Dipetik dari FB Ebit Lew..
Syukur pada Allah yang Maha Kaya dan Maha Penyayang. Berkat doa mak ayah. Berkat cinta kasih sayang pada bidadari. Doa ramai orang baik-baik. Allah beri rezeki mencurah-curah. Ramai tanya saya soalan bukan-bukan. Saya bekerja dan berniaga dah lebih 10 tahun.
Dulu saya tidur masjid. Pernah tidur atas guni. Dari kecil berdakwah dan menyebarkan kasih sayang. Soalan paling banyak saya dengar nanti kau sibuk tolong orang sana sini habis hilang dunia. Kau nak jadi apa dah besar. Sampailah universiti.
Ramai tak nak ambil saya kerja sebab selekeh. Dengan janggut kopiah lagi. Kasut pun buruk. Dulu sekolah stokin pun takde. Masa tu susah betul. Duit gaji dekat mak semuanya rm800 dengan banyak kerja.
Saya walau ada sepinggan nasi share dengan kawan. Ada orang masuk RM2 dekat poket sebab tolong isi minyak. Saya menangis dapat RM2 tu. Besar nilai untuk saya.
Saya mula kerja dengan Dato Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Hanim. Sebagai trainer atau motivator. Program korporat teambuilding selama 4 tahun. Selepas itu saya mula buat sendiri. Syukur syarikat minyak dan kapal buat teambuilding dengan saya. Syarikat kerajaan ada buat program untuk seluruh kementerian. Program keluargasunnah sekali hadir 7000 orang. Prokids remaja. Saya tour seluruh Malaysia.
Syukur ramai yang mendapat manfaat. Buat dekat hotel 5 bintang dan dewan besar. Persiapan macam konsert sebagai daya tarikan dan lebih selesa. Teambuilding training sebelum ini mereka bayar syarikat luar negara dan syarikat besar. Mereka mula mencari yang ada nilai islamic.
Saya ada 3 restoren Paramount Coffee House. Sebenarnya dah plan nak buka seluruh Malaysia. Dan nak buka di luar negara. Belum sempat jer. Butik hari pertama buka sale habis jubah semua. Selepas itu makin semangat. Syukur rezeki makin melimpah ruah.
Saya tulis 9 buku. Semua buku laris. Buku yang dah 8 tahun tulis masih laris sampai sekarang. Tambahan lain Youtube dan Facebook. Rupanya Youtube dan Facebook bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan dekat fb dengan youtube.
Syukur saya ada 2 program Tv. 2 tahun dah. ‘Door to door ebit lew’ – Astro Aosis. ‘A bit with ebit’ di Tv Al Hijrah. Dua program saya sendiri dah 2 musim. Dapat juga bayaran syarikat media untuk iklan sedikit sebanyak. Staf kakitangan tetap saya ada 55 orang. Ramai juga yang lain dekat 40 orang on off sukarelawan saya yang ada bayaran juga.
Begitulah rezeki Allah beri. Tapi saya yakin Allah beri semua sekali. 2 perkara penting. Rajin dan Yakin. Tiada tempat dunia dan akhirat untuk orang malas.
Yakin pada Allah. Allah beri rezeki. Dia punya semua. Tiada kita punya. Jaga solat awal waktu. Bila susah selalu beri masa solat sunat. Tahajud dan Dhuha. Jaga mak ayah dan mertua dengan baik.
Jangan kedekut dengan isteri dan anak-anak. Beri kasih sayang. Pelukan dan kasih sayang. Tanpa doa bidadari saya dan anak-anak pasti tak dapat semua ini. Allah beri rezeki.
Dulu ingat lagi selalu bila jumpa orang susah baju buruk pergi masjid. saya tanggal jubah saya beri dekat dia. Dia nak selipar beri selipar. Sampai orang kata saya bodoh. Kau susah nak tolong orang. Saya sedih. Tapi saya yakin Allah pasti balas. Sekarang anak jalanan saya bawa shoping dekat Sogo.
Tiada yang berkuasa melainkan Allah. Dunia sementara sahaja. Akhirat selamanya. Miskin atau kaya bukan pada rumah kereta. Tapi pada hati. Walau ada sepinggan share dengan orang lain. Sahabatku percayalah disebalik ujian ada rahmat.
Barangsiapa bekerja untuk membantu seramai mungkin orang miskin dan anak yatim dia sedang berjihad di jalan Allah. Penting didik anak rajin. Didik anak jadi orang kaya takwa. Didik anak jadi pemimpin. Didik anak jadi terkenal dunia dan akhirat. Supaya kita semua jadi Duta Islam dan bawa akhlak Nabi saw.
Menangis Di Baling Kedah
Menangis lagi di Baling Kedah. Dah 2 hari tak tidur bila dapat berita tentang keluarga suami isteri dan 4 orang anak masih kecil-kecil dah setahun tinggal disini. Dalam pondok atau khemah. Sedihnya. Selepas sahur terus ke sini.
Jauh dari orang dan dalam kebun getah. Tak lepas kereta saya. Naik hilux atau jalan kaki. Banyak nyamuk. Tandas tiada air. Air hujan jer. Setahun macam manalah yer anak baik tinggal disini. Ya Allah maafkanlah saya. Ampunkan dosa diri saya.
Sebelum hadir mereka kata ada ketua masyarakat disini hadir semalam dan janji akan beri rumah. Tolong buat rumah tapi selepas PKP nanti. Tapi tuler mesti lambat lagikan ustaz. Syukur Alhamdulillah. Terima kaseh yb dan masyarakat setempat yang banyak membantu mereka. Semua badan ada hantar makanan dan sekolah pun beri percuma pada mereka makanan disekolah. Terima kaseh semua.
Bagi saya sehari mereka disini adalah dosa buat saya yang tidur lena. Makan sedap. Rumah saya besar dan kenderaan macam-macam. Anak kecil ini penuh nyamuk. Mereka anak yang baik. Senyum jer bahagia. Anak-anak ini anak yang baik sangat. Comel. Cemerlang pelajaran dan sukan.
Baik jer beradab sangat. Allahuakbar. Adik main dekat mana. Dekat sinilah ustaz. Allahuakbar. Saya nak masuk pun takut. Dia main 4 beradik. Yang besar darjah 5 perempuan.
Saya kata jom pindah rumah saya akan cari rumah sewa boleh duduk sampai bila-bila saya bayar. Jika ada kerajaan buatkan rumah boleh pindah sana. Sehari adik disini buat saya tak boleh tidur. Sedih sangat rasa. Rasa bersalah.
Syukur Alhamdulillah sahabat kita sekeluarga dah berpindah ke rumah sewa. Saya dah bayarkan 2 bulan. InsyaAllah selagi mereka perlukan rumah tu saya bayarkan sewa rumah dan air elektrik. Terima kaseh tuan rumah.
Mula-mula mereka terkejut. Sebab katanya macam mimpi. Anaknya happy jer dalam kereta saya tadi. Jiran baik semuanya ada yang datang membantu pindah tadi.
Sedih tengok. Saya pergi kedai perabot belikan 2 katil queen dan tilam. Serta 2 tilam single. Belikan tikar getah. Rice cooker. Saya beri duit belanja buat keluarga dan anak-anak. Syukur pada Allah.
Isteri tuan rumah menangis tadi. Sebak saya. Katanya kenapa ustaz buat semua ini. Jawab saya. Saya dulu miskin saya cuma nak Allah sayang. Miskin atau kaya bukan mulia atau hina. Keduanya ujian dari Allah. Saya tengok anak kakak ini cerdik semuanya. Saya teringin nak bantu mereka belajar ke madrasah.
Tadi kelam kabut saya balik. Tak sempat cakap panjang. Tadi sambung berbual dalam phone. Saya kata saya akan bantu anak ini belajar sekolah agama atau madrasah. Biar dia jadi orang hebat dunia akhirat
Terima pelawaan Ustaz demi anak
“Pada mulanya saya menolak pelawaan Ustaz Ebit kerana tidak mahu tinggal di rumah yang disewanya.
“Namun apabila dipelawa berulang kali supaya tinggal di rumah sewa demi keselesaan anak-anak, saya terpaksa ikut.
“Lagi pun rumah sewa itu di Kampung Padang, Pulai, dekat sini,” kata Megat Noor Asyeqi Megat Hussin, 36, ketika ditemui di tapak rumah baharunya di Kampung Air Kembai, Kupang di sini, hari ini.
Beliau bersama isteri, Siti Roshamilia Mat Radzi, 32, dan empat anak mereka kini menyewa rumah di Kampung Padang, Pulai di Baling.
Sebelum ini, Megat Noor Asyeqi dan keluarganya hidup dalam keadaan daif di pondok buruk dalam kebun getah di Kampung Air Kembai, Kupang sehingga kisah mereka tular di media sosial.
Megat Noor Asyeqi berkata, selepas kisah hidupnya tinggal di pondok dalam kebun getah tular dalam media sosial, ramai tampil membantu.
“Selepas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengunjung pondok saya, kelmarin dan bersetuju membina rumah baharu, Ustaz Ebit Lew pula datang, semalam,” katanya.
Beliau berkata, Ebit juga membayar pendahuluan sewa rumah dan akan membayar bil elektrik serta air malah mencari rumah sewa untuk keselesaan mereka sekeluarga sementara menunggu rumah baharu siap.
“Malah Ustaz Ebit juga membeli katil, tilam, bantal dan perkakas lain untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya.
Megat Noor, berkata dia tidak mahu menyusahkan sesiapa dan ingin berdikari tetapi kesempitan hidup dan memikirkan masa depan anak-anak dia terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mengubah hidup.
Menurut penoreh getah itu, dia ingin berdikari dan mahu membina rumah sendiri tetapi kesempitan hidup menyukarkannya sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara empat anaknya, iaitu Puteri Amira Husna, 11, Puteri Aleesya Husna, 8, dan Megat Hanif Mukhriz, 7 dan Puteri Anisa Husna, 4.
“Namun impian tidak tercapai sehinggalah ramai pihak datang dan membantu keluarga kami,” katanya.
Beliau berkata, dia sekeluarga bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Baling kerana membantu merealisasi impian keluarganya.
“Datuk Azeez bina rumah baharu manakala Ustaz Ebit pula bantu cari rumah sewa dan membeli perkakas dalam rumah untuk keselesaan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati kerja membersih tapak rumah di tanah milik bapa Megat Noor Asyeqi di Kampung Air Kembai, Kupang, sedang dijalankan bagi membolehkan pembinaannya dilakukan dengan segera.
Sumber : Ebit Lew, Berita Harian