Foto sekadar hiasan. Namaku Alang. Bukan nama sebenar. Aku anak keempat dari lapan beradik.
Lewat situasi kini, isu miskin dan kemiskinan banyak diperkatakan. Aku seakan ditolak untuk menoleh masa silamku. Masa jadi anak orang miskin. Miskin sangat, bukan miskin biasa-biasa.
Aruwah bapa seorang penoreh getah. Emak juga membantu bapa menoreh getah. Tapi, mereka menoreh di kebun milik orang sama ada pajak atau bahagi dua.
“Along, nanti masak ya. Celur pucuk ubi. Buat sambal gesek. Goreng telur”.
“Ateh, sapu laman. Alang, basuh pinggan. Acik, basuh baju, sidai sekali”.
Itu rutin arahan Mak sebelum turun ke kebun menoreh getah. Jangan sangka tugasan itu sama setiap hari.
Ya, Mak akan tukar-tukarkan kerja kami. Tapi bila Mak ke kebun, kadang-kadang kami buat tugasan tersebut sama-sama.
Malangnya, semua tugasan tersebut untuk anak-anak perempuan sahaja.
Dua abang yang atas sudah bekerja di luar. Seorang abang yang ada di rumah ni jarang ada tugasan khas. Adik lelaki barangkali kerana dia masih kecil memang terlepas dari kerja rumah.
Hari Sabtu dan Ahad, cuti sekolah pula, aku dan Along membantu Mak menoreh getah. Maka, balik menoreh kami selesaikan kerja-kerja rumah.
Kerja rumah ada yang berat seperti angkat air di sungai, cari kayu api, cari sayuran liar dan sebagainya. Semuanya tugas anak perempuan!
Air, elektrik, dapur gas memang tiada masa tersebut. Bayangkan, selepas cari kayu api, membelah kayu pun anak perempuan atau Mak yang akan buat.
Aruwah bapa ialah tipikal lelaki Melayu tradisi. Sangat tradisi.
Apabila sampai masa Bapa makan, waima semua lauk dan nasi sudah ada di bawah tudung saji, sama ada Mak atau anak perempuannya kena angkat tudung saji tersebut. Begitulah…
Aku membesar dengan percaya bahawa memang tugas perempuan begitu dan lelaki harus dilayan begini.
“Along, mana air masak?” Soal abang.
“Ada dalam tong, baru sejukkan”. Balas Along.
Memang untuk sejukkan air masak, perlu botol berisi air panas yang baru dijerang dimasukkan dalam tong drum, yang digunakan untuk menadah air yang diambil dari sungai.
“Panggg”.
Sekeping penampar hinggap di muka Along. Begitulah kehidupan masa lalu aku. Andai ada yang tak puas hati, Along selalu jadi mngsa baran abang. Tapi, aruwah bapa tak seperti itu. Bapa sabar dan jarang marah kami.
Aku selalu ingin lindungi Along. Tapi, dengan tubuh kurus keringku ini, aku hanya mampu melihat. Paling penting, aku merakam semua peristiwa itu. Akulah saksi Along selalu dibuli abang.
Aku menahan marah. Aku menahan rasa.
“Maafkan aku Along. Aku tak dapat tolong Along”
Untuk pengetahuan pembaca, bapa tak ada tanah walau sedikit pun. Jadi kami selalu berpindah-randah. Maka, tiap kali pindah, bapa buat “rumah” baharu.
Rumah yang bukan rumah, cuma pondok tempat berteduh. Tapi Mak sangat pentingkan kebersihan.
Walaupun seburuk mana pondok yang bapa bina, dengan tiang dari kayu kebun, lantai dari buluh yang disusun dan atap dari nipah yang dianyam… Mak ajar kami menyapu dan membuang sampah dengan baik.
Bapa pula mengasuh kami makna usaha. Aku saksi bapa membuat beberapa kerja dalam satu masa. Pagi menoreh, petang ambil upah menebas. Pada masa yang sama jadi tukang jaga kebun tempat kami menumpang membuat pondok.
Sayangnya, yang sentiasa membantu bapa ialah anak-anak perempuan. Manakala anak lelaki kurang mewarisi usaha kental bapa, tapi meneladani sikap tradisi lelaki Melayu tipikal.
“Kakak, ambil basuh tangan”.
Mataku memerhati dengan tajam dan geram. Saat berkunjung ke rumah abang, sungguh dia umpama raja! Raja tiada takhta… walau sudah ada kemudahan sinki dan paip di rumah…
Kini, kami telah dewasa, sudah punya kehidupan sendiri. Adik beradik perempuan ada kerjaya yang baik. Mungkin kerana dari kecil anak perempuan ada banyak kerja, maka kami dah terbiasa berusaha.
Manakala yang lelaki ada yang masih seperti kehidupan lampau kami. Cuma, mereka kekal menjadi raja di rumah sendiri.
Miskin itu takdir kita tapi pengotor itu pilihan.
Melihat kehidupan ibu bapa adalah teladan. Kita boleh memilih yang baik untuk dijadikan ikutan. Yang tidak kita simpan sebagai kenangan.
Maka, saya memilih mendidik anak tanpa kenal jantina. Basuh pinggan bukan untuk anak perempuan, tapi tanggung jawab sebagai insan. Begitulah…
Biar miskin, tapi bersih.
Biar susah, tapi berusaha.
Reaksi warganet
Hasnah Mat Said –Adat orang orang dulu yang mengatakan anak perempuan kena duduk didapur memasak dan buat kerja rumah. Anak lelaki keluar cari kayu api. Anak yang sulung biasa teruk memikul tanggungjawab.
Yatie Yusuf –Memang pun segelintir masyarakat kampung macam tu anak lelaki dilayan bagaikan raja tapi anak perempuan kena buat semua keje macam pekerja ladang tapi hasilnya bila semua dewasa anak perempuan lebih berjaya ibarat pepatah campak la kemana saja Insyaallah boleh hidup.
Yang salah adalah ibubapa yang mendidik jangan marah bila anak anak dah besar mungkin akan ada sedikit dendam kerana luka lama yang sukar dipadamkan, siapa yang melaluinya lukanya terlalu dalam walaupun cuba untuk tersenyum.
Noorzalina Mat Hussien –Memang tipikal malay man macam tu, dilayan macam raja. Semuanya dihulur sampai kelutut. Habis makan, cuci tangan dalam pinggan, bangun, yang perempuan kutip semua pinggan, basuh pinggan dan kemas dapur.
Disebabkan dibesarkan dalam keluarga macam tu, aku benci untuk layan orang lelaki macam raja dan benci tengok orang layan lelaki macam raja. Mereka dicipta bukan untuk jadi raja kat dunia ni.
Ummi Mithali –Sebenarnya kan lelaki ni dilayan macam raja sebab dia ada kuasa. Kalau tak suka kita, bila bila sahaja dia boleh cari lain.
Orang dulu dulu klu bercerrai, salah isteri tak pandai jaga laki. Itu yang diorang sangat cermat supaya takde cacat celanya layannya (ini kata mak su saya lah).
Tambahan lagi waktu tu nasib perempuan sangat bergantung kepada ehsan lelaki untuk menyara dan menjaga anak. Itulah sebab pompuan ni macam2 kemahiran kena tahu.
Hasimah Mohd –Gitu la sikap orang melayu. Bukan orang melayu je, barangkali bangsa atau negara lain memang macam tu, lelaki dilayan macam raja. Macam tak ada kaki sendiri kalau nak air, lain la kalau sakit lumpuh. Ni badan sihat sampai air basuh tangan nak kene hulur. Adat la sangat.
Bagi aku, orang lelaki yang suruh ambik air sejuk masa tengah makan nk, aku anggp pemalas je. Kalau lelaki yang ada akal, dia tolong ringankan beban ahli keluarga dia, x kesah la adik beradik, keluarga atau isteri.
Sekarang pun aku tengah didik anak anak aku, pas mkn angkat pinggan sendiri bwak pergi sinki dan basuh. Jangan duk tinggal pinggan kotor atas meja.
Sumber – ALANG (Bukan nama sebenar) via IIUMC