“Demi laptop anak”. Terpandang si bapa mengira duit. Dompetnya kosong , habis semua duitnya telah digunakan

Foto sekadar hiasan. Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya,

“Pakcik, cari laptop…?”.

Dia tersenyum dan masih melihat lihat laptop yang ada di kedai. Aku menyambung lagi,

“Nak beli untuk anak ke?”,

“Ya, nak beli untuk anak, dia nak sambung belajar nanti. Laptop yang mana yang ok?”.

Aku mempromosi barang seperti biasa. Aku biasanya mengesyorkan yang paling murah.

“Kalau nak yang bagus mahal pakcik. Tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung, seribu seratus lebih je…”.

Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut,

“Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni…”.

Pakcik tadi pergi dengan suatu perasaan yang lain. Aku dengan rutinku bekerja setiap hujung minggu sahaja. Kebetulan aku duduk di kaunter menunggu pelanggan. Pakcik tadi datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya, perempuan.

“Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?”

“Yang nie Samsung hari tu, tapi yang nie stok baru. Harga sama je”, aku menyambut soalan nya.

Dia bertanya kepada anaknya,

“Yang nie ok ke dik?”.

“Ermmm, ok ke nie murah je. Karang rosak karang susah…”. Jawabnya dengan muka yang kurang puas hati. Anaknya seperti menginginkan yang lain, yang lebih mahal.

“Yang acer nie tak boleh ke ayah?”

Ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan berunding harga.

“Yang acer nie berapa boleh murah lagi?”

“Yang tu tak dapat dah pakcik. Dah harga kos dah tu…”.

Aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi.

“Dik, nak laptop untuk belajar kan. Rasanya kalau untuk belajar yang nie lebih dari cukup. Rosak tak payah pikir sangat, warenti ada setahun.”.

Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya.

”Oklah, yang ini.” jawab anaknya.

Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja ‘display’, aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar. Aku nampak dompetnya kosong , habis semua duit digunakan untuk membayar laptop.

Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula. Pakcik tu melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira, wang aku masukkan dalam cash drawer.

“Cukup duit tadi dik?”.

“Cukup, Terima Kasih ya…”.

Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan. RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya penuh harapan.

Aku geram kepada anaknya. Seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana, hanya tahu meminta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekepi­ng duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu ‘mengais’ untuk hari esoknya pula.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin…

Komen warganet

Now, this is Nawwar Hanifah talking. Dalam dunia yang amat mencabar hari ni, kita tak sedar kadang2 yang kita terlalu mengejar keduniaan sampai mengabaikan kemanusiaan, even terhadap mak ayah sendiri.

Tahu tak, setiap kali saya terbaca kisah pasal ayah kat facebook atau mana-manalah, saya jadi lebih sayu berbanding baca kisah pasal mak. Bukan sebab saya tak sayang mak, mestilah sayang.

Cuma kasih sayang mak kita selalu nampak dan rasa, melalui air muka dia, melalui air tangan dia, melalui setiap kata-kata yang dia ucapkan pada kita. dia jugak ada setiap kali kita balik rumah, berbanding ayah yang kadang2 masa kita balik belum sampai rumah lagi ataupun ada hal kerja yang nak diuruskan.

Tambah lagi, ayah saya bukan jenis yang menunjukkan kasih sayangnya terhadap anak-anak seperti mana yang mak buat. Tapi kasih sayang ayah selalu kita tak perasan.

Kasih sayang ayah selalu dalam bentuk kebendaan, yakni apa yang kita mintak, ayah cuba tunaikan even masa tu ayah tak berkemampuan sekalipun.

Kalau anda anak orang yang berada, mungkin anda tak terasa apa yang saya tuliskan. saya teringat, masa darjah 4, masa tu saya baru masuk unit beruniform Tunas Puteri. saya tak dapat masuk Puteri Islam sebab dah penuh. (kalau masuk Puteri Islam senang, mak boleh jahitkan baju) dan masa tu jugak, cikgu kokurikulum asyik ugut nak denda je kalau tak beli baju uniform lagi.

Saya antara yang diugut sebab dah masuk bulan 3/4 tapi still takde baju tu. Sampailah satu hari, ayah saya dapat gaji, malam tu lepas Maghrib terus ayah ajak keluar ke Seremban cari baju yang saya nak tu. Jelajah sampai dua tiga kedai jugak last2 alhamdulillah dapat.

Saya tahu, ayah seronok tengok saya gembira dapat pakai baju tu dan tak terasa asing dengan kawan2 lain. Tapi saya tak tahu, masa tu even ayah dapat gaji sekalipun, itu tak menjamin kami sekeluarga dapat bertahan dengan duit yang ada sampai hujung bulan seterusnya. Tapi ayah tunaikan jugak.

Bila dah besar dan faham, saya tengok sendiri macam mana ayah buat perkara yang sama kat adik2 saya. Kadang2 saya kesian sangat bila tengok ayah keluarkan jugak duit belikan adik mainan yang memang tahu takkan tahan lama pun.

Kitorang kakak2 ni bising jugak tapi sebab dah ayah nak belikan jugak, takpelah. Ayah cuma nak tengok kami adik beradik gembira walaupun setiap kali tengah bulan, memang sesak kami sekeluarga dibuatnya.

To be frank, duduk kat Kuala Lumpur sangat mencabar, tambah lagi keluarga besar macam saya dengan hanya ayah yang bekerja.

Alhamdulillah, sekarang kami dah merasa sedikit senang. Bukanlah senang mewah tapi at least taklah terlalu sesak macam dulu sebab saya, kakak dan adik yang bawah saya dapat elaun pelajaran. Dapatlah berkongsi sedikit sebanyak dengan mak ayah dan adik2 kat rumah. Dan alhamdulillah, sekarang kalau adik-adik nak apa pun, diorang boleh mintak dengan saya, insha Allah saya cuba tunaikan.

Apa-apa pun, ayah sangat osem! kasih dia macam mak, tak terbatas dan doanya pun tak terhijab. sila hormati ayah sepertimana kita menghormati mak kita. Takde ayah, takde kita kat dunia ni.

Sangat tersentuh hati dengan cerita ni. Semua orang, jom doakan semoga Allah ampuni dosa-dosa kedua ibu bapa kita dan mengasihi mereka sepertimana mereka mengasihi kita semenjak waktu kecil lagi. Aamiin.

Kisah diatas pernah tular beberapa tahun lepas di laman sosial. Tidak dapat kami pastikan samada ianya berdasarkan kisah benar atau rekaan semata mata.

Jadikanlah ianya sebagai pengajaran dan tauladan buat kita semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *