“Terpaksa heret anak ke tempat kerja”. Anak lepas sunat naik bas tular, ibu tampil beri penjelasan

Musim cuti sekolah merupakan waktu terbaik bagi kanak kanak lelaki untuk bersunat. Dikesempatan cuti sekolah yang panjang, merupakan waktu terbaik bagi mereka yang bersunat untuk ‘berpantang’.

Tular baru baru ini di laman sosial, perkongsian dari warganet yang tersentuh selepas melihat seorang kanak kanak lelaki yang hanya menaiki bas selepas selesai bersunat.

Rata rata Warganet turut berkongsi perasaan terharu mereka, disamping memuji ketabahan si anak yang langsung tidak merungut saat berada di dalam keadaan itu.

Menerusi laporan dari Harian Metro, ibu kepada kanak kanak terbabit berkongsi cerita sebenar akan gambar anaknya yang tular. Ikuti laporannya dibawah.

Ibu beri penjelasan

“SAYA tidak berkemampuan dan terpaksa heret anak ke tempat kerja walaupun dia masih sakit kerana berkhatan,” kata Siti Fatimah Ludin, 35, mengenai tular gambar anak lelakinya, Nasmir Amir Abdul Aziz, 9, yang menaiki bas dalam keadaan memakai kain pelekat dipercayai baru selesai berkhatan.

Gambar Nasmir itu dirakam seorang pemilik akaun Facebook (FB) sehingga menarik perhatian netizen yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu yang terpaksa menaiki bas selepas berkhatan.

“Allahu dik. Kuatnya awak. Belum pulih dari bersunat trus naik bus. Kuat lagi ibu awak sambil dukung baby bawak awak n adik baby naik bus.”

“Kita rasa kita dah cukup susah tapi ada lagi yang lebih susah kan. Semoga cepat sembuh dik.”

#kasihibumembawakesyurga
#hatinimenangislagi

Di atas petikan perkongsian Nor Shabiha Khairi yang telah tular di laman FB.

Siti Fatimah yang juga ibu tunggal berkata, biar apa pun orang menganggap mengenai dirinya, dia terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja walaupun anak sulungnya masih lagi kesakitan.

Menurutnya, anaknya tidak merungut dan dia faham kesusahan yang dialami ibunya itu.

Foto diambil ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

“Saya tidak akan sesekali tinggalkan anak dalam keadaan begitu di bilik sewa seorang diri dan disebabkan itu terpaksa membawanya menaiki bas dan MRT (transit aliran massa) ke tempat kerja di sebuah restoran di Brickfields.

“Gambar berkenaan diambil ketika saya bersama Amir dan seorang lagi anak, Nurhidayu yang berusia 2 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah kami di Subang Perdana,” katanya ketika dihubungi di Harian Metro.

Menurutnya, gambar berkenaan dirakam pada hari kedua selepas Nasmir berkhatan di Masjid Taman Subang Perdana.

Anak tidak pernah mengeluh dan merungut

“Nasmir anak yang baik. Dia tidak pernah mengeluh dan merungut dengan kesempitan hidup malah hanya mengikut saja ke mana saya pergi dan cakap.

“Sejak usia dia enam tahun lagi saya sudah tinggalkan dia bersendirian di bilik sewa selepas pulang dari tadika sehingga sekarang.

“Bagaimanapun, setiap Sabtu dan Ahad dia akan mengikut saya ke tempat kerja tetapi pada musim cuti sekolah ini memang saya akan membawanya ke tempat kerja, tidak sanggup saya tengok dia kesakitan seorang diri di bilik sewa kami,” katanya.

Bercerai ketika mengandungkan anak bongsu

Siti Fatimah berkata, dia dan bekas suami bercerai ketika dia sedang mengandung anak bongsunya dan kini dialah yang mengambil tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

“Saya terpaksa keluar mencari rezeki dengan bekerja di kedai makan. Gaji saya juga bergantung kepada hari bekerja, jika tidak bekerja tiadalah gaji untuk saya.

Turut menerima bantuan Pusat Zakat

“Kami menetap di Subang Perdana setiap kali hendak ke tempat kerja dan akan menaiki bas turun di Ara Damansara dan seterusnya menaiki MRT ke Kuala Lumpur Sentral bermula 5.30 pagi hingga 11 malam,” katanya yang turut menerima bantuan Pusat Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.

Petikan laporan di atas adalah sepertimana yang disiarkan oleh Harian Metro.

Selepas membaca komen komen warganet, kebanyakkannya meminta untuk disertakan sekali no akaun bagi memudahkan mereka membantu setakat apa yang mampu.

Pihak kami (Tribune Malaya) berkesempatan menghubungi Puan Fatimah sebentar tadi melalui talian WhatsApp.

Jika ada yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menghubungi Puan Siti Fatimah di talian 011-23305597

Untuk sumbangan kewangan, bolehlah melalui akaun bank yang disertakan dibawah.

No akaun Bank : 1010041000281950 (BSN)
Nama : Siti Fatimah Bte Ludin

Buat anak anak diluar sana, contohilah sikap adik Nasmir. Bilamana berada di dalam kesusahan, usahlah sesekali mengeluh dan merungut. Semoga adik Nasmir berjaya di dalam pelajaran dan mampu untuk membalas jasa ibunya kelak.

Kami doakan semoga kehidupan Puan Siti Fatimah dan anaknya dipermudahkan.

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *