya. Wallahualam.

Sumber – Hayatul Husna (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *