“Pemergian along yg dirindui”. Along tiba2 lelah. Mak urut dadanya, badan along dah sejuk dan lembik

Foto sekadar hiasan. Pepatah ada menyebut, ‘air dicencang tak akan putus’, begitulah kuatnya ikatan silaturrahim yang mengalir didalam tubuh adik beradik yang tidak akan hilang sampai mati.

Kita perlu berlapang dada dan menerima apa jua kelebihan dan kekurangan adik beradik yang lain. Malah, kita perlulah menjadi pelengkap kepada kekurangan yang ada.

Kisah yang kami nak kongsikan ini amat mengharukan, jelas kerinduan dan kasih sayang adik beradik ini kepada abang sulung mereka yang lumpuh. Meskipun umurnya tidak panjang, namun kasih dan sayang mereka tetap bersama aruwah along. Sungguh Sebak!

Along lumpuh… Tak boleh jalan, makan sendiri dan bercakap

” Harini aku rindu sangat dekat along. Along meninggal masa aku berumur 11 tahun. Masa tu umur along baru 20 tahun.

Along aku dilahirkan dengan sempurna. Hinggalah pada suatu hari dia dapat demam panas dan ayah bawa pergi ke klinik.

Ya masa tu ayah kata Allah sahaja yang tahu apa perasaan nya bila doktor kata along lumpuh. Akibat demamnya terlalu panas.

Ayah redha. Sebab along masih ada. Ayah dan mak jaga along bagai menatang minyak yang penuh. Along tak macam org lain. Along tak mampu lagi untuk berjalan. Tak mampu makan sendiri. Tak mampu bercakap. Along cuma tahu senyum, gelak, menangis.

Tapi aku tahu. Along faham bila dengar apa yang terjadi dekat sekeliling dia. Aku tahu along nak jadi abang yang sempurna kepada adik adiknya yang lain.

Setiap kali time makan, mak akan kisar nasi supaya jadi bubur. Along makan berselera sangat. Along tak boleh kunyah macam orang lain. Sebab tu kena makan bubur. Itu je yang boleh sesuai dengan keadaan perut along.

Walaupun along tak boleh jalan. Allah tolong mak. Walaupun along besar tapi berat along tak berat setampung dengan badan along yang besar.

Aku ingat lagi. Setiap kali waktu balik sekolah, aku akan buat kerja dekat along. Aku bercakap dengan along. Along gelak. Bila aku cerita aku sedih dekat sekolah. Along diam dan dengar je. Aku tahu along faham.

Aku selalu main lari lari. Along baring dekat ruang tamu rumah papan atok. Aku selalu kena marah kalau main lari lari. Sebab rumah bergegar. Along akan buat muka tak suka mungkin sebab dia tak selesa sebab dia baring atas tilam ja kan.

Maafkan anjang along. Dulu kawan kawan aku tak nak kawan dengan aku sebab dia tahu along aku lumpuh. Tapi aku tak kisah. Sebab aku sayang along. Aku selalu duduk rumah sebab mak ayah tak bagi keluar rumah. Sebab bahaya.

Mak tak kerja. Ayah kerja sendiri. Jadi kami kalau nk berjalan akan tunggu masa ayah free. Tapi ayah tak pernah malu ada anak macam along. Mak tak pernah lupa cerita pasal along bila orang tanya pasal anak.

Aku ingat lagi. Masa kami nak pergi jalan jalan. Mak akan pangku along. Mak ayah layan kami sama rata. Kalau aku boleh pergi rumah saudara lain, mak ayah pasti akan bawa along sekali.

Along tiba-tiba lelah, badan along sejuk dan lembik

Sampailah, satu hari. 12/12/2004, jam 12.45 pagi along menghembuskan nafas yang terakhir. Sehari sebelum tu, mak ayah keluar ke hospital untuk uruskan adik bongsu aku. Mak balik lewat.

Along makan lambat sikit. Tapi along nangis. Aku tak tahu nak buat macam mana. Ayah suruh mak suap along makan. Bila mak suap, along okay.

Tapi. Along tiba tiba lelah. Mak urut dada along. Dari dulu along ada sawan. Tapi boleh pulih. Lepas urut satu badan along. Masa tu mak kata mak dah rasa badan along sejuk. Dan lembik. Tak solid macam selalu. Ayah urut kaki tangan along. Mak cakap, “Along jangan tinggal mak dulu”.

Aku sedih sangat masa tu. Adik beradik aku, semua ada kecuali angah dan achik. Angah dekat kolej dan achik dekat Uni Malaya masa tu. Aku tak mampu nak tahan air mata aku. Aku lari masuk bilik air. Aku ambil wudhu.

Aku pergi dengan along. Aku picit tapak kaki along. Lama tu ayah call tok chik, tok ki dan pakcik aku. Bila tok chik datang, dia tengok along. Tok chik kata along dah tak ada.

Masa tu aku tak mampu tengok ayah dan mak. Mak urut along lagi. Mak peluk dia. Mak pangku dia. Ayah tertunduk.

Ateh, alang, uda diam. Semua bangun ambil fon call angah dan achik. Angah dapat di hubungi. Angah balik terus dengan moto. Kawan kawan angah konvoi angah masa balik.

Aku call achik. Tapi tak dapat. Tak ada orang angkat. Beratus ratus kali aku call. Sampai pukul 3 baru achik angkat, achik kata kenapa? Aku cakap along dah tak ada.

Achik diam. Aku kata lagi, nanti pakcik ambil achik dari sini. Achik nangis sepuas puasnya. Aku suruh dia cepat siap. Aku tolong mak ambil kain batik lepas. Mak baringkan along atas katil bujang di hujung penjuru rumah. Kami bacakan yassin dekat along.

Dari jauh aku dengar bunyi moto angah. Angah masuk rumah. Angah sampai dekat katil along. Angah diam. Angah tunduk. Angah nangis sepuas puasnya. Aku tahu. Aku tahu angah mampu ambil alih tugas sebagai abang selepas along.

Aku pandang wajah along, along senyum macam sedang tidur. Tapi aku sebak bila angah cakap,

“Kenapa along tinggalkan angah mak? Along tak jaga angah lagi.”

Mak kata jangan nangis. Terseksa angah kalau nangis macam tu. Aku masuk bilik. Aku nangis puas puas. Aku tak mampu. Aku keluar bila aku dah mula reda.

Pakcik aku ambil achik di Uni Malaya. Tapi masa perjalanan balik, air banjir naik. Pakcik tak dapat nak lalu. Pakcik tekad lalu ikut belakang bas masa bas lalu. Alhamdulillah. Pakcik cerita kereta boleh lepas. Mungkin, Allah nak tolong.

Sampai je. Achik sampai sebelum tengahari. Achik sempat tatap wajah along. Aku tak nampak ayah nangis. Tapi mata ayah merah. Masa lepas mandikan along, ustaz panggil semua adik beradik untuk siramkan along.

Seorang demi seorang pergi. Sampai aku, aku pandang wajah along. Along senyum. Wajah along macam sedang tidur.

Aku cepat cepat ke dapur. Aku nampak ayah nangis dekat sinki. Masa tu adik ayah tenangkan ayah. Aku duduk je dekat pintu dapur. Lepas along siap di kafan kan, semua saudara mara ustaz panggil untuk tatap along buat kali terakhir.

Mula dengan angah, achik, ateh, alang, uda, aku dan usu. Selepas tu mak dan ayah kucup along buat kali terakhir.

Sampai sekarang aku tak boleh lupakan saat itu, aku rindu sangat dengan along. Lepas siap. Along di kebumikan. Masa tu semua pergi ke tanah perkuburan. Sampai sekarang aku ingat setiap detik yang jadi. Aku tak boleh lupakan saat saat tu.

Harini, aku rindu sangat along.

“Along, Along, anjang rindu along. Ayah tak sihat. Mak pun tak sihat. Angah, achik dan ateh dah kahwin. Dah ada anak anak yang comel sangat. Alang pun baru ja kahwin along. Raya nanti uda pula yang kahwin.”

“Tapi along, ayah tengah kekurangan duit. Kalau along ada mesti anjang boleh cerita dekat along. Anjang kerja, anjang nak bagi duit tapi gaji anjang tak masuk lagi.”

Bila anjang cerita dekat mak, mak tak nak guna duit anak anak. Anjang nak tolong tapi anjang tak mampu lagi along.

Along, anjang sayang along. Doakan keluarga kita ya. Anjang jauh. Anjang tak mampu nak balik. Along angah selalu nangis bila kenangkan along.

Achik dan ateh selalu ingat tentang along. Alang uda selalu ceritakan tentang along. Anjang? Anjang setiap hari ingat along.

Kami rindu along sangat sangat. Along selalu datang dalam mimpi anjang. Anjang tahu along mesti rindukan anjang kan? Along, dah 12 tahun along tak ada.

Usu pun dah besar sekarang. Besar pada anjang. Mesti along nak tengok wajah usu kan? Anjang dah putih. Anjang dah tak dayang senandung lagi. Kawan kawan anjang dah ramai.

Semua nak berkawan dgn anjang dah. Anjang belajar rajin rajin sebab nak tolong ayah. Along doakan anjang ya. Anjang nak hadiahkan ayah dan mak kecemerlangan akademik macam kakak dan abang yang lain. Along doakan anjang ya.

Anjang sayang along.
Anjang cintakan along.
Anjang kasihkan along.

Semoga along ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman dan beramal soleh. Damailah along di sana.

Along (1984 – 2004). “
– Anjang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *