Foto sekadar hiasan. Isteriku Lina…
“Abang ni, pakai tu elok-elok la sikit,” kata Lina lembut sambil membetulkan pakaian Husin. Husin tersenyum memandang isterinya.
“Cantik isteri abang hari ni,” Husin mencubit pipi Lina lembut.
“Ayah, ayah, cepat la yah,” Farah dan Adi meluru masuk ke bilik kerana dah tak sabar-sabar nak bertolak pulang ke kampung.
“Yelah, yelah, ayah dah siap ni.” Lina hanya tersenyum melihat suaminya itu melayan karenah anak-anak mereka yang comel dan manja.
“Abang, dah lama kita tak balik kampung macam ni, ye?”
“Iyelah, maklumlah abang ni sibuk dengan urusan perniagaan. Baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang.” Husin berkata kepada isterinya tercinta.
Perjalanan daripada KL ke Tangkak mengambil masa lebih kurang empat jam. Farah dan Adi dah pun terlelap kat kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Lina.
“Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung,” Husin berkata dalam hati.
Sedikit demi sedikit Husin menekan minyak keretanya. Semakin lama keretanya semakin laju dan Husin semakin seronok. Husin dah tak sabar untuk segera sampai ke kampungnya.
Pedal minyak ditekannya lagi dan Honda Civicnya mula memecut. Husin cilok kiri, cilok kanan. Habis semua kenderaan dipotongnya. Bangga betul Husin masa tu. Terlupa dia sekejap pada anak dan isterinya yang sedang tidur.
“Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?” tiba-tiba Lina terjaga dari tidurnya.
“Tak ada apa la sayang, rileks. Cepat sikit kita sampai kampung nanti.”
“Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa. Jangan laju sangat bang, Lina takut.” Lina cuba memujuk Husin supaya memperlahankan kenderaannya.
“Rileks Lina,tak ada apa-apa,” Husin terus memotong bas ekspres di depannya tanpa was-was.
“Haaa, kan, tengok. Tak ada apa-apa kan?” kata Husin setelah berjaya memotong bas ekspres tadi.
“Sudah la tu bang.” “Ha… tu ada satu lagi bas ekspres. Lina tengok abang motong dia aaa.” Husin terus masuk gear 3, pedal minyak ditekannya hingga jejak ke lantai.
Husin terus membelok ke kanan untuk memotong dan di depannya tersergam sebuah lori balak yang besar dan gagah dan….. BANG!!
“Husin, bangun Sin,” sayup-sayup terdengar suara emaknya. Husin membuka matanya. Dia terlihat emaknya di situ.
“Mana Lina mak? Macammana dengan Lina mak? Farah, Adi, mana anak-anak saya mak?” Bertubi-tubi Husin menyoal emaknya. Husin tak dapat menahan kesedihannya lagi. Husin menangis semahu mahunya di depan emaknya.
Emaknya memandang Husin tepat-tepat.
“Macamana dengan isteri Husin mak, Lina?” Husin masih terus menangis.
PANGGG!!
Kepala Husin yang botak itu ditampar oleh emaknya dengan tiba-tiba. Husin terdiam. Kenapa emaknya buat dia macam tu?
“Banyak la engkau punya isteri! Keja pun pemalas ada hati nak berbini. Tu la, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah! Bangun pegi sembahyang!” emaknya terus merungut sambil berlalu keluar.
Dan Husin tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut! Malu beb!!
Sekian.
Moral: Pandulah dengan berhati-hati walaupun di dalam mimpi.
Kisah jenaka di atas pernah tular sebelum ini di lama sosial. Walaupun hanyalah sekadar bahan jenaka buat kita, namun bila memandu kenderaan usahlah membahayakan nyawa sendiri dan juga orang lain.
Jangan diikutkan sangat nfsu yang membara. Kelak takut diri merana.
Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kongsikan, moga bermanfaat buat kita semua.