Ayah xnak jd wali. Minta aku buat DNA test. Ibu tiri memerli. 20 thn cerrai, dendam ayah xberkesudahan

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebenarnya aku dah fikir banyak kali sebelum mengambil keputusan untuk menulis confession ni. Aku tahu sebahagian besar akan menuduh aku derhaka atau tak hormat orang tua.

Tapi seandainya kamu semua berada di tempat aku sekarang, demi Allah tak semudah itu untuk terus kekal tenang.

Aku ingin ceritakan kisah ayah aku. Ya, bapa kandung aku sendiri. Ayah dan ibu aku dah bercerrai 20 tahun yang lalu. Ketika aku masih berusia 11 tahun. Ayah dan ibu aku masing masing pernah gagal dalam perkahwinan pertama mereka.

Hasil perkahwinan dahulu, ayah aku ada 5 orang anak manakala ibu aku pula janda beranak satu. Aku punya seorang abang yang berlainan ayah yang tinggal bersama kami.

Aku lahir setelah 10 tahun usia perkahwinan mereka. Jarak usia antara aku dan abang aku agak jauh iaitu 18 tahun. Manakala beza usia aku dan adik aku pula ialah 6 tahun.

Sebelum ibu dan ayah aku bercerrai, hubungan aku dan adik dengan ayah teramat lah rapat. Kami berdua sangat manja dengan ayah. Ayah aku berkerja sebagai pemandu lori. Walaupun aku adalah anak perempuan, saban hari aku ikut ayah ke tempat kerja.

Begitu juga adik aku. Sehinggalah timbul isu dalam family aku, ayah dan ibu saban hari bergaduh kerana sifat cemburu ayah. Yang paling teruk adalah bila ibu aku dapat tahu ayah ada perempuan lain. Sejak itu dia sering memukul ibu aku dan menuduh ibu aku ada hubungan sulit.

Akhirnya ibu aku terpaksa membuat laporan polis. Kerana sering dipkul, ibu aku meminta cerrai, tetapi ayah aku tak mahu lepaskan ibu. Hingga ibu lari ke rumah nenek untuk perlindungan dan bawa aku dan adik bersama.

Itu pun ayah masih berani datang ke rumah nenek secara tiba tiba dan menumbuk ibu aku. Sejak kejadian itu, aruwah nenek aku mengharamkan ayah aku dari memijak tanah miliknya. Dan akhirnya ibu dan ayah bercerrai.

Selepas bercerrai, ayah aku terus berkahwin dengan bekas kawan baik mak aku. Ibu tiri aku tu dulu kawan baik ibu aku. Setiap hari datang makan di rumah aku sebab dia janda beranak 2.

Di awal perkahwinan mereka ayah aku masih baik lagi dengan aku. Tetapi entah apa yang diracunnya dalam otak ayah aku, terus ayah aku jadi dingin dan tak lagi baik dengan aku dan adik.

Nafkah pun tak pernah diberi. Walaupun duduk sekampung, dia langsung tak pernah menegur aku dan adik. Macam macam hal yang dibuatnya untuk menyusahkan hidup ibu aku.

Selepas bercerrai, kami hidup melarat. Harapkan ibu yang berkerja kampung kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Sudah lah dah susah begitu, ayah aku pula tambah masalah. Di halaunya kami dari rumah hanya kerana rumah milik ibu dibina di atas tanahnya.

Dia mengarahkan kami untuk merobohkan rumah yang kami tinggal dan membayar sewa sepanjang rumah kami itu berada di atas tanahnya.

Bila ibu aku menuntut nafkah anak, ayah aku mengatakan yang dia dah anggap hutang nafkah langsai memandangkan kami duduk di atas tanahnya dulu dan tidak membayar sewa.

Hasil dari papan yang masih boleh digunakan dari rumah kami yang dirobohkan dulu, ibu aku membina sebuah rumah kecil di atas tanahnya sendiri. Di sebelah tanah tapak rumah kami dahulu. Rumah kami sangat kecil dan buruk. Tandas pun tiada.

Ibu aku berhutang sana sini demi untuk membesarkan aku dan adik. Abang aku dah berkahwin dan tinggal berasingan. Alhamdulillah, aku dan adik cemerlang dalam pelajaran.

Bermula dengan awalnya kami dua beradik masing masing mendapat straight As dalam UPSR dan seterusnya sampailah kami menjejakkan kaki ke universiti.

Waktu itu, Ibu hanya berkerja sebagai tukang sapu. Aku dan adik tak pernah bercakap dengan ayah, walaupun tinggal sekampung.

Aku pernah dengar dari mulut orang yang dia mengatakan aku bukan anaknya. Walaupun ibu aku banyak kali menasihati aku agar pergi jumpa ayah, tapi aku dah tak rasa diri aku ada ayah.

Aku rasa ayah aku dah mati. Aku masih ingat saat aku terpaksa menanggung lapar di semester pertama di universiti kerana PTPTN aku belum diluluskan. Puncanya aku tak ada salinan IC ayah aku. Ayah aku enggan memberikan salinan IC nya kepada aku.

Yang paling aku tak boleh lupa, bila ibu hendak menjual sebahagian tanah miliknya untuk membelikan sebuah motorsikal untuk adik aku yang ingin berulang ke sekolah. Hanya kerana geran masih ada dua nama, ayah aku menyekat penjualan tanah tersebut walapun itu bukan tanah dia.

Aku geram melihat adik aku menangis. Dia susah hendak ke sekolah tanpa motorsikal. Akhirnya aku gunakan duit PTPTN aku untuk membayar wang pendahuluan motor untuk adik.

Alhamdulillah, aku dan adik kedua duanya dah tamat belajar dan masing masing dah berkerja. Selepas tamat belajar, aku hanya berkerja biasa di syarikat swasta.

Ketika itu, ibu aku masih menerima bantuan daripada Jabatan kebajikan masyarakat. Itu pun setelah ayah aku tahu, dia membuat aduan dia pejabat JKM untuk menarik bantuan ibu aku.

Tetapi setelah aku dihubungi aku menjelaskan situasi sebenar. Gaji aku bukannya tinggi. Malah ketika itu, aku masih perlu menanggung adik aku yang masih belum tamat belajar. Duit hanya cukup cukup makan.

Fast forward, sekarang aku adalah seorang kakitangan kerajaan. Sikit demi sedikit aku dan adik membesarkan rumah ibu aku. Dari rumah yang tersangat usang, rumah kami dah elok. Ibu pun dah tak berkerja. Kami hidup aman damai.

Sejujuranya, walau bermacam ujian yang aku alami kerana dendam ayah aku pada ibu, aku tak pernah benci ayah aku.

Bukan bermaksud aku masih sayang, tetapi aku dah rasa neutral. Aku tak rasa aku masih punya ayah. Sehinggalah peristiwa baru baru ini yang buat aku betul betul benci pada ayah.

Sebenarnya aku bercadang untuk berkahwin dengan pasangan aku pada bulan Mei yang lalu. Perancangan dibuat di saat akhir. Memandangkan aku masih punya ayah, aku perlukan dia untuk menjadi wali.

Aku berkerja di negeri lain, dan kerana perintah kawalan pergerakan aku belum boleh pulan ke kampung untuk bertemu ayah atas urusan wali.

Aku kuatkan semangat aku menghubungi ayah melalui telefon untuk meminta kebenaran. Panggilan aku dijawab dan dia menjawab panggilan aku acuh tak acuh.

Aku beritahu yang aku akan jumpa dia bila PKP dah ditamatkan dan kebenaran rentas negeri sudah diberi. Dia hanya menjawab “Tengoklah nanti”.

Tetapi aku masih berfikiran positif yang ayah aku masih punya hati perut untuk mewalikan aku. Aku tak harap walau sesen pun duit dia, hanya aku perlukan hak aku untuk diwalikan ayah sendiri.

Setelah perancangan dibuat, tiba tiba pula bakal suami aku yang merupakan seorang doktor diarahkan bertugas di Sabah. Maka perkahwinan kami ditunda lagi.

Sebelum menghantar permohonan untuk berkahwin ke pejabat agama, aku sekali lagi menghubungi ayah, untuk meminta izin darinya serta meminta dia mengirimkan salinan IC nya kepada kakak ipar aku kerana aku belum boleh merentas negeri.

Tetapi kali ke 2 aku hubungi dia, dia sudah mula dingin. Dia menjerkah aku dan meletak telefon secara tiba tiba. Panggilan aku tidak lagi dijawab. Aku menangis Tuhan sahaja yang tahu.

Oleh kerana aku tidak lagi boleh menghubungi ayah, aku menelefon ibu tiri aku. Aku minta jasa baik dia untuk bertanya pada ayah aku sama ada dia sanggup atau tidak menjadi wali aku.

Kalau dia benci sangat pada aku, dia tak perlu datang pun ke majlis perkahwinan aku, cuma perlu wakil wali sahaja.

Tiga hari kemudian, ibu tiri aku menghubungi aku. Hari itu dalam sejarah, hati aku hancur luluh.

Ibu tiri aku mengatakan yang ayah aku tidak ingin mewalikan aku dan menyuruh aku membuat ujian DNA untuk memastikan aku adalah anaknya. Dia menuduh aku anak hasil hubungan sulit ibu aku.

Malah ibu aku juga dituduh pernah ditangkap khalwat. Malah ibu tiri aku siap memerli aku yang aku tidak boleh mengadukan perkara ini ke pejabat agama kerana yang akan malu nanti diri aku sendiri. Sungguh aku rasa sungguh hina di mata dia. Sungguh aku tidak malu langsung.

Ayah apa yang setelah bercerrai baru dituduh anak yang ditatangnya sejak kecil sebagai anak hasil ziina? kenapa tidak dinafikan nasab sejak aku kecil???

Kerana aku memerlukan wali hakim, perkahwinan aku sekali lagi ditunda kerana masih menunggu perbicaraan di mahkamah untuk permohonan wali ingkar. Aku ingat itu yang paling teruk dah ayah aku buat. Tapi aku silap.

Alkisahnya, beberapa hari yang lalu ibu aku menghantar dokumen aku ke mahkamah syariah bagi pihak aku selepas mendapat arahan dari pejabat agama.

Ibu ke mahkamah syariah bersama kakak ipar aku. Kakak ipar aku menunggu di dalam kereta. Ketika sedang menunggu di dalam kereta, kakak aku disapa oleh Abang Lan.

Abang Lan ini adalah orang yang paling rapat dengan keluarga aku sebelum ayah dan ibu aku bercerrai. Dia umpama adik angkat pada parents aku kerana dia kerja dengan ayah aku. Kemana mana mereka berdua. Boleh dikatakan semua hal ayah aku dalam poket dia.

Abang Lan bertanya kepada kakak aku apa yang sebenarnya terjadi “sampai aku boleh jadi macm tu”. Kakak ipar aku terkejut dengan soalan abang Lan. Apa yang dimaksudkan dengan “sampai boleh jadi macam tu?”.

Setelah diceritakan oleh abang Lan, rupanya ayah aku memutar belit cerita yang dia tak ingin menjadi wali aku kerana aku anak derhaka yang biadap.

Katanya aku anak “b4bi” yang tak ada adab menengking dia dan memaksa dia menjadi wali aku. Malah aku bercakap kurang ajar membahasakan diri aku dan kau dengan ayah sendiri.

Dan itu adalah penyebab dia tak nak menjadi wali. Kerana percayakan tuduhan ayah aku, abang Lan sebenarnya menyebelahi ayah aku. Dia terkejut yang aku boleh jadi begitu biadap setelah dewasa.

Allah… air mata aku bercucuran mendengar fitnah yang ditabur. Demi Allah, tidak sedikit pun aku meninggi suara.

Tidak juga aku membahasakan diri aku dan kau. Kenapa begitu sekali benci ayah aku pada aku? Abang Lan juga memberitahu yang ayah aku ada memesan supaya jangan terlalu gembira ada rumah yang elok kerana dia akan pastikan rumah kami akan di”usik” lagi sekali.

Mak aku menangis mendengar ugutan tersebut. Kenapa ketika kami hidup daif di rumah tersebut, dia tidak pula ingin menyentuh perihal rumah kami??? Bila kami dah mula senang, dia mula tak senang duduk.

Aku menelefon abang Lan untuk mendapatkan kepastian apa yang diceritakan oleh kakak ipar aku. Ternyata semuanya benar. Dia minta maaf pada aku kerana percayakan sebelah pihak sahaja.

Aku tanya abang Lan, ada tak ayah aku beritahu yang dia enggan menjadi wali kerana menuduh aku bukan anaknya?

Ada ke dia sebut yang dia menyuruh aku membuat ujian DNA? Mengucap panjang abang Lan. Katanya tidak sedikit pun ayah aku ceritakan pasal tu.

Kata abang Lan, ayah aku tak akan berani cakap yang bukan bukan begitu di hadapannya kerana dia tahu semua cerita. Tanya saja pada dia.

Malah abang Lan marah betul bila disebut soal tangkap khalwat kerana benda itu tak pernah sekali terjadi. Ya, aku pelik kenapa dalam ramai ramai orang dekat kampung tiada seorang pun tahu perihal tangkap khawat ibu aku???

Malah ibu tiri aku sendiri yang sangat yakin aku bukan anak ayah aku sempat menambah yang dia tidak tahu sebab dia tiada dikampung ketika ketiadaan.

Perihal ujian DNA yang disebut sebut oleh ayah aku, aku ingin sekali mebuatnya demi memuaskan hati ayah aku.

Ibu aku juga menyuruh perkara yang sama supaya ayah aku berhenti menabur fitnah. Tetapi aku tak nak buat ujian itu dahulu. Sebab aku tak nak dia ingat aku buat untuk jadikan dia wali.

Aku dah tak sanggup berwalikan ayah sebegitu. Aku harap sangat dia terus menolak untuk menjadi wali, kerana aku tahu dia tiada alasan yang kukuh untuk tidak mewalikan aku.

Jika disoal di mahkamah nanti, aku tak rasa alasannya kukuh. Aku tak nak berwalikan lelaki kejam sebegitu.

Andai permohonan wali hakim aku diluluskan nanti, aku akan anggap urusan aku dan dia di dunia ini sudah selesai. Aku tak nak ada apa apa kaitan lagi dengan manusia sebegitu. Aku cuma ingin bahagiakan ibu aku.

Doakan aku tenang di mahkamah nanti menatap seraut wajah yang berhati busuk.

Reaksi Warganet

Fazilah Abdul Aziz –
Biasanya permohonan wali hakim di mahkamah akan lulus walaupon ayah tak hadir atau ayah hadir tapi memberi macam macam alasan.

Dan cik Nadia hendaklah kahwin lebih dari 2 marhalah dari tempat ayah tinggal demi menghormati ayah sebagai wali. Jangan risau urusan mahkamah memudahkan perkahwinan nanti. Lambat sikit dari urusan biasa perkahwinan.

Hanie Zain –
Tak perlu buat ujian DNA tu. Tak perlu membazir duit. Si Ayah tanggunglah di akhirat esok perbuatan jahat dia kerana dendam. Entah apa dia nak berdendam dengan bekas isteri dan anak anak.

Semuanya kerana terlampau ikutkan cakap isteri baru. Bawaklah Ibu awak pindah jauh dari situ supaya awak pun takkan jumpa dah ayah tu. Biar hilang terus tak dapat dikesan.

Selagi ibu awak dan awak adik beradik ada di depan mata ayah dan mak tiri tu. Selagi tu dendam di hati mereka ni membara. Mereka tak boleh tengok awak semua senang. Ada saja planning nak jatuhkan awak sekeluarga.

Neuro Shewazni –
Aku faham babe. Bab wali enggan ni, dia ingat dengan enggan mewalikan aku, dia boleh buat aku tergantung gitu. Biasalah, tak mature (wali aku abg sebapa). Kalau aruwah abah aku boleh muncul, mau kena rotan.

Last last dia suruh aku batal kes. Mana boleh batal, aku nak kawen. Kalau dia taknak datang mahkamah, nanti waran tangkap datang (tak silap lupa dah aku). Stail dia lebih kurang gini lah.

Dendam apa tak tau. Fitnah apa taktau. Kita takdak kacau dia pun. Ikutkan aku nak pak sedara adik aruwah abah aku je. Tapi takleh langkau. Kalau dia setel wakil wali dari awal kan senang.

Last minit baru sain borang dan saksi. Habis rm80 aku buka kes, harga pengalaman.

Norizan Mamat –
Salam. Makcik tak percaya pada sihir, tapi sikap ayah macam sesuatu sangat.

Makcik ada kenal seseorang yang ditinggalkan ayah bertahun tahun sejak dari pantang. Last last jumpa semula guna saluran tv.

Bila jumpa, memang macam ok, tetapi ayah dia macam ‘dikawal’ sangat oleh isteri yang sedia ada.

Entah la… Kita ambil pendekatan, hal yang kita tak mampu nak betulkan, kita biarkan.

Mungkin kita tak sayang dan tak benci tu adalah tindakan yang terbaik. Anggap saja dia orang asing, yang singgah dalam hidup kita tanpa ada kenangan indah mahupun pahit.

Semoga dipermudahkan urusan perkahwinan. Tidak perlu buktikan apa apa DNA bagai. Kalau kita buat, macam kita tak percaya ibu. So, abaikan dia..

One day, mereka suami isteri (ayah dan mak tiri) akan sedar walau waktu tu, nyawa dah direngkung. Big hug.

Sumber – Nadia (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *