Tgh mak sakit nk bersalin, ayah dari tido cpt2 pergi ke kebun. Anak dah 8, tp xpernah disentuh ayah

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aku Nita, berasal dari negeri Pahang. Anak ke-7 daripada 8, satu satunya perempuan. Bukan niat membuka pekung di dada, tetapi inilah realiti yang aku lalui dalam hidup hingga sekarang.

Ayah berasal dari Kelantan tetapi dipindahkan ke Pahang, mungkin sebab mak kelahiran sana. Kepandaian ayah dari aku kecil sampai berumur 27 tahun hanyalah tidur.

Nasib kami adik beradik terbela disebabkan membesar di kawasan yang komunitinya mempunyai gaji tetap setiap bulan. Purata gaji bersih ayah dari dulu hingga sekarang mungkin dalam RM1200/ sebulan.

Dengan gaji RM1200/ sebulan untuk membesarkan 8 orang anak adalah sangat sukar. Jika gaji RM1200, ayah akan memberi sebahagian gaji (RM600) kepada mak. Tetapi semua bil, keperluan dapur dan keperluan rumah akan menjadi tanggungjawab mak untuk diselesaikan termasuklah wang saku untuk anak anak bersekolah.

Duit ayah? Ayah akan guna duit itu untuk kegunaan diri sendiri seperti makan di kedai, atau membeli kuih muih untuk sendiri makan.

Kadang kalau bernasib baik anak ayah akan dapat merasa kuih muih tersebut walaupun seketul kuih kongsi 3 orang. Mak hanya mampu melihat, sebab ayah tak izinkan mak makan apa yang dia belikan. Tak layak katanya.

Sewaktu darjah 3, aku pernah minta wang saku dengan ayah sebab mak lupa nak bagi, tapi tak dapat. Alasan ayah, wang saku anak sekolah bukan tanggungjawab dia. Terkebil kebil aku sambil berfikir nak makan apa waktu rehat nanti.

Sewaktu di universiti, mak pernah meminta ayah mengirimkan duit RM100 sebab aku tak cukup duit untuk membayar sewa rumah dan duit mak pula hanya cukup untuk membeli beras dan telur. Tetapi sampai sekarang ayah mengungkit yang aku tidak mahu membayar balik duit itu.

Padahal setiap bulan dari mula bekerja aku akan kirimkan duit untuk makan ayah dan mak di kampung. Setiap kali balik ke kampung ayah akan mengungkit lagi bahawa aku semasa di universiti banyak menghabiskan duit dia sampai dia bergolok bergadai.

Dulu aku sedih juga bila difitnah seperti ini tapi sekarang macam dah lali. Untuk pengetahuan pembaca, RM100 itula kali pertama dan terakhir ayah berikan sepanjang aku belajar di universiti.

Oleh kerana ayah langsung tidak ingin bekerja, mak menambah pendapatan dengan bekerja sebagai penebas lalang di kawasan kebun, dari aku bersekolah rendah sampai tingkatan 5. Selepas Subuh mak akan menunggu lori yang akan menghantarnya ke kebun. Dalam pukul 5 petang mak akan sampai ke rumah.

Hidup aku sebelum usia 9 tahun banyak diuruskan oleh abang K. Bila dah mencecah 10 tahun aku sudah mampu menguruskan hidup sendiri. Dan banyak menolong abang K membuat kerja kerja rumah juga.

Ayah akan tidur atau berbaring dalam 19 jam sehari, kalau tak dapat tidur dia akan tutup mata sambil berbaring sahaja. Untuk pengetahuan pembaca, ayah tidak mempunyai sebarang penyakit sehingga umur dia mencecah 67 tahun. Badan ayah sangat sihat sebelum dia disahkan sakit jantung 3 tahun yang lepas.

Oleh sebab mak bekerja, abang K mengambil alih tugas mak di rumah. Ini kerana abang yang lain ada yang berkahwin awal dan ada yang masih belajar di universiti.

Ayah mempunyai 8 orang anak. Kesemua 8 orang anak ayah tidak pernah diazankan oleh ayah sendiri selepas dilahirkan. Ini kerana ayah tak pernah menemani mak ke hospital semasa nak melahirkan.

Allah permudahkan urusan mak setiap kali mengandung, mak tidak mendapat alahan dan tidak mempunyai penyakit. Bila dah tiba masa mahu melahirkan, mak akan mengupah jiran untuk menghantarnya ke hospital. Selesai melahirkan, jiran yang sama akan menjemput mak pulang daripada hospital.

Semasa nak melahirkan adik S, mak tak larat nak berjalan kaki ke rumah jiran, sebab perutnya terlalu sakit. Mak meminta ayah untuk menghantarnya ke hospital. Tetapi dari terbaring di ruang tamu, ayah terus mencapai pakaian lusuh untuk ke kebun.

Dalam keadaan mak yang sakit nak bersalin, ayah berlalu begitu sahaja sambil bercakap pandai pandai mak mahu ke hospital bagaimana sebab dia nak ke kebun (sebelum tu dah berbulan bulan ayah tak ke kebun).

Oleh kerana sentiasa bersalin normal, mak hanya berpantang 3 hari. Hari ke-4, mak sudah bangun untuk menguruskan anak anak sekolah, memasak untuk ayah makan dan menguruskan rumah seperti biasa.

Ayah sentiasa berada di rumah, tapi ayah anggap bukan tanggungjawab dia untuk membuat kerja rumah walaupun mak masih berpantang. Semua itu kerja perempuan katanya.

Ayah tidak pernah sentuh anak anaknya. Tiada langsung pelukan, ciuman mahupun gurauan daripada ayah untuk anak anaknya. Kami adik beradik tidak pernah dibawa ke taman permainan, makan di kedai makan, nak dibawa ke pasaraya untuk membeli makanan atau permainan kegemaran adalah jauh sama sekali.

Ayah sama sekali tidak akan bercakap dengan anak anak dan isterinya. Ayah akan bersuara hanya bila dia ingin memaki hamun kami. Atau bila dia ingin memaki jiran dan anak anak jiran.

Kalau mak bertanya, lagi ayah tidak mahu melayan. Malah, ayah akan menjeling mak seolah olah dia rasa amat terganggu bila mak ingin bercakap dengannya.

Bila anak anak ayah sudah membesar, kami rasa kekok sudah untuk berbual bual dengan ayah sebab tidak biasa bercakap dengan ayah sendiri sedari kecil. Kalau ayah bersuara, semua yang keluar dari mulut ayah juga tiada satu pun yang positif. Sama ada maki hamun, cacian, ugutan, atau fitnah semata mata.

Selepas bersalin mak membawa pulang anak ke rumah tapi kesemua 8 orang anak, ayah akan tengok dari jauh sahaja. Kalau anak sakit, mak terpaksa meminta tolong jiran untuk hantar anak ke klinik.

Ayah rela tidur daripada membawa anak sakit ke klinik. Ayah hanya tahu berleter, yang budak budak sememangnya begitu, terlalu manja. Sikit sikit sakit dan banyak berpura pura sakit sahaja. Sedangkan anak yang demam panas sudah hampir 4 hari tak mampu bergerak.

Dari aku kecil sampai sebelum ayah sakit, ayah banyak makan di kedai. Aku sekarang dah 27 tahun, tapi sekali pun aku tak pernah merasa makan semeja bersama sama ayah. Begitu juga dengan mak dan adik beradik yang lain. Ya, ayah sangat suka makan seorang diri. Makan bersama sama keluarga sangat menyusahkan pada fikiran dia.

Sebab anak kecil biasanya suka bergaduh sewaktu makan. Tapi bila anak dah besar pun, ayah masih gemar makan seorang. Usai mak siap memasak, ayah akan cepat cepat masuk ke dapur untuk makan sebelum mak memanggil anak anak ke dapur pula. Begitulah rutin harian ayah dari muda sampai ke tua.

Ayah juga tidak pernah solat dan puasa. Berbuih mulut mak dan abang menasihati ayah, tapi hati ayah sangat keras. Ayah akan solat jika ada tetamu di rumah, tambahan kalau tetamu itu adalah saudara ayah sendiri.

Ayah akan pura pura bangun pagi untuk solat Subuh di masjid dan pura pura pergi ke surau untuk solat Zohor dan Asar. Ini membuatkan saudara di sebelah ayah tak pernah percaya malah memarahi mak bila mak meminta tolong mereka supaya menasihati ayah.

Begitu juga dengan puasa. Ayah akan berpura pura bangun untuk sahur. Sesudah sahur terus masuk ke bilik sambung tidur. Setelah tengah hari ayah akan bangun untuk ‘lunch’. Begitu juga dengan petang.

Bila dah hampir waktu berbuka ayah akan mengambil makanan lebih awal. Bawa makanan ke ruang tamu dan ayah akan ‘berbuaka puasa’ seorang diri di ruang tamu. Habis tu siapa yang mengajar kami adik beradik untuk solat, membaca Quran dan puasa? Tentulah mak.

Ayah tidak pandai bergaul dengan masyarakat. Apa yang keluar dari mulutnya hanyalah kata kata fitnah dan cacian terhadap jiran dan anak anak jiran. Ayah akan mengawal rapi pergerakan semua anaknya supaya tidak keluar rumah untuk bermain dengan anak anak jiran.

Katanya semua anak anak jiran itu sangat jahat dan busuk hati. Jadi ayah tidak mahu anaknya turut jahat sekali. Mak pun tak dibenarkan berbual bual dengan jiran sendiri. Kata ayah, kawan kawan mak semua bermulut jahat, hanya tahu mengumpat dan mengajar mak supaya tidak menghormati suami.

Padahal semasa mak sakit nak melahirkan, hanya jiran itu yang setia menghantar mak ke hospital. Bila barang dapur sudah habis, jiran itu juga yang membawa mak ke pasaraya. Bila anak mak sakit, jiran itu juga yang menghantar ke klinik.

Bila anak mak di universiti kehabisan duit, jiran itu juga yang bagi hutang untuk mak kirimkan kepada abang abang aku dahulu.

Bila abang K membawa kawan sekelas untuk study bersama sama ke rumah kami, ayah akan mengambil kesempatan untuk mencaci kawan abang K. Ayah akan cakap kawan abang K bdoh jadi mereka tak perlu datang ke rumah untuk study dengan abang K. Sebab orang bdoh tak akan pandai selama lamanya.

Lagipun ayah cakap kawan abang K hanya membuang masa abang K sebab perlu mengajar orang bdoh. Menangis nangis kawan abang K bila dikatakan bdoh oleh ayah sedangkan dia sudah berusia 17 tahun pada waktu itu.

Aku masih ingat sewaktu di tingkatan 5, aku bersama sama kawan perempuan buat ‘study group’ untuk persediaan peperiksaan SPM di rumah salah seorang kawan perempuan kami. Aku sudah meminta izin mak dan memaklumkan di rumah siapa aku ‘study group’.

Belum sempat 5 minit, ayah dah sampai di rumah kawan perempuan aku. Marah marahkan semua kawan aku sambil menuduh kawan kawan telah menghasut aku untuk keluar dari rumah.

Tambah ayah lagi, kami tak perlu buat ‘study group’ pun sebab aku dah bijak dari orang lain, padahal tak bijak mana pun. Angkuhnya ayah dalam berkata kata. Ayah juga cakap dia tak suka aku berkawan dengan perempuan liar di hadapan kawan kawan perempuan aku itu.

Aku jadi kelu seribu bahasa. Tanpa membuang masa, aku terus mengemas semua buku dan mengikut ayah pulang ke rumah dan hanya membiarkan kawan kawan yang sedang bersedih kerana telah dituduh liar oleh ayah. Sampai sekarang kawan kawan ‘study group’ tersebut tidak mahu berkawan rapat dengan aku.

Disebabkan perangai ayah, aku terpaksa menjadi kera sumbang sewaktu di sekolah menengah. Apa apa aktiviti di luar sekolah, langsung aku tidak diajak untuk menyertai. Sebab kawan kawan sekelas aku tidak mahu dimarah oleh ayah juga.

Sudahnya aku berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah seorang diri dari tingkatan 1 sampai 5 disebabkan sudah tiada siapa yang sudi berkawan dengan aku lagi.

Dari kecil sampai sekarang, kami adik beradik membesar dengan melihat pergaduhan mak dan ayah hampir setiap hari.

Aku pernah tengok ayah menumbuk muka mak, dan aku pernah tengok mak hampir memukul kepala ayah dengan kayu yang besar tapi sempat dihalang oleh abang. Ini kerana mak terlalu geram selepas ayah asyik menuduhnya curang disebabkan keluar untuk membeli ikan.

Ayah akan sentiasa mencari kesalahan mak. Menuduh mak curang walaupun mak keluar membeli barang keperluan. Menuduh mak pentingkan diri sendiri sebab mak tak izinkan dia berkahwin lain. Memarahi mak sebab membiarkan anak anaknya bermain dengan anak anak jiran sebab bagi ayah semua jirannya adalah orang yang paling jahat.

Untuk pengetahuan pembaca, ayah tak pernah menghadiahkan apa apa pakaian atau barang perhiasan untuk mak. Hatta membeli persalinan wajib untuk mak 2 kali setahun pun ayah tak pernah tunaikan.

Bagi ayah, dengan berkongsi sebahagian gajinya dengan mak setiap bulan sudah memenuhi tanggungjawabnya. Nak membeli hadiah untuk anak anak jauh sekali !

Ayah akan bergaduh dengan mak setiap kali tibanya raya. Disebabkan tidak pandai dan tidak mahu bersocial, ayah langsung tak mahu pulang beraya ke kampung mak.

Jika mak memaksa ayah untuk beraya di kampungnya, ayah akan mula buat perangai. Ayah akan terbaring di ruang tamu sepanjang hari, tidak kisah akan siapa yang lalu lalang. Bangun hanya untuk makan dan mandi. Tidak solat jugak melainkan saudaranya datang beraya baru ayah cepat cepat bangun untuk solat.

Kami adik beradik terasa sangat malu, lebih lebih lagi sepupu kami punya ayah yang betul betul macam seorang ayah. Ayah mereka semua bekerja bagus, bergaji besar, berbudi bahasa, lembut melayan isteri dan anak anak tapi ayah kami?

Ketika inilah mak dan ayah bergaduh mulut yang maha dasyat di hadapan saudara mara.

Selepas kejadian ini, mak dah tak memaksa ayah untuk pulang beraya ke kampungnya. Kami adik beradik buat keputusan untuk beraya di rumah sendiri sahaja sampai sekarang. Bila beraya di rumah sendiri ada pula masalah lain yang timbul.

Ayah tak membenarkan kanak kanak tanpa orang tua masuk ke rumah kami untuk beraya. Baginya kanak kanak datang beraya hanya menyusahkan dia sahaja sebab kanak kanak akan membuat bising dan mengotorkan meja makan.

Kami melarang ayah berbuat demikian tapi kami pula dimaki ayah. Emak pun melarang sudahnya mak dikatakan isteri derhaka sebab menentang arahan suami.

Sudahnya semua kanak kanak dihalau dari rumah dan belum sempat petang ayah sudah menutup rapat pintu rumah berserta tingkap supaya jiran menganggap kami tiada di rumah. Dan hingga ke malam tiadalah tetamu yang datang beraya.

Saudara mara? Mereka tidak pernah mahu datang beraya disebabkan sudah masak dengan perangai ayah yang susah hati untuk menerima tetamu datang ke rumahnya.

Aku pernah berfikir bahawa ayah tak pernah sayangkan kami. Ayah hanya menganggap kami sebagai bebanan. Sebab itu tanggungjawab menjaga anak anak dilepaskan semuanya kepada mak.

Kerana itulah juga ayah membiarkan aku berjalan seorang diri melalui jalan short cut yang bersemak samun untuk pergi dan balik dari sekolah. Tidak pernah sekali pun ayah menawarkan diri untuk menghantar aku ke sekolah hakikatnya aku seorang anak perempuan.

Dari sekolah tabika lagi ketika berusia 6 tahun, ayah telah melatih aku berjalan kaki untuk pergi dan balik dari sekolah. Aku tahu ayah sangat sayang waktu tidurnya lebih daripada dia menyayangi aku. Jika bernasib baik, ada jiran yang akan menumpangkan aku balik ke rumah.

Kadang kadang cikgu sekolah tabika sendiri yang menghantar aku pulang selepas cikgu perasan aku jarang dijemput ayah pulang. Mungkin cikgu risaukan aku sebab jarak sekolah tabika dengan rumah aku lebih kurang 2 km, agak jauh untuk berjalan kaki bagi seorang kanak kanak seperti aku ketika itu. Bersambung…

Untuk Part 2, klik link dibawah:

Darjah 3, aku dic4bul abg Z. Malam tu, aku adu pada mak. Tapi mak hanya tersenyum

Oleh kerana ayah banyak menghabiskan hidup dengan tidur, anak anak ayah yang masih kecil akan sentiasa dipkul dan disepak oleh ayah. Sebab anak anak kecil yang bermain akan membuat bising dan banyak bergaduh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *