“Tak guna hantar belajar jauh jauh balik sini kerja kedai biasa je”. Tergamaknya mak. Kecewanya bila dengar mak cakap macam tu

Foto sekadar hiasan. ‘Tak guna hantar belajar jauh jauh balik sini kerja kedai biasa je’ – Mak

Kecewanya hati kita bila orang yang kita sayang ucap macam ni. Nama saya Fazura. Berasal dari Pantai Timur. Berumur 23 tahun dan baru beroleh ijazah pada November lepas.

Sedia maklum peluang pekerjaan untuk kami sebagai fresh graduate sangat limited. Sebenarnya banyak kerja kosong di kawasan yang saya tinggal ni. Tapi kebanyakan majikan tidak mahu ambil bekerja atas faktor gaji yang diminta serta tiada pengalaman dalam skop yang ditawarkan.

Dijadikan rezeki selepas sahaja saya habis intern (Raya Aidilfitri) saya ditawarkan untuk bekerja. Bekerja di bawah ahli keluarga yang lain tetapi bukan lah kerja di dalam aircond sebagainya. Sekadar susun barang kira stok dan sedikit kerja pejabat. Saya terima kerja tersebut atas sebab untuk menyimpan duit sempena konvokesyen nanti.

Disebabkan itu bisnes keluarga, sedikit sebanyak saya involve in managing their business. Walaupun kerja biasa tetapi sales hari hari biasanya 3k ke atas. Dan setiap bulan gaji jugak di tahap yang memuaskan sebagai seorang yang bujang.

Tetapi bukan itu yang ingin saya luahkan. Sekiranya luahan ini sedikit panjang, saya minta maaf.

Expectation mak abah saya adalah supaya saya bekerja di tempat yang sedap. Yang ada title dan nama. Malahan saya anak bongsu jadi mereka expect more from me. Tetapi yang mereka tidak tahu adalah realiti sekarang bukan seperti zaman kakak abang saya dahulu. By the way jarak umur saya dan abang sulung 20 tahun.

Di rumah cuma ada saya mak dan abah. Adik beradik yang lain semua telah berkahwin dan tinggal di luar. Sebenarnya sejak sejak mereka berkahwin mereka seolah olah melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak. Baik kakak mahu pon abang. Mereka berkahwin sewaktu umur saya 10 tahun (3 abang) dan 11 tahun (2 kakak)

Sewaktu tempoh tersebut macam macam telah saya lalui . Kakak ipar yang tidak suka keluarga saya. Abang yang sering minta duit untuk belanja anaknya. Abang yang duduk jauh jadi tidak mampu selalu balik ziarah mak abah. Kakak kakak yang memberi alasan mengikuti suami masing masing jadi tidak dapat membantu banyak di rumah.

Jadi selama saya membesar saya dapat lihat macam macam ragam adik beradik saya. Kalau nak cerita satu per satu jadi makin panjang confession ini. Cuma azam saya adalah untuk saya tidak jadi macam mereka. Iaitu lupakan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Fast forward, saya bekerja la dengan ahli keluarga saya sendiri. Saya bersyukur sebenarnya bila dapat bekerja di sini. Dekat dengan rumah. Gaji berpatutan. Masih boleh bagi dan belanja mak abah.

Paling penting hari hari saya nampak mak abah. Tengok kesihatan mereka. Jaga kebajikan mereka. Saya fikir ini adalah rezeki yang Allah bagi dekat saya sebab saya boleh jaga mak abah saya.

Rupanya tanpa saya sedari, mak saya tidak berkenan saya bekerja begini. Dia merasakan sia sia saya belajar sampai degree tetapi kerja tidak setimpal. Kecewanya saya bila saya dapat tahu tentang ini.

Tidak dinafikan abang kakak saya kerja bagus bagus. Tetapi apa guna ada pangkat dan duit yang banyak tetapi jarang sekali membahagiakan kedua ibu bapa.

Saya fikir mak saya bahagia sekurang kurangnya ada saya di rumah untuk membantu apa yang patut. Yang hari hari boleh saya tengokkan mereka. Tetapi tidak. Padahal selama yang saya buat ini adalah untuk mak abah.

Kalau ikutkan ada panggilan temu duga untuk beberapa syarikat lain tetapi saya tolak kerana sudah selesa dengan kerja sekarang. Walhal saya menolak sebab nak jaga mereka. Tak nak mereka sunyi.

Bila mak saya sendiri tidak berkenan dengan apa yang saya buat, gelap sekejap dunia saya. Selama berbelas tahun saya berusaha untuk tidak buat dia sedih dan kecewa dengan segala tindakan saya, tapi hari ni saya pula yang betul betul kecewa.

Saya rasakan saya juga gagal membuat mak abah saya bahagia. Padahal itu lah niat saya yang sebenarnya. Mungkin mereka malu nak bercerita anak mereka belajar sampai degree tetapi kerja tiada title di depan.

Saya tidak pernah salahkan takdir. Saya sentiasa bersangka baik dengan apa yang telah Allah bagi kepada saya. Malahan saya bersyukur atas jalan yang Allah tetapkan untuk saya.

Mungkin ini ujian Allah berikan kepada saya kerana selama ini saya terlalu bahagia dengan rezeki ini sehingga tidak sedar ada hati yang terluka dengan keputusan saya.

Dan kepada mak abah, saya harap mak abah sedar yang segala perbuatan dan tindakan saya adalah untuk bahagiakan mak abah selagi mana kita sama sama hidup di dunia ini. Tiada niat lain selain daripada itu. 🙂 Saya sayang mak abah.

Reaksi warganet

Luahan Fazura mendapat reaksi pelbagai dari pembaca. Lihat apa kata mereka.

Syakirah Mad Yusof –Saya faham perasaan Sis, bukan sis sorang yang macamtu, ramai lagi macamtu, takpalah sis, buat tak tahu ja sis, tak payah ambik hati.

Kalo terasa pon dalam 5 or 15 minit ja, anggaplah ini ujian yang sis kena hadap, fikir ada orang lagi teruk pada Sis dengan ujian nak sara adik beradik yang kecik itu ini, ada yang sakit pnyakit berat.

Sis masih sehat, ada mak ayah yang msih sehat tak uzur lagii, syukur tau, Allah ada, pjlnn sis msih jauh, rezeki sis Allah simpan nnti.

Fadzilah Arifin –Parent memang macam tu, mulut je cakap, hati lain. Lagi 1 cara awak pergi keje jauh sikit tapi kalau boleh, balik tiap2 minggu. Memangla costly sikit tapi kadang2 kena jauh bagi parent rasa rindu. Balik tiap2 minggu sebab nak tgk parent and jaga.

James Riddick –Abam dulu manager syarikat yang terkenal. Kawin pula keluarga yang VVIP. Jadi kebanggaan keluarga. Selalu bantu sedara mara dengan rezeki abam dapat. Emak ayah pon bangga.

Walaupon abam takde rasa nak menunjuk2.. tiba2 dugaan melanda, abam letak jawatan sebab tertentu. Punya lah susah nak dapat kerja. Sebab abam dah umur 40an.

Walaupon sijil dengan pengalaman banyak, abam meniaga la kontrak sikit2. Selalu tak berduit, hutang pon banyak. Nasib baik masa tu emak bapak abam dah takde. Kalau tak entah macam mana la mereka malu dengan abam yang tak bekerja tetap ni. Tapi itu la dugaan. Bersabar je la..

Sue Zee –Hmm kau kena jadi hati kering macam akak dik. Jangan tak tahu, awal2 dulu my parents pun menentang keras bidang kerjaya yang akak ceburi sekarang. Tapi biasa la, dah alang2 family lebel akak ‘anak yang paling degil dan keras kepala’. So hadap je la, baru berbaloi dapat gelaran tu kikiki..

Alhamdulillah. Lepas akak dah bukti kan akak mampu hidup berdikari dan berjaya even parents tak berapa berkenan dengan kerjaya akak yang biasa2 je (katanya). Tapi life akak lagi happy kalau nak banding dengan adik beradik yang kerja pegawai gomen.

Contoh, akak mampu beli cash apa yang akak nak tanpa berhutang (tak pernah buat personal loan/tak pernah ada credit card).

Mampu bayar lump sump loan PTPTN dengan duit hasil titik peluh kerja biasa2 ni. Mampu pergi holiday dan Alhamdulillah. Allah murah kan rezeki dpt jejak kan kaki ke Tanah Suci dengan niat cari rezeki yang halal even tak kerja hebat macam uollsss yang ada Degree/Master/PHD.

Kesimpulannya. Jiwa kena kental, hati kena sado dik! Akak doa kan kau berjaya dan dipermudahkan segala urusan. Slow talk dengan parents dan family, explain elok2 pro dan contra if kau resign kerja sekarang dlm waktu terdekat tanpa ada jaminan kerja yang lebih better drp kerja sekarang.

Apa2 pun still kena hormat parents dan minta restu parents if nak buat apa2 pun. Hidup lagi berkat..In Syaa Allah.

Anne Aziz –Kepada TT… Sabar je.. mak ayah tu. Yang penting Allah tahu niat awak.

Cerita kita lebih kurang sama. Awal2 kerja (3tahun lepas). Ayah saya pernah cakap: “Belajar sampai master, tapi kerja kerani”. Tapi saya diamkan aje. Tak nak balas. Lama2 benda tu hilang sendiri. Ni baru2 timbul pula, suruh mohon kerja kerajaan, pun saya diamkan aje.

Sebenarnya, ok je mak ayah tu. Mungkin dekat kampung, jiran2 cerita anak diaorang jadi jurutera, juruterbang, pensyarah dan sebagainya. Kadang2 makcik-pakcik datang rumah cerita anak dia dapat kerja oversea, dapat jawatan tinggi. Jadi mak ayah kita pun teringin juga.

Yang penting diri sendiri ok. Tentang mak ayah tu, biar Allah je uruskan. Nanti nanti mereka faham la 😇. Meh kita bagi #virtualhug sikit. Jaga diri baik2 ya TT.

– Fazura (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *