“Tuan, ada ‘orang kuat’”. Dia tunjuk, saya terus berdebar takut. Betul2 kakinya bersandar di tali perimeter yg saya buat td

Foto sekadar hiasan.

KISAH SERU GAJAH : Mohd Fitri

Kisah saya lagi dalam hutan. Kali ini di Kelantan. Tahun 1999 kalau tak silap, bertempat di Dabong. Waktu itu saya jalani latihan peperangan hutan. Hari Ahad, pukul 2 petang. Platun saya diarahkan untuk masuk ke hutan melalui Sungai Kelantan.

Sewaktu tinjauan dibuat seminggu sebelum latihan, sungai kelantan di Dabong itu luas, hanya sedalam 2 meter saja dan berpasir. Tak dalam pun.

Pada hari latihan dimulakan, hujan amat lebat, air sungai itu naik sampai kedalaman lebih kurang 2 tingkat bangunan dengan air deras, keruh dan penuh kayu dan serpihan yang hanyut. Sebab hujan lebat pada malam semalam.

Waktu ini saya tanya OC saya, adakah nak teruskan latihan atau tidak. Arahan dari pihak markas batalion, latihan kena diteruskan. Aduh. Ini bahaya. Tapi saya bawa juga platun saya naik bot-bot tempur askar yang kecil itu.

Kami guna 4 bot tempur. Masalah kedua timbul, iaitu kami kena menghilir sungai, bukan melawan arus sungai. Itu maksudnya, kami pasti pergi ke tempat yang lebih dalam, lebih bahaya dan kami boleh hanyut kerana arus deras. Jarak ke tempat saya akan di tinggalkan ialah 20 km ikut peta dari tempat naik bot!

Bayangkan, jika sungai yang asalnya dalam setinggi manusia, tiba-tiba boleh naik jadi sedalam 2 tingkat bangunan, pasti bot-bot kami hanyut dan hilang kawalan. Kami tiap seorang dengan beg galas besar, peralatan dan pakaian lengkap, senjata tapi guna peluru kapur (kerana latihan), dan makanan 14 hari tiap seorang. Berat pada badan kami, kalaulah terjatuh dalam sungai, konfom tenggelam dalam air yang keruh dan deras itu.

Selepas 2 jam cuba mencari tempat latihan yang diarahkan, kami tak jumpa, jadi kami sudah hanyut dan sesat. Saya lihat jam sudah pukul 4 lebih, kena berhenti dan sebelum lebih jauh hanyut. Saya arahkan bot semua untuk berhenti dan tinggalkan kami di tepi mana-mana tebing sungai yang boleh di panjat. Selepas kami semua sudah turun, saya arah bot semua cepat-cepat balik ke tempat asal sebelum gelap.

Waktu kami jejak saja ke tebing sungai itu, saya baru sedar ada satu kumpulan gajah betul-betul jarak 30 meter dari kami semua. Jumlahnya lebih kurang 20 ekor!

Saya suruh semua anak buah saya duduk diam jangan bercakap sepatahpun! Kalaulah gajah-gajah itu mengamuk, dengan kami duduk terperangkap di bucu tebing sungai, habis kami mati kena pijak atau dihumban masuk sungai yang keruh dalam dan deras ini.

Cahaya dalam hutan mula gelap kerana sudah pukul 4.30. Kami tak boleh bergerak kerana kumpulan gajah depan mata. Semua duduk diam tak tahu nak buat apa.

Selepas setengah jam doa dan tawakal, akhirnya kumpulan gajah itu semua berjalan dan tinggalkan kami. Saya lega dan lihat jam sudah pukul 5 petang! Tempat sesuai nak berkhemah tak jumpa lagi. Saya suruh semua anak buah saya bergerak jalan pantas dan redah saja hutan tebal ini dan ikut saya.

Akhirnya saya jumpa 1 anak sungai kecil yang sesuai untuk kami berkhemah. Dikelilingi bukit. Kelam kabut kami siapkan tempat nak berkhemah. Saya arahkan, tidur saja di lantai hutan atau gantung hammock cara mudah. Siapkan makan malam dan semua rehat.

Jam pukul 6.30 petang, sudah gelap dalam hutan. Oleh kerana semua orang amat keletihan, saya arahkan hanya 2 orang saja yang akan jadi ‘guard’ dalam satu masa. Yg lain mesti tidur dan dapatkan rehat dengan cukup kerana esok akan bermula latihan.

Saya seperti biasa, dalam keadaan terdesak dan kelam kabut begini, saya sendiri akan ikat dan pasang tali dikeliling kawasan platun saya berkhemah. Saya bacakan ayat-ayat Quran pada tali itu semua.

Saya amat-amat risau. Saya tahu kami semua telah sesat dalam hutan, tak tahu dimana tempat kami dalam peta yang saya bawa. Waktu ini mana ada GPS lagi, semua guna kompas dan peta lama. Tempat turun bot tadi salah tempat, kalau apa-apa jadi pada kami, helikopter pun tak tahu nak cari kami dimana.

Apapun, saya cuba tidur sambil peluk senjata saya. Esok saya tekad akan cari lokasi sebenar kami…

Pukul 10.30 malam, anak buah saya goncang badan dan kejut saya,

“Tuan, ada ‘orang kuat’ (nama panggilan kepada gajah).

Saya tanya, “Mana?”.

Dia tunjuk dan saya terus berdebar takut. Depan mata saya ada gajah besar seekor, dengan anak gajah seekor! Betul-betul kaki gajah itu bersandar di tali perimeter yang saya buat tu. Tali tu besar jari kelingking je, tapi tali itu yang gajah-gajah tu tak langkah. Hati saya kata, mungkin kerana saya bacakan ayat-ayat Quran di tali itu tadi.

Dalam latihan, askar hanya bawa peluru kapur. Hanya pegawai saja yang bawa peluru hidup itu pun 20 butir saja. Peluru itu hanyalah untuk kecemasan. Anggota tentera lain tak bawa peluru hidup. 20 butir peluru di senjata saya ni, nak lawan 1 gajah besar pun susah. Inikan pula 20 ekor lebih gajah tengah kepung kami dalam gelap. Kalau saya tembak seekor, gajah-gajah yang lain akan mengamuk. Tak berguna. Hati saya terus cakap,

“Mati dah aku hari ni”

Saya tengok seluruh platun saya sudah berjaga dan semua lampu suluh sudah suluh sini sana. Astagfirullah, rupanya saya dan platun saya kena kepung dengan lebih dari 20 ekor gajah! Bukan 2 ekor ini saja! Gajah-gajah ini sudah mula bertempik dan berbunyi.

Kami semua ketakutan. Saya lihat anak-anak buah saya ada yang sudah meleleh air mata. Satu-satunya benda yang ‘halang’ gajah itu dari serang kami ialah tali perimeter yang kecil yang saya ikat sekeliling kami.

Saya mengalah. Saya tahu saya dah kalah.. saya betul-betul tawakal pada Allah. Saya letak senjata saya di tanah, saya berdiri betul-betul depan gajah besar yang di depan saya ni. Jarak saya dengan gajah itu hanya dua depa. Nak pijak saya, pijak lah, nak belit nak hempuk, buat lah, saya serah diri.

Apa yang saya buat? Saya mula bercakap dengan gajah itu. Saya bercakap selama 4 jam dengan gajah itu. Gajah itu hanya memerhati saya sambil kadang-kadang dia hempuk2 belalai dia di tanah tepi kaki saya. Saya redokan dan terus bercakap dengan dia. Lepas keletihan saya berdiri dan bercakap, saya duduk bersila depan dia. Saya dah tak tahu nak buat apa dan nak cakap apa.

Pasrah dan berserah pada Allah.

AKHIRNYA, pukul 3 pagi.. 20 ekor gajah-gajah yang kepung kami semua, mula bergerak dan berkumpul di depan saya. Mereka mula pusing kebelakang dan jalan menjauh dari saya. Dari jauh dan gelap, kami dengar gajah-gajah itu bertempik dan patah-patahkan pokok, macam lepaskan geram.

Selepas keadaan reda, baru saya suruh semua anggota saya tidur semula. Tapi semua tak nak tidur dah. Tak selera nak tidur. Saya dah amat keletihan, saya tidur.

Esok pagi, di khemah saya, ketika saya baru nak minum pagi, datang 2 orang anak buah saya. Mereka ini adalah kerani tentera yang ditumpangkan masuk berlatih dalam platun saya. Mereka dua-dua muka sedih depan saya. Saya tanya,

“korang ni dah kenapa?”.

Salah seorang mereka jawab,

“Tuan, saya nak minta maaf. Semalam waktu kami dua turun dari bot, kami berdua ni cakap, eh kalau dapat anak gajah tu kita buat sup kan sedap… saya minta maaf tuan!”… dia cakap sambil menangis.

Saya balas,

“Ha, itulah. Emak gajah dah hantar anak dia malam semalam, kau nak sangat buat sup kan, ambik lah”.

Apapun saya maafkan mereka. Saya ketua, saya kena hadapi semua ini. Mereka tak biasa dalam hutan. Saya anggap saja ini pengalaman baru kepada mereka.

Pengajaran= Berhati-hatilah dalam hutan. Kita ini manusia, ialah khalifah, atau boss atau ketua di bumi. Dan makhluk lain ialah anak buah dan berada dibawah kita. Kalau kita sebagai boss, bila kita seru, memang datanglah depan mata. Jaga mulut. Kita tak tahu bila Allah akan makbulkan percakapan kita.

Wahai anak2 muda.. Belajarlah ilmu-ilmu dan petua dalam hutan, kerana jika apapun berlaku kepada negara, kita boleh berjuang dari dalam hutan kita. Dan hormati penduduk hutan seperti kita juga mahu dihormati. Sekian kisah pengalaman saya yang ini. Moga bermanfaat.

Reaksi warganet

Mastura Alin –Betul.. Pengalaman masa mendaki. Ada ahli mulut tak leh kawal.. Malam tu terkandas di puncak.. Sampai bomba nak rescue.. Angkat masing masing berat nauzubillah. Dengar dengar ada yang jadi tak betul lepas kejadian tu.. Kerana mulut.. Habis binasa.

Khaier Imran –4jam? Tak terbayang betapa kuatnya semangat tuan dan tak tahu apa yang tuan cakap dengan gajah tu. Saya kalau dengar bini beleter 4minit pun dah menyerah.

Shafiq Zulkifli –Terbaik tuan, kepimpinan melalui teladan. Sanggup bergadai nyawa demi keselamatan anak buah. Saya pasti anak2 buah tuan masa tu sanggup ikut tuan ke mana saja hatta ke lautan api pun.

Pernah baca ada warisan ilmu nenek moyang kita ilmu menundukkan gajah. Sebab tu orang2 Melayu dulu2 mejadikan gajah sebagai kenderaan dan tujuan perang.

Apa yang tuan cakap pada gajah2 tu ya?

Azizan Ramli –Betul tuan. Pengalaman saya ketika mendaki gunung korbu. Ada seorng perserta mengambil rotan lalu di gulung dan disimpan dalam bag.

Hari ke3 nak turun dari puncak. Kami sesat dan terpaksa berjalan smpai kul 3 pagi,dan guide menasihatkan supaya kami berkemah ditempat yang bukan sepatutnya. Tebas lebih kurang dan pasang kemah, masak air, nasi, mkn lebih kurg dalam hujan lagi. Lepas tu baru tau petua nak ambil rotan dalam hutan tebal tak boleh di gulung betul ke tuan.

Kredit : Mohd Fitri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *