Budak tulis surat lps dihalau dari saf pertama, dibalas padu dari Mufti. Ibu tampil perjelas hal sebenar

Tular di laman sosial akan sepucuk surat terbuka dari seorang kanak-kanak yang berasa kecewa apabila disuruh ke saf belakang hanya kerana dikatakan belum lagi berkhatan.

Surat itu ternyata telah mendapat perhatian dari Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kemudian ‘membalas’ surat tersebut.

Dalam surat yang tular itu, penulis yang bernama Nadzrul Zarfn bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat berkongsi kejadian bagaimana dia dihalau oleh tuan pengerusi surau hanya kerana dia seorang kanak-kanak.

Dia yang mengaku sudah pun berkhatan mencadangkan supaya kanak-kanak yang dihalau dari saf pertama, sepatutnya ditanya terlebih dahulu sama ada sudah disunatkan atau pun belum.

Dr Zulkifli menjawab surat tulisan tangan kanak-kanak tersebut menerusi Twitternya, sebentar tadi. Kesempatan itu turut digunakan beliau untuk menerangkan kedudukan sebenar saf kanak-kanak dalam surau ataupun masjid.

Jawab balas mufti di Twitter

Assalamualaikum wbt.

Ke hadapan anakanda Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat

Pakcik ada membaca surat anakanda yang ditularkan di media sosial. Ada yang tag pakcik di Twitter dan tanya berhubung kedudukan saf kanak-kanak dalam masjid/surau.

Tak boleh ditarik untuk beri laluan kepada lelaki dewasa

Sebenarnya selaku Mufti Wilayah Persekutuan, pakcik dah ulas isu ini lama dahulu, tahun 2016 dalam Bayan Linnas bertajuk Masjid dan Kanak-Kanak.

Ringkasnya, di dalam Sahih al-Bukhari, no. 380 terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Imam al-Mawardi berkata: “telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Begitu juga kata al-Khatib al-Syarbini: “Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang) ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Kanak-kanak tetap lelaki

Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia sepertimana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya.

Beliau memperakukan hal tersebut. Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita.

Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Tak salah apa yang dibuat

Maknanya anakanda, tak salah apa yang anakanda buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan.

Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.

Keadaan saf ikut bilangan makmum dan jantinanya

Secara umumnya, di bawah ini adalah keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

1.Jika imam bersama dengan dua orang / lebih dari makmum lelaki, / belakang imam terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada dalam satu saf di belakang imam.

2.Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

3.Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka.

Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/36-37).

Beri cadangan untuk ibu bapa dan pihak masjid

Kepada pihak masjid dan ibu bapa, ini cadangan saya:

1.Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

2.Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

3.Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak tersebut telah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.

4.Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin.

Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

Ucap tahniah

Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul.

Ibu tampil perjelas surat ditulis anaknya

Terima kasih di atas sokongan semua. Surat ini ditulis oleh anak saya, Nadzrul Zarfan pada tahun 2017 semasa umur dia 8 tahun. Surat ini telah diserahkan kepada pihak masjid yang berkenaan pada 2017 dan selepas kejadian itu, dia tidak lagi dihalau untuk solat di saf belakang.

Sumber: Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri via Ohbulan, Nazira Rahim

Diharap jawab balas dari mufti Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dapat menjawab segala persoalan yang dilontarkan. Juga diharap dijadikan panduan buat kita semua.

Yang baik itu kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Kongsikan, moga bermanfaat buat semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *