Ibu kerap paksa layan pkcik2. Dipanggilnya aku beruk. Haritu, aku hambur ibu puas2 mcm kene rsuk

Foto sekadar hiasan

Aku Suhaida. Umur 35 tahun. Berkahwin anak 1. Bekerja sebagai kerani pejabat guaman di Selayang. Seorang socially awkward, tak pandai bergaul dan tak pandai bersembang. Depan orang pandai “oooo” dan sengih sengih je.

Malam minggu dua minggu yang lalu, aku bergaduh dengan ibu. Dan hingga ke hari ini aku masih tak boleh tidur malam. Aku rasa bersalah.

Rasa bersalah yang takkan padam sampai bila bila. Untuk pertama kali aku tengking tengking ibu dengan suara tinggi setelah diprovokasi.

Aku yang ibarat retak menanti belah, dah lama pendam amarah atas sikap ibu yang suka berat sebelah. Tiap kali gaduh dengan adik especially adik lelaki, memang aku je lah yang salah tak kira lah siapa yang mulakan pun.

Dan ibu kerap kali paksa aku untuk layan tetamu yang aku tak suka iaitu pak cik N dan pak cik A. Dua dua makhluk ni aku tak suka nak bertembung tiap kali mereka datang rumah, aku akan lepak je dalam bilik

Aku ada sebab tersendiri. Ada sebab aku tak suka dua orang tu. Tak payah paksa paksa lagi. Tapi ibu asik provoke katanya sikap aku teruk dan perangai tak elok. Aku hangin betul. Sepatutnya aku tak payah hangin sangat tapi aku betul betul trigger malam tu.

Aku ni hodoh. Aku ingat lagi kecik kecik dulu, bila ada tetamu datang, aku akan keluar duduk tepi tersengih sengih macam kerang busuk sebab suka orang datang, suka orang nampak kewujudan aku. Suka orang pandang aku dengan senyuman.

Sebab dah lama rasanya takda orang senyum dengan aku. Dalam rumah tu semua muka macam singa nak makan orang. Aku bahagia kalau orang datang. Aku nak show off, hey its me, im exist! Hello?

Tapi lepas je tetamu balik, aku selalu dihambur ibu, “ko mengada kan, tiap kali orang datang, sebok nak tunjuk muka. Kalau muka lawa takpe jugak, muka macam beruk”.

Ataupun tak sempat tetamu balik ibu akan bisik dekat aku, “ko tunggu la orang balik nanti tau la nasib kau”. Sambil jegil mata.

Sampai sekarang aku ingat. Kena hambur sekali dua aku masih degil. Sebab cepat lupa dan tak faham sangat. Aku anggap itu biasa sebab ibu marah marah memang suka memaki. Jadi aku tetap tadah muka tiap kali tetamu datang.

Tapi semakin meningkat dewasa, aku percaya yang aku beruk, dan sepatutnya menyorok saja kalau orang datang.

Sejak dari itu kalau nak hantar minuman ke ruang tamu pun, aku akan hantar sampai tangga dapur je dan pass kat orang lain. Aku kan beruk? — Jadi kenapa ibu marah sangat aku tak tunjuk muka sekarang ni bila tetamu datang lagi lagi pakcik dua ekor tu?

Fast forward, aku masuk asrama, masuk matrik, masuk U, kerja dan berkahwin. Aku kahwin agak lambat. Ye lah, beruk kan? Susah cari jodoh. Sekarang alhamdulillah dapat suami soft dan penyayang.

Berbalik kepada malam tu, suami aku kata pertama kali sejak kawen dia nampak aku naik angin, naik suara gegak gempita macam nak runtuh rumah ibu aku.

Aku lepaskan perasaan yang aku pendam bertahun tahun.

Aku terlupa sekejap yang didepan aku ni, ibu… bukan kawan kawan…

Aku terlupa syurga aku ada padanya. Aku terlampau marah. Aku dah banyak bersabar. Aku dah banyak makan hati.

“Orang lain punya susah je nak kira? Habis Ida punya susah ada orang lain tanya????!!! Korang je ke yang ada perasaan???!!! Ida ni apa??!! Kayu ke, batu ke, takde perasaan ke???!!!” —

Antara kata kata yang aku tengkingkan. Aku jerit sekuat hati macam orang histeria. Ada banyak lagi yang aku hamburkan tapi aku macam tak dapat ingat semua. Bila aku sedar je aku dah naik atas sambil suami tepuk tepuk belakang aku.

Yang aku rasa, penyesalan sebab meninggi suara. Tapi ada juga sikit rasa lega, apa yang aku simpan, dapat jua aku luah, walaupun cara luah aku salah. Tapi aku tetap tak sedap hati, hingga lah ke hari ini.

Kalau lah, aku sabar sikit je lagi malam tu, tentu semua ni tak perlu terjadi. Aku boleh terus jadi beruk yang menyorok dan melarikan diri, agar syurga aku tidak terluka demikian rupa. Kenapa lah aku tak sabar? Selama ni lebih 30 tahun aku mampu je sabar.

Lepas tu ibu masuk bilik. Aku tahu dia menangis. Aku pulak dah kekeringan air mata. Hidup aku penuh ranjau dari usia muda jadi aku dah banyak menangis.

Malam tu aku tak menangis langsung cuma rasa ringan dalam dada ibarat satu batu besar aku berjaya alihkan dari menghempap dada.

Tapi tidak bagi ibuku. Hari ahad tu kami nak balik, dia dah tak hantar kami ke depan pintu seperti kebiasaan. Malah nak salam pun dia tak mau angkat tangan.

Bila balik ke KL, hingga hari ni aku tak mampu tidur malam mengenangkan ibu yang terluka dengan kata kata aku malam tu. Aku cakap dengan suami, aku dah jadi anak derhaka. Beruk buruk ni dah dijamin neraka.

Suami peluk aku erat erat, dia pesan, “Jangan risau sayang syurga awak sekarang pada abang dan abang redha seredha redhanya dengan awak dunia dan akhirat” – malam tu baru aku menangis teresak esak. Setelah sekian lama air mata tak gugur…

Buat ibu,

Aku dah cuba jadi anak yang baik. Aku dah cuba sehabis baik. Aku nak layan ibu sebaikk mungkin. Tapi aku dah tak tertanggung segala tohmahan dan kesilapan yang tertuju hanya pada aku sorang. Tak kira betapa aku mencuba, adik adik jugak yang sentiasa betul di mata ibu.

Aku cuba abaikan dan maafkan seperti pesan suamiku selalu, “maafkan masa lalumu… maafkan masa lalumu”. Aku cuba bu… Tapi aku kalah bila diprovok.. Aku kalah bila dituding tunding jari ke arah aku bertali arus…

Paling aku marah, adik yang cari pasal dengan aku. Hantar wasap kurang ajar, dan bila aku balas kurang ajar jugak, adik bagitau ibu yang aku ni biadap. Dan ibu sebelahkan adik, tanpa tanya aku apa sebenarnya yang jadi..

Bukan sekali dua macam ni, selalu. Tiap kali macam tu lah endingnya. Aku penat bu, penat… aku balik, bagi wang belanja, nak tunaikan tanggungjawab aku sebagai anak je…

Kenapa ibu perlu complicatedkan keadaan ni. Kenapa ibu nak uji hati yang dah lama tahan sabar ni.. kenapa ibu nak uji anak beruk ibu yang buruk ni? Sampai bila baru ibu puas hati? Sampai anak perempuan buruk ni masuk neraka ke ibu? Macam tu ke?

Buat ibu ibu di luar sana,

Mudahkan lah urusan anak anakmu yang nak berbakti. Jangan ditambah bara yang tersimpan. Kalau kau memang tak mampu sayang anak berukmu yang sorang itu, jangan lah ditambah derita dia.

Dia pun banyak masalah hidup cuma dia tak semurah adik lelaki yang lembik semua benda nak cerita. Kalau ceritanya betul tak apa juga..

Buat pembaca,

Doakan ibu saya sentiasa sihat, dimurahkan rezeki dan hidup bahagia hingga akhir hayat dengan anak anak yang dia sayang… aamiin.. dengan ini baru lah saya lega untuk bawa diri jauh jauh selepas ini…

Saya luahkan kat sini bukan nak minta simpati suka suka nak adu domba, tapi saya nak lepaskan beban di dada… Saya dah minta maaf dengan ibu sebelum balik, tapi saya kenal ibu saya macam mana..

Dia keras hati, kuat berdendam dan tak kan semudah itu maafkan saya… Begitupun, saya dah maafkan semua orang, dan saya harap pembaca tolong doakan ibu saya lembut hati untuk maafkan saya anaknya ini dari sejak lahir hingga ke hari ini.

(Tolong gais). Saya tahu saya juga banyak salah silap. Saya jauh dari sempurna. Dan saya boleh faham tak semua orang akan suka kita walaupun ibu sendiri.

Saya akan berhenti membeli jiwa, berhenti ambil hati, dan saya akan hentikan semua usaha saya sebab saya tahu, kalau dah tak suka, buat apa pun tetap tak suka..

Ibu saya baik, ramah dan penyayang je. Cuma maybe sebab saya beruk, jadi dia tak mampu sayang saya.

Ibu saya tak salah. Saya yang salah kerana mahu lahir ke dunia (saya dengar ceramah dr zakir naik yang setiap roh sebelum lahir ada dialog dengan Allah swt dan telah ditanya samaada kita betul betul mahu lahir ke dunia sebagai manusia? Dan kita setuju sebab itu kita semua ada didunia ini hari ini)

Maybe ibu saya pun dah lama tahan malu dengan rupa dan sikap ke-berukan saya selama berpuluh tahun ni. Semoga Allah lepaskan ikatan kami berdua didunia ini dengan mengambil nyawa saya secepat mungkin, dan semoga Allah sentiasa bahagiakan ibu saya dunia akhirat.

Walaupun saya beruk, saya bersyukur ibu ayah masih sudi membesarkan saya dan memberi pendidikan pada saya. Saya dapat berdikari hari ini pun kerana ibu ayah. Itu tak mungkin saya dapat lupa.

Saya juga doakan pembaca semua tak hadapi seperti mana beruk ini lalui selama ini… saya minta maaf yang khilaf semua dar isaya…

Yang benar,

Anak berukmu yang buruk.

Reaksi Warganet

Farhana Aein –
Baru semalam pergi beli barang kat area selayang. Masa nak bayar, ada sorang pompuan ni marah anak dia, kata anak macam beruk depan orang ramai.

Gini la akak… Kalau boleh jumpa, jumpa. Kalau dah tak tahan dengan mulut mak, tak payah jumpa atau jumpa kejap kejap ja. Doa banyak banyak. Bukan kita tak nak jumpa tapi takut hilang kewarasan sebab dah tak larat nak hadap keceluparannya.

Nak betulkan mak ni susahlah, hampir mustahil. Mak dah tua. Doa ja yang mampu untuk diberi kekuatan nak hadap mak selagi mana mak masih hidup.

Kak Ain –
Tahniah kerana berjaya luahkan, dan tahniah kerana telah memohon maaf. Sepatutnya kena sebut juga, “dulu ibu selalu sebut muka kakak macam beruk kan. Sampai sekarang kakak rasa kakak ni beruk tau ibu”.

Percayalah, ibu menyesal tu. Dia dah tersedar bila akhirnya kita luahkan.
Ambil masa sikit untuk balik kampung, kirim duit melalui bank transfer je. Dan call sahaja. Biar ibu lalui hari hari dengan adik adik je dan dia akan rasa rindu pada confessor.

Tapi cukuplah sekali, lepas ni jangan jerit lagi.

Nor Laila Mohd Din –
Confessor, muka beruk tu kepunyaan beruk, marah beruk tu kang. You muka manusia, kita berasal dari Nabi Adam dan Hawa, sebaik baik ciptaan. Anggaplah itu kekhilafan ibu u sebagai insan lemah.

Confessor bertuah punya suami yang baik yang stand by u. Bila dah reda nanti cari ibu balik, mohon maaf n act normal. Teruskan hidup ni dengan buang anggapan buruk macam beruk tu.

Beruk tu pun bukan buruk, comel di kalangan bangsanya. Emak beruk sayang dan bangga dengan anak beruk dan redha dengan wajah anak beruk kerana emak beruk tahu itulah wajah keturunan yang sama….

Nur Sumayyah –
Allahuakbar, menangis saya baca confess awak. Cantik tak cantik itu subjektif. Ada orang nampak cantik, tapi pada orang lain, orang tu biasa biasa je..

Tapi ada orang yang rupanya biasa biasa je, tapi orang lain nampak cantik. Sebab apa nampk cantik, sebab pada hati dan akhlak dia.

Pada akhirnya orang akan sedar kecantikkan luaran tu bukan segala galanya. Kecantikan hati budi tu yang buat orang bertahan..

Awak bukan beruk. Tapi awak manusia yang baik hati dan akhlak. Awak diuji sebab Allah sayangkan awak. Dia nak awak mengadu dan bercakap dengan Dia..

Banyakkan berdoa. Semoga hati ibu dan adik beradik awak lembut untuk terima awak dan keluarga kecil awak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang..

Benar cakap suami awak, syurga awak sekarang pada dia. Dia terima, sayang dan redha dengan awak. Syukur sangat sangat.

Carilah dan nikmatilah kegembiraan awak bersama bersama suami dan keluarga kecil awak. Semoga awak sekeluarga berbahagia dunia akhirat..

Sumber – Suhaida (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *