“7 tahun simpan rahsia sudah mualaf”. Bila balik kg, berpura2. Krn fmly, aurat ku dibuka, solat dan puasa ditinggalkan

Foto sekadar hiasan. Assalammualaikum dan selamat berpuasa semua. Terima kasih admin seandainya coretan ini disiarkan.

Tahun ini alhamdulillah merupakan tahun yang ke-7 saya berpuasa. Selama 7 tahun menjadi seorang muslim, sungguh banyak ujian yang Allah beri untuk buat saya terus kuat dalam agama ini.

Saya terdetik hati untuk meluah di page ni apabila tak lama lagi saya akan balik rumah. Saya seorang student universiti di selatan tanah air dan mungkin akan dijadualkan pulang awal bulan Mei ni.

Masalahnya adalah apabila keluarga saya sendiri sampai saat ni masih tak tahu tentang keislaman saya.

7 tahun saya simpan sebab awal awal keislaman saya. Allah uji saya dengan ugutan bnuh dari ayah, ugutan bnuh diri dari ibu dan pelbagai jenis lagi ayat ayat yang tidak menyenangkan didengari oleh seorang anak daripada orang tuanya sendiri.

Saya memeluk agama Islam di usia 18 tahun. Ikut undang undang, saya dah ada kebebasan untuk beragama. Namun, ibu bapa saya jenis yang tegas. Amat tegas. Mungkin kerana saya anak sulung.

Sebab jika dilihat cara mereka membesarkan adik adik saya, tidaklah setegas yang mereka didik seperti saya. Ketegasan mereka itulah yang membuatkan saya untuk terus menafikan keislaman sendiri di hadapan mereka selama ini.

Selama 7 tahun ni, amat sukar untuk saya hidup seperti 2 alam. Hidup penuh dengan kepuraan puraan di hadapan keluarga untuk menjaga keselamatan diri, dan hidup dengan penuh ketenangan sebagai seorang muslim apabila berjauhan dari mereka.

Kawan saya pernah menasihati saya bahawa untuk awal awal tahun keislaman saya, ye Allah masih ampunkan sebab dalam keadaan darurat. Namun, sedar tak sedar, dah 7 tahun saya masih merahsiakannya lagi dari keluarga.

Jadi, sekarang ni dosa saya berjalan jika saya membuat sesuatu yang Allah larang kerana takut membawa kemudaratan sendiri apabila bersama dengan keluarga. Dekat dekat hari nak balik rumah ni, kata katanya itu membuatkan saya tertekan.

Saya pun sebenarnya dah penat nak berahsia dengan keluarga sendiri. Tetapi, mengenangkan hanya saya yang tahu akan penerimaan keluarga saya jika keislaman saya ini didedahkan, sampai saat ini saya masih risau untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi.

Ibu dan ayah orang yang berpangkat dalam komuniti. Pak cik dan mak cik pun jenis yang kuat agama dan berdakyah. Walaupun begitu, ada juga seorang dua pak cik makcik yang beragama Islam melalui perkahwinan. Bukan pilihan sendiri seperti saya.

Penerimaan keluarga untuk mereka yang berkahwin mungkin berbeza kerana mereka mempunyai pasangan dan pilihan hati. Sedangkan saya? Islam ini memang saya yang pilih tanpa paksaan dari siapa siapa.

Saya bayangkan jika saya bagitau keluarga tentang keislaman saya, saya akan dibuang keluarga, ibu dan ayah saya tidak lagi akan menghantar saya belajar dan saya tidak akan dapat berhubung lagi dengan rakan rakan yang banyak membantu saya dari segi keagamaan ni.

Saya membayangkan semua ni sebab ada antaranya pernah terjadi 7 tahun yang lepas. Waktu tu, saya belum lagi mendaftar secara rasmi Islam, baru nak belajar dan kenal Islam tu bagaimana.

Namun, mungkin Allah nak uji, Allah tunjukkan kepada ibu dan ayah saya tentang minat saya tu dan bermula dari saat itulah saya tahu bahawa perjalanan untuk saya mencari redha Allah akan berhadapan dengan penuh rintangan.

Saya tak pernah rasa menyesal untuk memilih agama ini. Cuma, rasa bersalah yang amat sangat sebab terpaksa menipu keluarga sendiri apabila mereka ajak pergi ke rumah ibadat dan makan makanan yang haram dalam Islam.

Selama 7 tahun ni, kadang kadang jika saya berasa lemah, saya hampir hampir tak kenal diri saya yang sebenarnya mana 1. Masih kafir kah atau beriman? Sebab, jika cuti panjang, apabila di rumah, terpaksalah berpura pura di hadapan mereka.

Alhamdulillah, Allah datangkan pertolonganNya dalam pelbagai bentuk. Saya kembali yakin dengan hati dan iman di hati apabila saya mengamalkan bersyahadah dan beristigfar setiap kali selepas melakukan kemungkaran yang saya tak inginkan pun.

”Macam mana kalau awak meninggal? Awak nak dikebumikan sebagai apa? Keluarga awak mesti akan claim awak sebagai Kristian sedangkan yang kenal awak kata awak Islam.”

“Macam mana kalau mak ayah awak meninggal? Awak nak ke mak ayah awak meninggal tanpa dorang tau yang awak Islam? Tanpa awak sempat minta maaf kat dorang sebab menipu selama ni?”

“Cepat atau lambat, awak akan hadapi jugak situasi ni. Tak dapat nak elak jugak.”

Persoalan persoalan itulah yang mengganggu fikiran saya apabila ditanya oleh kawan kawan. Ye saya tau memang cepat atau lambat saya memang kena bagitau juga family saya, tapi mungkin dalam tempoh waktu tu, saya dah ada pendapat sendiri.

Jadi kalau family buang saya, sekurang kurangnya saya masih mampu untuk meneruskan kehidupan. Tapi sekarang sebagai seorang student yang ditanggung sepenuhnya oleh family, saya jadi buntu. Saya takut nak berhadapan dengan ibu ayah saya jika mereka tahu tentang keislaman saya.

Tahun yang ke-7 ni, saya dah berniat nak puasa full. Saya tak pernah dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan ni sebab bila dekat nak raya mesti dah kena balik rumah.

Di rumah pula, nak beribadah tu susah. Solat pun waktu malam. Qada la solat solat waktu siang tu. Tu pun dalam keadaan yang takut dan risau sangat. Sebab saya kongsi bilik dengan adik perempuan. Adik saya tu pun bukannya budak kecil lagi.

Ibu ayah pula jenis yang suka main terjah je masuk bilik even malam malam sebab nak check anak anak buat apa. Dengan pintu bilik yang memang tak dapat nak kunci, lagilah rasa bila solat tu, nyawa seperti di hujung tanduk. Takut sangat.

Ibu dan ayah ni, walaupun ada saudara sendiri muslim, tapi masih juga amat anti dengan Islam. Mereka menilai Islam tu daripada orang Islam, bukan Islam tu sendiri.

Komuniti tempat tinggal kami pula selalu ada kes kes yang melibatkan orang Islam. Jadi, lagilah kuat penilaian mereka terhadap agama ni. Padahal, dalam waktu yang sama orang orang yang bukan Islam pun sama je buat masalah. Tapi entah kenapa, yang Islam tu jugak yang dinilai terlebih.

Saya pernah menyuarakan pendapat saya di hadapan ibu dan ayah apabila mereka menilai orang Islam ni sekian sekian, namun ibu dan ayah akan menjadi sangsi dengan kata kata saya.

Mungkin benar firasat orang tua kan kuat. Jadi, walaupun selama 7 tahun saya berpura-pura di hadapan mereka, tetapi kerana sejarah saya dahulu yang pernah minat dengan Islam, mereka masih lagi meragui saya.

Segala tindak tanduk saya di rumah pun masih lagi diperhatikan. Lagi lagi soal makanan. Ya Allah, yang bahagian ni, cukuplah Allah sahaja yang tahu betapa rasa tersepitnya rasa.

7 tahun kembali kepada Islam. Saya rasa saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berpura pura. Risau jika Allah balikkan hati saya menjadi kafir kembali.

Memang saya tau batas lagi lagi bab makanan, tetapi dalam bulan puasa ni, saya rasa sangat rugi jika saya tidak ikut berlumba seperti muslim yang lain mencari redha Allah dengan beribadah kepadanya.

Saya ada terfikir untuk terus kekal di U, tapi disebabkan PKP dan viirus yang melanda ni, saya tak pasti sampai bila boleh stay.

Saya bukannya ada saudara pun yang terdekat tinggal sini. Jika ada pun, sama je nanti rasa balik rumah. Terpaksa buka aurat, tinggal solat dan puasa. Lagipun, ibu dan ayah dah pesan suruh balik.

Bulan puasa ni, ibu selalu call. Tanya ada makan tengahari tak? Lauk ape? Nak tak nak kalau ibu call siang, terpaksalah tipu sunat. Saya jawab je la apa jenis lauk yang terlintas di fikiran.

Jauh di sudut hati seorang ibu, saya tahu ibu ada rasa fishy dengan anaknya seorang ni. Lagi lagi dah duduk semenanjung, memang akan kenal dengan ramai orang Islam, lagilah ibu rasa risau tentang keimanan saya terhadap yang mana.

Saya tau sebab saya masih rasa ibu masih mengesyaki saya. Ibu selalu berpesan untuk jaga diri lagi lagi soal keagamaan.

2, 3 hari ni saya sibuk menonton video video cara penyampaian dakwah daripada orang mualaf sendiri. Sebelum saya yakin untuk berterus terang kepada keluarga, sekurang-kurangnya saya adalah ilmu secebis untuk dibawa berhujah di hadapan mereka.

Saya tertarik dengan satu video dari Indonesia. Seorang wanita yang mualaf di mana ibunya meminta kembali semua perbelanjaan dari kecil sehinggalah dia dewasa (umur 42 tahun) kerana lebih memilih Islam dari keluarga sendiri.

Dia kata, apabila ibunya meminta dia untuk memilih salah satu, itu dah bukan antara seorang ibu dan anaknya lagi.

Itu antara kafir dan iman yang dia harus pilih. Allahu, entah bila lah saya ada kekuatan untuk jadi seperti tu. Dia pilih untuk memulangkan semua duit kepada ibunya dalam tempoh seminggu kerana dia yakin Allah tu ada. Dia lah Maha Pemberi kepada rezeki.

Saya kagum akan ketinggian takwanya. Dipendekkan cerita, tak sampai seminggu pun dia dapat bayar balik kepada ibunya kerana kebergantungannya yang tinggi kepada Allah.

Apabila saya bandingkan diri saya dengan dia, saya mula tertanya pada diri sendiri.

“Adakah saya kurang ketakwaan kepada Allah?”

“Sebab tu ke saya lebih takut untuk berhadapan dengan family sendiri dari kemurkaan Allah?”

“Saya ni kurang iman ke sebab tak mampu nak merasai kebergantungan yang tinggi macam tu?”

Saya jadi tertekan. Solat istikarah? Ye saya buat. Doa sungguh sungguh kat Allah ye saya buat jugak. Namun masih lagi rasa macam,

“Ya Allah aku nak buat apa ni? Nak balik tutup aurat. Nak balik dapat solat, dapat puasa full.”

Saya harap dengan perkongsian saya ni, para pembaca dapat doakan saya. Mana tahu, ada antara doa kalian Allah makbulkan untuk Dia tunjukkan jalan penyelesaian kepada saya. Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf andai ada kata-kata yang membuatkan terasa. Assalamualaikum.

Reaksi warganet

Enn Angah –Dik akak hanya boleh doakan semoga urusan adik di permudahkan. Bab tanggung belajar jangan risau setahu saya saudara baru ada di berikan bantuan maybe boleh rujuk dengan pekim or memana badan bertauliah.

Ada yang suggest mencari keluarga angkat. Saya setuju dengan cadangan tu at least adik tak berkeseorangan.

Akak malu pada adik. Akak rasa adik lagi mengenal islam dari kami yang lahir dah islam ni…. Allahuakbar…

Jainatunaim Alang Husin –Ya Allah sedihnya baca cerita kau dik. Kau kena percaya janji Allah dik. Kau berterus terang je dengan parents kau. Yang lain kau serahkan pada Allah. Kau kena yakin pertolongan Allah akan sampai pada hambaNya yang beriman. Jangan risau, ada hikmahnya. InsyaAllah, akan dipermudahkan. Saya doakan utk adik. Berterus terang sahaja dari kau hidup macam ni.

Nur Farhana Zulkifli –Tak semudah yang disangka untuk berterus terang dengan famili macam tu je. Sebab dah kena ugut bnuh kan. So berterus terang by phone call lagi selamat. Memandangkan Anne masih belajar dan ditanggung keluarga. Jangan confess tanpa ada backup plan. Prepare for the worst.

Nak berterus terang boleh. Tapi kena ada backup plan A, B, C yang terancang… Contohnya,

1. Kena cari keluarga angkat islam yang dipercayai incase kena halau lepas confess dengan parents.

2. Kena ada duit simpanan sikit sikit atau cari kerja partime.

3. Rujuk dengan perkim atau Hidayah centre foundation.

4. Atau mungkin boleh contact Ustaz ebit lew atau mana2 ustaz yang bleh tolong on the spot.

5. Doa banyak2 dipermudahkan urusan, dikeluarkan dari kesulitan hidup.. besar pahala awak. Jiihad mempertahankan islam di dada. 🙂

Dulu saya pernah terlibat jugak dengan Hidayah center untuk bantu mualaf. Boleh PM tepi jika perlu nombor contact.

Pandangan saja. Betulkan kalau saya salah.

Sumber – Anne (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *